Ahad, 31 Mac 2013

Bahasa Jiwa Bangsa oleh budak FBMK


Boleh la video ni.



Berkebun bandar

Berkebun. Kalau kita dengar sahaja perkataan ini mesti kita fikir kita perlukan kawasan yang luas untuk berkebun. Tak ya pun perlu berada di rumah teres atau rumah atas tanah. Kuarters dan pangsapuri memang tidak pernah terbayang oleh kita untuk berkebun.

Saya cuba membuang persepsi itu dengan berkongsi gambar berkebun di rumah di Jom Tanam Sendiri.

Alhamdulillah. Akhirnya saya nekad untuk membersihkan ruang lapang berdekatan tingkap bilik saya untuk berkebun.

Dahulu ada juga saya berkebun tetapi ia sementara sahaja. Masa itu fikiran kusut dengan pelbagai masalah. Kali ini saya nekad untuk berkebun dengan cara saya sendiri. Inipun terinspirasi setelah berkongsi pelbagai gambar berkebun bandar di negara orang Puteh.

Saya tertanya juga bagaimana di Malaysia? Tiadakah gambar-gambar menarik tentang berkebun bandar di Malaysia?

Fikir punya fikir, akhirnya saya kata, apa kata aku mula dulu?

Bekas untuk saya bercucuk tanam di kuaters.

Beberapa pek biji benih cubaan saya beli dari pasaraya Mydin.



Sabtu, 30 Mac 2013

Manusia berpegang kepada janji

"Aku demam. Teringin nak makan masakan Cina. Kamu tahu tak restoran Cina Muslim sekitar UPM ni?" kata kawan saya apabila saya datang ke bilik menziarahinya.

Saya angguk kepala dan kata, "Jom. Ada dua restoran di jalan ke Sungai Merab."

Kami berdua membonceng motorsikal dengan saya yang membawa. Sampai di sana, kawan saya tempah. Saya hanya duduk menunggu sahaja. Heh. Mestilah dia belanja saya.

Saya memang tiada duit hari ini untuk belanja orang.

"Kalau demam elok makan cabai," kata saya kepadanya sambil melihat sambal kicap yang dihidangkan.

"Kau makan, aku makan," katanya spontan.

Terus saya ambil sudu dan cedok sambal itu. "Ok. Sekarang giliran kau."

"Eh tak dalah. Aku gurau je tadi." Senyum Ahmad.

Saya terus membeliakkan mata tanda marah.

"Kau ni jenis tak menepati janji."

Dia pelik melihat kata-kata saya itu.

Terus saya menceritakan kisah ini...

--

Di dalam sebuah buku motivasi aku baca, pengarang ada mengisahkan bagaimana beliau mengajar anaknya erti janji. Baginya, manusia perlu berpegang kepada janji. Jika tidak dapat tunaikan janji, jangan sekali-kali berjanji.

Pada suatu hari beliau dan anak sulugnya bersiar-siar dengan anjing peliharaan mereka.

"Nak, ayah ada biskut anjing di dalam poket kiri ayah. Apa yang akan buat kamu makan biskut ini?" kata ayah tersebut. Mereka suka bermain permainan 'dare-or-not'.

"Hmmm. Kalau ayah makan, saya makan," jawab anaknya.

Lalu, beliau mengeluarkan 2 keping biskut makanan anjing dan mengunyahnya. Kemudian berkata, "Sekarang giliran kamu." Dua keping biskut makanan anjing dihulurkan kepada anak itu.

"Eh takdalah. Saya bergurau sahaja tadi."

"Nak, kita boleh tunggu di sini sampai tengah malam," kata beliau tegas.

Anaknya tetap berkeras tak mahu. Setelah beberapa lama anak beliau berdolak-dalik, akhirnya dia makan jua.

Pengajaran beliau memang keras, namun anaknya belajar satu dari peristiwa itu - manusia berpegang pada janji.

--

"Aku sahaja nak uji bagaimana kamu berjanji," senyum saya kepada dia.

Ahmad diam mendengar. Saya tak tahulah dia faham atau tak, tapi yang penting saya dapat tahu perangainya di situ. Oleh kerana dia sahabat baik saya, saya jelaskan kenapa saya sanggup buat begitu. 

"Ingat Ahmad, manusia berpegang kepada janjinya. Lain kali jangan buat perkara begini kepada orang lain. Aku mungkin boleh sebab kita kawan, tapi orang lain jangan." Kami bangun dan beredar dari restoran itu.


Jumaat, 29 Mac 2013

#10 minit penulisan: Motivasi turun naik

Setiap manusia ada potensi untuk berjaya. Ia akan ditemui apabila manusia itu menyedari potensi dirinya sendiri. Tidak kiralah dengan pujian atau kritikan orang lain, potensi tetap ada pada setiap diri manusia.

Begitu juga pada saya. Saya mempunyai potensi dalam menulis. Heh. Walaupun begitu ia tidak bergolek datang dengan cepat. Ia datang perlahan melalui masa, sedikit demi sedikit.

Saya mencuba pelbagai teknik bacaan yang saya saya perolehi. Sedikit demi sedikit saya praktikkan. Saya tidak boleh amalkan semua sekali gus kerana ia bukanlah kemampuan saya sebagai manusia untuk mempelajari sesuatu perkara dalam sesuatu masa yang ditetapkan.

Saya ini jenis santai orangnya. Tak mahu ribut-ribut dalam melakukan sesuatu perkara.

Beberapa hari yang lalu saya mengajak rakan-rakan saya untuk menubuhkan kelab kebun bandar. Kami bertiga menjadi pengasas kepada kelab itu. Fasa pertama adalah menulis tentang teknik perkebunan yang sesuai di Malaysia.

Saya harapkan kawan saya menghantar satu artikel setiap minggu untuk dipamerkan di blog nanti. Setakat ini, tiada respon.

Perkara ini membuatkan saya terfikir tentang kejayaan dalam penulisan. Betullah kata-kata penulis berjaya, "Saya menulis bukan kerana inspirasi tetapi kerana konsistensi."

Saya berusaha keras untuk istiqomah dalam menulis walaupun apa-apa platform sekalipun. Hari ini saya memilih untuk menulis di blog.

Mungkin agak berserabut apabila saya masukkan segala macam pemikiran saya ke dalam satu entri. Nak buat macam mana. Ia hanyalah latihan kepada saya untuk terus menulis.

Ada beberapa rakan saya tidak percaya bahawa menulis ini adalah kemahiran. Mereka percaya ia bakat. Heh. Jika saya ada bakat menulis, sudah lama saya jadi penulis terkenal.

Namun, hakikatnya tidak. Setiap penulis yang berjaya mengatakan mereka mula menulis dan konsiten dalam penulisan itu sehinggalah hasil penulisan mereka membuahkan hasil.

Nah, adakah saya sebagai penulis perlu menunggu untuk menulis apabila inspirasi datang bergolek di minda saya? Tidak. Tidak mungkin ia akan terjadi.

Untuk itu saya mulaka siri penulisan 10 minit di blog saya dengan tajuk #10 minit penulisan: tajuk.

Ini dikira apa yang anda baca adalah apa yang saya dapat nukilkan selama 10 minit saya berada di hadapan laptop saya ini. Terus, saya perlu memahami juga apakah yang ingin saya tuliskan hari ini. Jika tidak, penulisan 10 minit saya ini akan kedengaran hambar dengan kisah-kisah yang sama sahaja.

Lalu, saya perlulah menulis sesuatu yang menarik terjadi pada hari tersebut. Dan hari ini saya menulis tentang motivasi penulisan. Terinspirasi atau konsitensi.

Segala macam bentuk penulisan ada. Namun apa yang menentukan kejayaan seseorang itu adalah dengan istiqomah dalam apa jua yang dia lakukan...


Khamis, 28 Mac 2013

3 saluran ilmu

Ilmu boleh didapati di mana jua. Tak kira sama ada kita membaca, mendengar, melihat mahupun berdasarkan pengalaman kita sendiri. Ia akan datang dan hinggap di akal kita apabila kita menggunakan ilmu itu sebaiknya kerana jika kita tidak mengamalkannya, ia samalah seperti pohon tanpa buah.

Sedang saya asyik dengan projek sarjana saya, terdapat beberapa perkara yang saya dapat untuk menambah ilmu.

Pertama mestilah dengan membaca. Ia senang dan boleh dilakukan oleh sesiapapun yang tahu apa itu ABCD...Z. Namun setelah membaca buku-buku tebal, barulah saya sedar, saya tidak boleh baca sepenuhnya. Di sini lah teknik membaca memainkan peranan penting.

Membaca buku tidak semestinya kita perlu hadam satu buku itu. Apa yang saya dapati, membaca buku yang bersifat akademik ini, saya hanya perlu membaca bab-bab yang berkaitan dengan projek saya. Tidak perlu 100% saya hadam buku itu.

Saya lihat juga ada bab-bab yang telah saya belajar dan tidak perlu pun saya membacanya. Malahan apa yang saya belajar semasa di kelas dahulu lebih mudah untuk difahami berbanding di dalam buku ini.

Kedua, menghadiri kelas. Sekarang saya faham mengapa berguru dengan manusia lebih elok berbanding buku atau pun video. Guru tahu apa yang muridnya kurang faham kerana mereka dahulu juga seorang murid. Lagi, jika kita tidak faham, guru boleh menjelaskan dengan cara yang lebih mudah agar kita faham kemudiannya.

Ini berlainan dengan Atuk Google. Saya terpaksa mencari beberapa sumber laman web hanya untuk faham tentang sesuatu istilah. Agak memakan masa saya ini. Jika ada guru, saya boleh terus tanya dan pasti dia boleh tolong jawabkan.

Saya faham tentang ini apabila saya menerangkan istilah torrent kepada rakan saya.

"Wong, aku tak tahulah guna torrent. Boleh ajar?"

Lalu saya telahkanlah maksud peer-to-peer dan bezanya dengan direct download. Saya beri analogi yang mudah dan apa kelebihan torrent ini. Di samping itu saya berikan beberapa tips untuk tidak tersalah muat turun di laman torrent.

Saya terangkan berdasarkan pengalaman saya memahami torrent. Kerana tiada guru, saya mengambil masa hampir 2 tahun untuk memahami torrent sepenuhnya dan bagaimana untuk mengubahsuainya agar sesuai dengan kehendak pengguna.

Alhamdulillah saya dapat ajarkan ia kepada kawan-kawan saya pula.

Di situ barulah saya faham erti belajar dengan guru atau kata arabnya talaqi.

Lagi satu pembelajaran adalah dengan video. Saya lihat, video juga lebih kurang macam kuliah. Maklumat yang berjela panjang dapat dimampatkan dalam satu dokumentari sahaja. Dengan muzik latar yang mengasyikkan, video mampu memberi saya satu keseronokan dalam mendapatkan ilmu baru.

Kesimpulannya, belajar dengan buku memakan masa tetapi ia berbaloi. Belajar dengan guru membuatkan kita cepat memahami sesuatu ilmu. Belajar dengan video menguatkan pengetahuan kita dalam apa yang kita baca atau dengar.


Kekeringan idea?

Idea sentiasa ada. Ia cuma tak dapat dikembangkan apabila si penulis terlalu asyik dengan benda yang tidak berkaitan dengan kerjayanya.

Itulah yang terjadi buat saya. Idea di kepala otak ini banyak tetapi tidak dapat saya nukilkan pada blog mahupun blog saya yang lain.

Betullah apabila menjadi penulis, kita juga perlulah seiring dengan bacaan kita. Seorang penulis hebat mempunyai bacaan yang hebat juga.

Saya dapati beberapa hari ini saya lesu untuk menulis kerana tidak fokus dalam pembacaan saya. Terlalu banyak perkara nak dilakukan sehingga apa-apapun tak jadi.

Contohnya inilah. Blog ini sepatutnya menjadi wadah travelog hidup saya. Eh? Ada yang kata apa syok dengan hidup saya ini? Hmmm. Itu saya tak pasti tetapi itulah yang saya katakan pada laman siapa saya.

Hah. Dengan itu saya tidak terikat dengan perkara yang boleh meloloskan saya daripada terus memberi alasan untuk tidak menulis di blog.

Terus, apa yang hendak saya tulis di sini? Itulah.... saya sedang fikirkan. Baiklah. Azan sudah berkumandang tanda waktu Isyak sudah masuk. Jumpa lagi di entri yang lain.


Rabu, 27 Mac 2013

Membuka bisnes tuisyen

Semalam saya hadir satu temuduga untuk menjadi cikgu tuisyen (menurut iklan yang dipaparkan). Ia dijalan oleh sebuah organisasi bersebelan taman kuarters saya tinggal.

Setahu saya tiada pusat tuisyen di sini. Agaknya mereka baru tubuhkan dan ingin mengupah beberapa orang cikgu tuisyen berkerja di bawah mereka.

Saya menjadi calon pertama hadir. Saya disambut oleh seorang pakcik tua berusia lingkungan 50an.

"Encik Uthman ya?" tanya saya.

Dia hanya menganggukan kepala kerana sibuk melayan pemanggil di telefon bimbitnya.

"Silakan masuk," katanya perlahan kepada saya.

Saya duduk di saf belakang menunggu panggilan. Saya lihat beberapa orang bergegas menyediakan meja dan kerusi di bilik tertutup di surau itu. Agaknya baru hendak berkemas usai solat Isyak.

"Boleh masuk," kata seorang pak cik berkopiah hitam.

"Nama saya Abdul, ini Uthman dan tengah ini Rezuan."

Saya bersalaman dan memperkenalkan nama saya pula.

"Apa perancangan encik Wong apabila diberikan tugas ini?"

Saya membuat muka keliru. Bukankah saya hanya perlu datang mengajar? Untuk cuba berlagak pandai, saya menerangkan pengalaman saya menjadi guru tuisyen bermula tahun lepas.

"Hanya sebagai guru tuisyen ganti. Tidak menjadi guru tuisyen penuh sebab pusat tuisyen ada guru mereka sendiri," jelas saya.

Mereka memandang saya pelik.

Encik Uthman mula bersuara apabila Encik Abdul memandangnya pelik. "Di iklan tu saya tampal perlukan guru tuisyen."

Kerut di muka Encik Abdul mula hilang. Dia seperti faham kata-kata Encik Uthman itu tadi.

"Begini, kami ada sebuah rumah kosong disediakan khas atas nama surau ini. Jadi kami pencari orang yang sanggup menguruskan rumah tersebut sebagai pusat tuisyen," terang Encik Abdul.

Saya mula jelas. Patutlah saya tidak pernah tahu tentang pusat tuisyen ini. Rupanya mereka mahu menubuhkan pusat tuisyen dengan mencari calon yang akan menguruskannya.

"Kalau encik Wong ok, bolehla hantar 'quatation' kepada saya dalam masa tempoh seminggu ini. Ok?"

Seperti  Encik Abdul anggap saya tahu quatation itu dia terus menjelaskan apa peracangan mereka dengan rumah sewa itu.

Saya serius tak faham istilah quatation itu apa.

"Saya fikirkan dahulu lah. Saya pun tiada pengalaman untuk perkara sebegini. Sebelum ini saya hanya mengajar biasa. Manakala ini sudah masuk bidang pengurusan."

Mereka angguk tanda setuju dengan penjelasan saya. Encik Abdul memberi saya masa seminggu untuk menyediakan 'quatation'. Perbincangan berlangsung dalam 15 minit sahaja.

Tiba sahaja di rumah, saya terus Google 'quatation' itu apa tetapi tidak dapat jawapannya. Argghh! Mengapalah aku ini berlagak pandai. Tanya sahajalah 'quatation' itu apa dalam bahasa Melayu.

Akhirnya aku terdetik nak tanya pada kakak aku.

"Quatation tu sebut harga la."

Mata saya terbuka luas tanda saya sudah faham maksud Encik Abdul dan kawan-kawannya itu. Mereka memberi peluang kepada saya untuk buka bisnes pusat tuisyen di taman ini.

Sekarang saya masih berfikir untuk terima atau tidak tawaran itu. Yelah pengalaman saya pun tidak lah banyak terutamanya dalam bidang pengurusan. Nampaknya saya perlu membuat beberapa tinjauan untuk mendapat gambaran lebih lanjut tentang pembukaan pusat tuisyen ini.


Selasa, 26 Mac 2013

Tidur di Awangan

Nampaknya kelas statistik maju hari ini kurang saya faham apa yang disampaikan oleh Dr. A. Bukan saya sahaja, lebih kurang 2/3 hadirin seperti mengantuk.

Saya rasa kerana apa yang kami belajar hari ini tidak dapat dikaitkan dengan apa yang akan kami lakukan dengan eksperimen kami nanti.

"Di negara membangun, kamu jangan berdebat semasa VIVA. Iakan sahaja," pesan Dr. A.

"Kalau di Amerika, boleh la. Di dalam bilik gaduh, di luar bilik baik sahaja. Jika di sini, di dalam bilik gaduh, di luar bilik pun gaduh." Geleng kepala Dr. A.

Selingannya itu ada lah membuka sedikit kelopak mata saya ini.

Yang lebihnya, minda saya masih terawang-awang di udara menangkap apa yang beliau ingin sampaikan.

"Saya bukanlah orang pandai tetapi saya hanya faham asas sahaja. Sebab itu saya pesan supaya kamu semua jangan jadi robot biologi. Buat kerja tanpa berfikir!"

Saya mengangguk mendengar nasihat beliau.

Banyak juga ya nasihat yang beliau berikan hari ini. Namun, ia tidak mampu menahan kami untuk terus leka dengan lamunan rahsia minda... heh.


Isnin, 25 Mac 2013

Kursus Penulisan DBP 2013


Saya jalan-jalan di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka dan terlihat tentang jadual kursus penulisan anjuran akademi DBP. Bayaran pun berpatutan iaitu RM50/hari.

Saya telah tandakan beberapa kursus yang berguna buat saya nanti.


Ahad, 24 Mac 2013

Puisi Seperdu


Terasa asyik mendengar lantunan puisi ini.


Sabtu, 23 Mac 2013

Ibu bapa sayang anak

"Saya pelik dengan budak zaman la ni," kata tuan haji sambil membuka bicara. "La ni, mak pak yang isikan borang untuk mereka."

Saya fikir bagaimana tuan haji boleh tahu?

"Bukan apa. Saya tahu pun apabila kawan-kawan saya yang minta keluar waktu kerja. Saya duk perhati je mereka ni.

"Nak pi mana?"

"Nak pi pejabat pos hantar borang anak."

Saya rasa sebab itulah ramai anak muda sekarang ni kurang hargai pelajaran mereka.

Tiga orang anak saya pensyarah. Apabila mereka balik rumah selalu juga bercerita tentang pelajar mereka. Ada yang sampaikan mak pak datang jumpa mereka minta nasihat dan disiplinkan anak. Saya kata biar pi la mereka. Anak dah besar panjang. Takkan nak kita pula jaga."

Ustaz yang duduk di sebelah tuan haji mengangguk tanda setuju. Saya hanya tersenyum mendengarnya.

Di sini, saya dapat simpulkan bahawa tuan haji membuat kesimpulan bahawa anak muda sekarang kurang menghargai apa yang mereka ada kerana ibu bapa terlalu memanjakan mereka. Ibu bapa tidak mendidik mereka untuk berdikari.

"Sebab apa pelajar sekarang malas apabila masuk universiti? Ini sebab mak pak yang isikan borang untuk mereka," tambah tuan haji lagi.

Hmmm. Terus saya terfikir tentang kehidupan saya pula. Sepanjang saya masuk matrikulasi sehinggalah sekarang, hampir semua pengisian borang saya lakukan sendiri. Abah cukup tidak suka jika saya selalu bertanya kepadanya tentang itu dan ini. Abah mahu saya buat semua sendiri.

"Aku nak kamu semua tahu isi borang. Jangan jadi macam anak si anu, sampaikan nak minta borang buat sijil SPM semula pun harapkan aku," nasihat abah kepada kami yang masih saya ingat.

Terima kasih abah kerana mendidik aku untuk berdikari. Memang pada mulanya terasa seperti diabaikan, namun kini saya faham maksud abah.


Berlainan Mazhab Penulisan


Untuk menulis, kita memerlukan seorang guru untuk menjadi mentor kepada kita. Begitu juga saya. Setakat ini saya masih tidak berguru dengan orang. Saya hanya membaca buku-buku teknik penulisan.

Apa yang saya dapati apabila berguru dengan buku ini, kita akan rasa pening dengan pelbagai jenis mazhab penulisan yang ada. Saya ambil contoh buku 'Karya Nan Indah' oleh Faisal Tehrani. Beliau menekankan falsafah sebagai elemen penting dalam penulisan. Kerana itu kebanyakan karyanya penuh dengan unsur-unsur falsafah.

Ada pula penulis lain yang menekankan watak dahulu. Ada pula latar. Dan ada juga dialog.

Oh pening kepala untuk saya fikirkan mana yang sesuai dengan saya.

Buku ini menjadi rujukan awal saya.
Ia mudah dan ringkas untuk difahami.
"Tidak digalakkan untuk kita membaca banyak buku pada satu-satu masa. Baca satu persatu sehingga kita menguasai ilmu itu," pesan seorang sahabat saya.

Sekarang barulah saya faham maksud dia. Ya memang banyak buku penulisan di atas rak buku ini. Sampaikan saya pening nak mulakan mana dahulu.

Akhirnya saya juga keliru.

Kini, saya tetapkan untuk mengambil satu sahaja mazhab penulisan sebelum berpindah ke mazhab lain. Ini bagi membuatkan saya faham apa yang saya baca dan juga membuatkan saya mahir satu-satu teknik sebelum saya berpindah pada teknik yang lain.


Jumaat, 22 Mac 2013

Terkilan dengan ajakan

"Salam Wong. Kamu nak pergi kenduri kahwin Aizat?" baca saya di kotak pesanan ringkas telefon bimbit.

"Bila?" balas saya.

"Hari Jumaat kita bertolak. Hari Sabtu lepas kenduri, malam kita pulanglah. Pergi naik bas."

Saya berasa was-was. Mengapa hari ini baru nak ajak? Saya malas nak membalas. Sedang berfikir ada apa-apa aktiviti tak saya pada hari Jumaat dan Sabtu ini.

1 jam kemudian.

Derrr... derrr... derr... gegar telefon bimbit di kocek kiri.

"Awang is calling," tertera di skrin.

Saya abaikan dahulu kerana ada ujian perlu dijawab.

Pada pukul 2 petang saya menelefon semula Awang.

"Kami pergi berempat. Ali, Ahmad dan Abu ikut sekali."

Saya hanya mengiyakan. Bila beli tiket?

"Actually, si Abu tetiba tak jadi pergi ada hal. Jadi ada kosong satu. Teringat kat kamu. Yang itu ajak ni," kata Awang.

Saya tersentak mendengarnya. Baru sahaja fikir ingin ikut sekali. Aizat bukanlah asing bagi saya. Dahulu ketika tinggal di blok J bersama, selalu sahaja saya melepak di biliknya. Bergosip bersama geng.

Namun, apabila dikatakan saya sebagai pilihan akhir dan bukannya pergi bersama, saya rasa pahit di lidah.

"Tak apalah Awang. Aku rasa aku terpaksa menolak. Hari Ahad aku perlu hadir temuduga. Kirim salam pada Aizat ya. Dan selamat pengantin baru buat dia juga." Aku menutup perbualan dengan memberi salam.

Sebenarnya saya kisah juga apabila kawan mengajak pergi ke walimah orang. Sebolehnya ajaklah seminggu atau dua minggu awal. Patutlah saya rasa semacam lain apabila tiba-tiba Awang ajak saya pergi.

Dahulu ada juga Abu ajak saya pergi walimah orang lain. Saya tidak kenal orang itu lalu saya menolak. Di sini, saya salut sama Abu kerana ajak saya awal 1 minggu sebelum pergi. Walaupun Abu dahulu pernah ada kes dengan saya, dia tetap cool mengajak saya. Terima kasih Abu.

Oh, saya tak salahkan Awang juga untuk hal ini. Dia hanya menjalankan tugasnya mencari orang mengisi lompong yang ada.

Cuma, pengajaran saya dapat di sini, sebolehnya janganlah jadikan kawan itu nombor kedua sebagai pelan simpanan sahaja. Kalau boleh, ajak awal. Jangan nak pergi esok, hari ini baru ajak. Pasti akan ada yang menolak nanti, bukan?

nota kecil: Nama diubahsuai ikut nama Melayu lama. Barulah klasik gitu~


Kerenah Orang Asing

"Adik, macam mana ujian semalam? Boleh jawab?" soal seorang kakak yang sama kelas dengan saya untuk subjek stastistik maju.

"Alhamdulillah. Boleh jawab," kata saya ringkas.

"Akak pelik la dengan budak foreigner master/phD kejuteraan tu," tambah bicara Kak Ros.

"Kenapa?"

"Selepas adik keluar, boleh pula mereka bersembang. Walhal kan sudah kata jangan sembang. Open book test je pun. Tak tahu rujuklah buku. Boleh buka laptop juga."

"Hmmm. Saya tak tahu nak kata apa. Mereka itu bukan pelajar undergraduate."

"Tu lah. Sudah beberapa kali petugas tegur pun tak faham. Peliknya masa Dr. A ajar angguk sakan." Geleng kepala Kak Ros.

Saya hanya tersenyum mendengar celoteh dia. Saya keluar 10 minit sebelum ujian habis. Tak mahu menerima tekanan lama-lama di situ.

Saya ingatkan pelajar luar negara lebih tekun berbanding pelajar tempatan, tetapi sebaliknya pula. Para pelajar pasca-siswazah kebanyakan dari Asia Tengah seperti Pakistan, Bangladesh dan India. Bahasa Urdu dan Hindustan saya lihat sama sahaja. Erk.

Seperti saya katakan sebelum ini, ujian buku terbuka dan tutorial telah Dr. A berikan 2 hari sebelumnya. Dan soalan tutorial itulah yang keluar.


Khamis, 21 Mac 2013

Trauma Ujian

Saya ini jenis yang tidak suka ujian. Terutamanya ujian akademik. Apatah lagi apabila sudah masuk dunia sarjana ini bertambah lagilah ketidaksukaan saya terhadap ujian.

Hari ini ada ujian untuk subjek statistik tinggi (advanced statistics). Sebenarnya pensyarah telah pun memberi tutorial tentang soalan yang akan keluar hari ini. Alhamdulillah. Ia seperti yang beliau katakan.

"Jangan risau tentang ujian. Apa yang penting kamu faham apa yang saya ajar," ujar Dr. Ahmad (bukan nama sebenar). "Saya tak suka panggil ia ujian. Saya lebih suka gelar ia latihan."

Terdapat satu sikap yang saya dapati dalam diri ini apabila saya mula tidak gemar ujian. Saya menjadi seorang yang tidak kompetatif. Tidak suka bersaing membuatkan saya lemah.

Saya rasa ujian memberi tekanan buat saya sehinggakan saya tidak begitu berjaya dalam menjawab apa-apa soalan dalam ujian. Erk.

Walaupun begitu, bagi saya ujian ini juga memberi kesedaran bahawa bagaimana tahap disiplin saya terhadap apa yang saya belajar secara formal. Ia berbeza dengan apa yang saya belajar secara bukan formal seperti ilmu komputer.

Banyak ilmu komputer seperti penggunaan Microsoft Words, PowerPoint dan Excel saya belajar secara tidak formal. Saya tidak berguru dengan cikgu tetapi buku ataupun kawan sahaja. Ia baik tetapi ada kelemahan juga. Saya tidak dapat kenal pasti tahap pemahaman saya belajar sesuatu.

Ini lain pula dengan pembelajaran formal yang memerlukan pelajar menduduki peperiksaan. Terdapat satu tanda aras menentukan disiplin pelajar itu terhadap apa yang dia belajar.

Saya faham apabila saya tidak bersedia untuk menjawab ujian ini bermaksud saya juga tidak berdisiplin dalam menghadapi ujian tersebut.

Terfikir pula saya bagaimana dengan ujian Allah? Kita sentiasa diuji oleh Allah. Cuma kita tidak sedar tentang itu. Apa yang penting kita melihat sesuatu dengan penuh hikmah.

Contohnya macam sekarang inilah. Saya boleh jawab ujian tersebut tetapi tidaklah sebagaimana yang sepatutnya.

Memanglah ujian itu buku terbuka (open book), tetapi tidak bermaksud ia senang. Kalau tak tahu mencari jawapan yang betul, susah juga boleh jadinya.

Apa yang boleh saya buat adalah dengan mendoakan agar ujian ini memberi satu kesedaran untuk saya kekal berdisiplin dalam menuntut ilmu.

Ujian daripada Allah siapa yang tahu kecuali saya dan Allah sahaja.


Rabu, 20 Mac 2013

Epal Hitam

Orangnya hitam manis. Badan biasa sahaja. Tingginya tiga per empat pintu rumah. Selalu dengan celoteh menarik tentang Pangkor. Itulah si dia yang tidak lepas daripada kehidupan seorang mahasiswa di universiti tempatan.

Izzat (bukan nama sebenar), mengambil ijazah sarjana muda di universiti terletak di Serdang. Hidupnya seperti mahasiswa lain sibuk dengan kelas berbelas jam kredit. Tak terlepas sehari daripada kehadiran ke kelas.

Epal Hitam buat semua.
Izzat memang dikenali ramai. Bagi rakan sejurusannya, dia seorang yang bijak. Cuma sikapnya itu kurang bijak. Heh.

"Kenapa kamu datang lambat?" ujar Dr. Fatimah (bukan nama sebenar).

"Maaf Dr. Saya terserempak dengan pak Arab tadi," jawab Izzat.

"Habis tu?"

"Lalu kami bersembang bertanya khabar."

"Sampai satu jam sembang?"

Izzat hanya tersenyum sipu mengiyakan kenyataan itu. Dia berlalu mencari tempat duduk di belakang. Rakan-rakan yang mendengar sudah terkekek ketawa.

Pernah suatu hari ketika mengambil kelas bahasa Inggeris 'Interaksi Oral', selalu sahaja dia lewat.

"I'm at lost," jawab Izzat selamba apabila Puan Chandrika (bukan nama sebenar) bertanya.

Akhirnya satu kelas setuju menggelarnya 'The Lost Man'.

Di sebalik sikapnya itu, Izzat memang seorang rendah diri. Ramai tidak tahu kisahnya yang banyak dipaparkan melalui cerpen-cerpen yang ditulisnya sendiri.

Entah kenapa nama Epal selalu melekat pada isi cerpen yang dikarangnya. Mungkin banyak salah di awal penceritaan, namun Izzat kekal dengan semangat membara menulis cerpen.

Walaupun seorang pelajar jurusan Sains Ternakan, dia memang meminati sastera. Mungkin awalnya sastera Inggeris mewarnai hidupnya itu, lama kelamaan, sastera Melayu jua yang dinukilkan olehnya.

Hidup tidak semestinya satu jalan sahaja. Cabang takdir hanya Tuhan yang tahu. Manusia hanya merancang dan perihal esok hanyalah perkara ghaib. Tiada siapa tahu kecuali yang Tuhan mencipta manusia.

Izzat gigih menulis tentang epal. Peliknya dia minat menulis epal hitam. Cantik bersinar fikirnya.

Kelas? Dia tetap hadir. Namun sikapnya... begitulah. Hatta sampai ke peringkat peperiksaan akhir pun boleh terlewat.

Akhirnya dia berjaya bergraduat jua. Walaupun lewat sedikit, namun tidak mengapa kerana prinsip Izzat, biar lambat asal selamat. Tuk kura-kura lambat, namun dia gigih melawan arnab yang sombong. Bukankah kegigihan itu lebih penting berbanding kesombongan?

Beberapa bulan kemudian terdapat satu novel misteri mendapat perhatian bacaan ramai. Sungguh ia mengujakan bak penulis J.K Rowlin! Walaupun ia bukan tentang sihir, namun kisah-kisah dahulu kala kehebatan orang Melayu menjadi asas kejayaan novel itu.

Si pengarang menggunakan nama Epal Hitam. Novel 'Sang Pengembara Lepas' mendapat tempat di hati muda mudi. Ia pencetus kepada revolusi sejarah Melayu. Sentuhan rasa yang baru dan tidak kaku membolehkan Epal Hitam terus menerus menerbitkan siri-siri novelnya itu.

Sejarah bagaikan roda. Hanya perlu orang memutarkannya untuk menaikkan mana yang telah jatuh hilang dilupai zaman. Dan Epal Hitam berjaya memutar sejarah kegemilangan orang Melayu dahulu kala.

Ramai anak muda mula ingin tahu apakah sejarah mereka. Revolusi Epal Hitam memang hebat hinggakan ada satu desakan baru meminta kerajaan menyemai semula subjek sejarah dengan perspektif yang lebih tegar.

Epal Hitam membawa erti bahawa perjuangan orang Melayu dahulu kala bukan kerana cukai, tetapi kerana jihad. Ya jihad. Mereka berjuang menentang penjajah bukan kerana wang atau harta, tetapi kerana mereka memahami erti jihad.

Dan siapa sangka, si penulis Epal Hitam itu seperti apa yang anda semua tahu.

Dahan pokok bukan bercabang satu. Dan dahan yang Izzat pilih, bukanlah satu.

*cerpen ini khas saya tujukan kepada Ai Radium sempena umurnya mencecah 24 tahun hari ini.

Semoga terus cekal menulis.


Namaku Perang

Saya seorang penyayang. Itu kebenaran. Heh. (yelah, kalau saya tak mengaku, siapa lagi nak kata begitu, bukan?)
Lompat si kucing lompat.

Pada hari ini saya terserempak dengan seekor kucing berwarna hitam dengan beberapa belang perang. Saya tersenyum melihat kucing itu. Apabila diimbau kembali, saya datang daripada keluarga yang tidak suka akan kucing.

Kucing ini ibarat pemangsa bak harimau memburu sang kancil di rumah saya. Mana taknya, setiap kali anak ayam menetas di rumah, pasti akan hilang seekor demi seekor dilahap oleh si pemangsa liar. Apabila diselidik, jelas pemangsa itu kucing.

Lalu, ibu memang tidak gemar akan kucing. Apatah lagi abah. Saya ingin turut serta bersama mereka, namun satu peristiwa merubah segalanya. Pasti peristiwa itu berkaitan dengan saya seorang penyayang. Heh.


Selasa, 19 Mac 2013

Anjing Agrobio

Charlie mencari mangsanya.
Di fakulti tempat saya belajar ada seekor anjing yang suka membuat onar. Habis semua orang dikejar dengan salakannya. Yang pasti ia menakutkan saya!

"Melati, kau tau tak, aku kena kejar dengan anjing di tempat letak kereta tu masa aku bonceng motorsikal," kata Melur.

Saya yang hanya duduk di meja saya memasang telinga mendengar.

"Itulah. Aku tak tahulah apa kena dengan anjing tu. Aku berjalan kaki, tak pula dia kejar," tambah Melati pula. Melati naik kereta jadi tiada kes dia dikejar anjing.

Anjing ini cukup pandai mengejar orang yang membonceng motorsikal. Saya yang leka membonceng motorsikal selalu terkejut dengan salakannya. Ia seakan hampir-hampir menggigit saya. Sungguh menakutkan!

Terus saya memulas laju motorsikal saya.

Perkara ini bukan berlaku sekali, malah berkali-kali. Anjing liar ini sungguh menakutkan! Saya ingat ia akan pergi dalam masa sebulan dua nanti, tetapi harapan hanyalah harapan.

Seperti saya lihat tempat letak kereta di bersebelahan blok B menjadi tempat ia melepak.

Lama-kelamaan saya sudah tidak kisah dengan salakannya itu. Heh. Saya sentiasa berjaga-jaga apabila lalu di situ. Malah menantikan kemunculannya itu.

Takut nanti terkejut dengan salakan entah dari mana olehnya.

Saya namakan ia Charlie. Heh. Suka dia menyalak pada saya tiap kali ia melepak di tempat biasanya.

Charlie tidak mengejar sampai habis. Selalunya dalam lingkungan tempat letak kereta itu sahaja. Selepas puas menyalak ia akan kembali ke tempat ia melepak iaitu di tengah tempat letak kereta.

Hari ini saya pulang dan lihat Charlie menyorok di celah kereta. Bersedia untuk menerkam saya dengan salakannya itu. Heh. Maaf ya Charlie, aku sudah nampak kelibatmu.

Terus dia cuba melompat mengejar motorsikal saya, tetapi ia patah balik kerana melihat saya memerhatikannya kala dia keluar dari tapak persembunyiannya itu.




Jemaah Samseng


Saling melengkapi antara satu sama lain. Itulah fungsi pelbagai jemaah yang ada.

 Pendekatan berlainan daripada biasa. Ada yang mengatakan dialog yang dipamerkan tidak mencerminkan peribadi muslim, tetapi bukankah tajuk itu sendiri sudah lain?

Tak perlu kita fikirkan perkara remeh. Agenda besar lagi banyak perlu kita tegakkan. Tidak perlu bergaduh hal-hal remeh ini. Berlapang dada dengan apa yang ada.

Jika tak puas hati sangat, pergi buat video sendiri. Ok?


Isnin, 18 Mac 2013

Pen Amanah


Manusia selalu leka dengan apa yang mereka kerjakan. Mereka terlalu asyik dengan diri sendiri sampai lupa apa yang mereka ada.

Aku melihat sendiri peristiwa itu di hadapan aku. Bukan nak mengata tetapi itulah hakikatnya. Manusia tetap manusia. Mereka masih seorang pelupa. Kadang-kala kata yang sedikit mampu menghiris hati yang basah.

Aku tahu aku menyertai gerakan ini bukanlah mudah. Telah aku berusaha membersihkan diri aku dengan air berguguran tiap-tiap malam. Ah biarlah hanya aku dan Tuhan yang tahu.

Peristiwa itu begitu meruntun jiwa aku. Tidak aku sangka aku boleh bertemu seorang yang mampu memberi hati aku kesedaran hidup. Habis semalaman aku memikirkannya.

"Akhi, boleh saya pinjam pen sekejap? Saya terlupa bawa," pinta aku kepada sahabat di sebelah. Sebagai seorang urus setia majlis perkaderan ini, aku mestilah perlu sentiasa bersiap sedia dengan pen. Entah macam mana aku boleh tertinggal pen di dalam kereta.

"Ambillah. Nanti jangan lupa pulang," balasnya.

Aku hanya meanggukkan kepala tanda aku akan pulangkan nanti.

Sungguh sibuk hari itu. Dari pagi sampai ke petang tangan aku asyik mengangkat sana situ barang yang ada. Ini tidak termasuk lagi menulis itu dan ini tentang program yang berlangsung.

Program 2 hari ini penuh dengan pelbagai aktiviti. Hari pertama aku tempuhi dengan baik. Malam sudah mula pekat. Para peserta mula beredar seorang demi seorang untuk naik ke bilik hotel untuk berehat. Aku pun turut serta naik.

Sampai di pintu bilik 405, ada orang memegang bahu aku dari belakang.

"Assalamualaikum akhi." Satu suara yang aku kenal

"Waalaikumussalam. Oh ya Rizuwan. Ada apa hal?"

Dia memadang muka aku seperti ingin meminta sesuatu.

"Jangan buat lupa pula akhi. Saya perlu balik malam ini juga. Ada hal di kampung."

Aku keliru dengan kenyataan dia itu.

"Pen saya?"

Ya Allah! Sungguh aku lupa tentang itu. Aku meraba kocek di dada kiri. Kosong. Aku meraba di kocek seluar kiri dan kanan. Juga kosong.

Terus aku minta dia tunggu sebentar. Aku bergegas pergi ke dewan tadi untuk mencari pen itu. Sampainya sahaja aku di situ kelihatan seperti dewan sudah dikemas oleh pekerja hotel. Aduh. Habis setiap meja yang aku rasa ada aku singgah aku selongkar. Kosong.

Badan aku mula rasa tidak sedap. Rizuwan sudah tercegat di pintu dewan.

"Maaf akhi. Saya betul tidak sangka boleh hilang pen enta."

"Inilah ikhwah. Bagi pinjam sahaja barang mesti tak jaga baik baik. Amanah susah nak jaga. Tak apalah. Ana pulang dahulu." Bergegas dia pulang bersama isteri yang menunggu di pintu hotel.

Aku terkesima mendengar kata-kata itu. Sungguh ia memberi kesan kepada aku. Amanah.

Sampai sahaja di bilik aku mendengar beberapa rakan yang turut menginap sibuk bercerita tentang hidup berkeluarga mereka. Bermula dari ingin mencari pasangan sehinggalah sudah mempunyai anak.

Aku tidak turut serta dalam perbualan itu. Hati aku seperti terendam dalam air sejuk. Beku memikirkan kata-kata yang dilontarkan oleh Rizuwan itu tadi.

Malam semakin pekat. Seorang demi seorang beransur meminta diri untuk tidur. Aku pula tidak dapat memejamkan mata ini. Teringat pesan ustaz, jika ada buat salah, sebolehnya minta maaf. Aku telah minta maaf tetapi seakan Rizuwan tidak meredhainya.

Pantas aku fikir lebih baik aku kuatkan ucapan maaf aku dengan menghantar pesanan ringkas kepadanya. Cukup panjang pesanan ringkas yang aku hantar. Tanda betul aku ikhlas memohon maaf atas kesalahan aku. Kehilangan pen yang diamanahkan aku begitu besar ertinya buat aku.

Kerana iman menjaga aku daripada pecah amanah.

Setengah jam kemudian sedang ingin aku terlelap, kedengaran dua bunyi beeb daripada telefon bimbit aku.

"Tak mengapalah. Ana maafkan."

Ringkas sahaja jawapannya. Aku tidak pasti bila mata aku sudah terlelap. Yang pasti aku dikejutkan oleh rakan sebilik aku, Amin untuk bangun solat Subuh berjemaah di surau hotel.

Program berjalaan dengan lancar untuk hari kedua. Aku pulang dengan seribu satu pengalaman tentang amanah. Kini aku tahu ertinya amanah. Apa rasanya apabila kita pecah amanah dan iman memberi kesannya kepada aku.

Terus, setiap kali aku berjalan keluar ke mana-mana, pasti sebatang pen terikat di kocek kiri kemeja aku.

Beberapa bulan kemudian aku menghadiri konvensyen anjuran gerakan. Aku fikir Rizuwan juga pasti akan turut serta kerana aku terlihat senarai namanya di dalam senarai peserta yang akan hadir dari zon Selatan.

Aku sudah bersedia memulangkan amanah yang diberikan kepada aku dahulu. Bukan aku berdendam tetapi aku mempunyai iman. Aku tahu erti amanah. Aku tahu sakit hatinya ini apabila kepercayaan yang diberikan dirobek oleh peristiwa yang berlaku.

Orang ramai berasak-asak di Dewan Seri Pulasan. Semua kerusi merah penuh. Aku melilau ke sana ke mari mencari Rizuwan. Aku melihat kelibat lelaki berbaju kot kelabu berkemeja putih lalu di hujung dewan. Terus aku mengejarnya.

Lelaki itu sedang sibuk bersembang dengan telefon bimbit di telinga kirinya. Aku tunggu di sebalik pintu dewan. Tidak mahu mengganggu perbualannya itu.

Perkataan salam terdengar di hujung perbualan itu. Aku tahu itu tandanya aku masuk. Aku buat seakan-akan aku ingin ke tandas.

"Eh Rizuwan! Assalamualaikum." Aku menghulur tangan sambil melagakan pipi padanya.

"Waalaikumussalam, Fateh. Alhamdulillah baik," jawab dia.

Kami bersembang seketika tentang kehidupan masing-masing. Kemudian, dengan perlahan, aku mengeluarkan sebatang pen berwarna biru jenama G-Soft dari poket kiri aku dan menyerahkan kepadanya.

"Ini akhi. Pen yang saya terhilangkan. Saya gantikan semula," kata aku ringkas.

Dia terkejut dan cuba menolak. Aku terus meletakkan pen itu di kocek kotnya itu. Dapat aku lihat raut wajahnya mula berubah tersipu malu.

Hanya senyuman manis dapat aku balas dan aku kembali ke dewan ke tempat duduk aku tadi.


Landak kecil yang comel


Oh oh saya begitu suka akan video ini! Pandai jurukamera merakam video ini. Pengacaranya juga bijak dalam menerangkan apa itu landak kecil (hedgehog).

Saya sebenarnya teringin juga buat video hortikultur tetapi takut nak mula. Heh. Video ini mungkin boleh menjadi contoh untuk saya jadikan sebagai pemula saya terus bertapak sebagai pakar hortikultur urban.


Penulis harapan vs Penulis betul


Saya terkesima seketika apabila berjumpa dengan seorang pak cik ini. Dia berumur dalam lingkungan 40-an. Baik orangnya. Pekerjaan dia sekarang adalah menjual buku terpakai. Kami berkenalan ketika dia menjual di Pesta Kolej Canselor Jumaat lepas.

Sekarang dia sambung PhD. di sebuah universiti swasta di Selangor. Katanya dia memohon MyBrain.

"Saya ini sudah sertai pelbagai seminar menulis," kata bangga pak cik itu.

Saya teruja mendengar pengalamannya itu. Banyak dia bercerita tentang teknik penulisan yang dia pelajari.

Apa hasilnya, tanya saya.

"Hmmm. Itulah..." Sambil membelek-belek susunan buku di atas meja jualannya.

Saya senyum.

"Kita takkan tahu tahap kita sebenar sehingga kita mula langkah pertama kita," kata saya ringkas.

Saya mula sedar bahawa untuk menjadi penulis yang betul penulis dan bukannya penulis harapan, hanyalah dengan menulis dan bertindak atas penulisan kita itu. Kita tidak boleh terawang-awang di langit minda bercita-cita untuk menulis tetapi tidak langsung cuba untuk menulis.

"Ada blog?" tanya saya.

Dia hanya menggelengkan kepala. "Saya ini kurang sikit dengan IT."

Saya senyum. Orang tua memang begitu. Suka guna alasan begini walhal inilah cara terbaik untuk cepat mendapat tempat di pasaran penulisan. Lihatlah Hilal Asyraf. Tidak sampai umur 25 tahun banyak buku telah beliau tulis. Hebat. Ini semua kerana beliau bertindak dengan apa yang beliau ada.

Beliau juga dahulu bermula dengan blog. Kemudian berjinak dengan blog persendirian dan akhirnya menubuhkan syarikat sendiri.

Bagaimana dengan saya pula? Oh saya telah mulakan langkah pertama saya dengan menulis blog dan mencipta page saya sendiri.

Saya mula nampak bidang yang boleh saya pergi. Mungkin bidang hortikultur ini tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya saya berjalan dan terus berjalan.

Saya ambil kad nama pak cik itu dan berjanji akan melawat kedai bukunya suatu hari nanti. Seronok bersembang dengannya.

Saya pergi dengan beberapa buah buku terpakai di tangan setelah membuat bayaran.


Tercampak ke lembah leka


Saya tercari-cari kenapa asyik saya dengan Facebook? Sekarang saya mula faham apa maksud Leo Baubata mengatakan bahawa Facebook membuatkan dia kurang produktif.

Hmmm. Saya setuju dan kurang setuju. Pertama Facebook menjadi medium utama untuk saya berinteraksi dalam organisasi yang saya sertai. Nak tak nak saya kena login Facebook juga.

Lagi, page yang saya cipta mula mendapat sambutan. Ia menjadi medium pemasaran buat saya khususnya.

Apa yang boleh saya lakukan adalah saya menghadkan aktiviti saya berFacebook. Bermaksud saya kurangkan aktiviti tidak berguna saya di Facebook seperti melihat status 'merah' FB setiap 10 minit!

Agak ironi di situ. Yelah. Saya cek FB setiap 10 minit untuk apa yea? Tertanya juga diri saya ini. Leo Baubata juga berkata jika saya sedang fokus menulis kemudian kejap kejap berhenti membuat benda lain saya secara tidak langsung mematikan kreativiti dalam minda saya ini.

Yang ini saya setuju. Saya ada jugalah buat beberapa kajian pendek tentang ini. Saya lihat jika saya fokus untuk buat kerja tanpa gangguan selama beberapa hari, saya dapat menulis dengan baik. Idea sentiasa datang mencurah-curah (bukan ke ladang gandum).

Peliknya apabila saya asyik dengan Facebook, minda saya seperti tersekat-sekat. Boleh dilihat melalui kekurangan saya berblog setiap hari. Erk?

Saya juga perlu menjadi kemas. Hmmm. Ini agak sukar kerana seorang lelaki... hehehe. Berselerak. Bilik saya... (tiada komen).

Apapun, penulisan berterusan perlu diteruskan atau jika tidak saya akan jadi orang yang hanya biasa biasa sahaja dalam kehidupan ini.





Bersama Zamri Mohamad - Penulis Best Seller


Antara kaedah terbaik untuk memotivasikan kita menulis buku atau rencana adalah dengan mendengar perkongsian kejayaan penulis lain. Dalam temubual (audio) ini, encik Zamri Mohamad berkongsi tentang kisah awal beliau menulis buku.

Ya beliau mungkin bukan pakar, tetapi lama-kelamaan beliau membentuk kepakaran itu. Saya salut sama beliau. Hebat!

Beliau juga menangkis persepsi masyarakat mengatakan rakyat Malaysia kurang membaca. Sebagai penulis buku, beliau lihat terdapat peningkatan dalam jualan buku-buku beliau. Nampaknya kajian mengatakan rakyat Malaysia membaca 2 buah buku setahun sudah ketinggalan zaman.

Mungkin juga saya boleh timbulkan persoalan baru dalam kajian itu... Siapa yang menerbitkan kajian itu amat keji... Heh.


Ahad, 17 Mac 2013

Kerut serius

 

Setiap apa yang kita lakukan perlulah serius. Bermaksud jangan bermain-main hatta bergurau.

Saya pelajari benda ini apabila saya bergaul dengan rakan-rakan sekitar saya. Saya mengaku saya mudah terpengaruh dengan rakan sebaya (faktor rakan sebaya katakan...).

Ada di antara rakan saya yang suka bergurau penipuan.

"Kalau aku tahu, aku nak berhenti kerja. Dia sudah lah suka ini itu .. bla bla bla.."

Akhirnya saya lihat dia kekal lagi dengan kerjanya itu.

"Aku suka pergi Langkawi. Nanti nak beli ini itu ... bla bla bla ..."

Tak juga pergi.

Perkara ini memberi kesan langsung kepada saya bagaimana saya bersembang dengan rakan-rakan. Ya saya juga suka bergurau sebegitu rupa.

Saya buat begitu hanya ingin melepaskan geram (gosip) atau untuk berkongsi harapan. Tetapi apabila melihat orang lain begitu, saya mula menilai adakah sikap itu patut ada dalam diri saya ataupun saya patut buang ia jauh-jauh.

Akhirnya saya membuat keputusan untuk hanya berkata perkara serius sahaja. Apatah lagi antara pesanan Hasan Al-Banna bahawa:

Jangan suka berjenaka atau berolok-olok, kerana umat yang berjuang tidak mengenal yang lain selain kesungguhan.

Lalu, eloklah saya berkata perkara baik baik sahaja atau kekal diam mendengar.

--

Nota:
1. Saya kurang gemar dengan orang yang suka mengata nak buat ini dan itu. Akhirnya tak buat juga.
2. Bergurau juga ada hadnya. Jangan sampaikan kita menyampaikan fitnah.
3. Lebih elok berdiam sahaja jika tiada apa yang hendak diperkatakan. Dengar sahajalah.


Sabtu, 16 Mac 2013

Masih satu langkah

"Aku takut la nak beritahu anak buah aku tentang ini," kata sahabat saya kepada.

Saya diam sahaja mendengar.

"Aku takut nanti kalau aku bagitahu hal sebenar, mereka akan fikir lain dan lari," tambah dia lagi.

Kejap. Pernah beritahu atau tak pernah beritahu?

"Takut nanti..."

Berhenti. Biar saya ceritakan kisah saya pula. Saya mengasaskan blog ini pada awalnya juga rasa takut. Bermacam-macam perkara saya fikirkan. Apa kata rakan-rakan saya nanti?

Mesti mereka ingat saya ini berlagak untuk buat blog. Saya bukanlah orang terkenal malahan tulisan saya biasa biasa sahaja. Apa kredibiliti saya buat blog? Baguskah tulisan saya sampai nak buat blog?

Saya terlalu banyak berkhayal sampaikan pemikiran dan persoalan yang timbul membuatkan saya takut untuk mencuba. Takut untuk bertindak...

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk bermula dengan satu langkah setelah melihat orang lain (sahabat saya) jauh ke hadapan menulis blog.

Dia tulis lagi teruk daripada saya (yela dengan ayat rojak dan smsnya. Maaf ya saya memang anti bahasa Alien).

Dari situlah saya belajar jatuh dan bangkitnya berblog ini. Ada masa saya dikutuk kerana penulisan bersifat baku. Ada masa saya dijatuhkan kerana suka membuat onar. Namun, saya teruskan juga langkah saya ini. Biar saya dapat menegakkan bendera saya di alam maya ini.

Ya memang bukan mudah untuk tembusi pasaran dunia blog Internet ini. Tambahan pula saya ini masih dikira orang baru (saya berblog sejak tahun 2011).

Tetapi, sekurang-kurangnya saya mula dengan satu langkah. Kemudian setapak lagi. Dan setapak lagi. Jika saya terjatuh, saya akan bangun semula. Mulakan ia lagi sekali. Muhasabah kenapa saya jatuh dan teruskan lagi langkah saya.

Kerana, setiap perjalanan bermula dengan satu langkah.


Jumaat, 15 Mac 2013

Bermula dengan satu langkah

Setiap kejayaan bermula dengan satu langkah. Setiap pekerjaan bermula dengan hari pertama. Begitu jugalah saya dalam memahami erti kehidupan ini.

Saya mula berjinak dengan Facebook seawal tahun 2009, diperkenalkan oleh rakan sejurusan saya. Kemudian pada tahun 2011, saya mencatat sejarah tersendiri dengan mencipta blog saya ini. Seperti seorang bayi, saya merangkak untuk mempelajari setiap perkara baru yang masuk dalam diri saya.

Kini, saya berjinak pula dengan laman web. Saya tak nafikan laman web di bawah kelolaan saya masih di tahap amatur. Lihat lah laman web Me Write Manglish dan Jom Tanam Sendiri.

Tema rekaannya pun masih biasa. Tidak gah seperti laman web lain.

Saya tak nafikan proses pembelajaran untuk saya mahir amat lambat berbanding orang lain. Alasan utama saya adalah malas. Oh sungguh ironi mendengar alasan itu bukan?

Walhal boleh je kalau saya berusaha istiqomah dalam perbuatan saya.... Erkkkk... Itu... sukar saya katakan di sini.

Apa yang ingin saya katakan sebenar, ialah tentang jumlah like yang mula meningkat di page JTS. Saya bersyukur, Alhamdulillah.

Insya-Allah, peristiwa ini memberi saya motivasi semula untuk menulis tentang hortikultur. Pada awalnya saya ada menulis sedikit tentang hortikultur, tetapi seperti sambutannya kurang membuatkan saya hilang motivasi. Lalu saya tinggalkan sahaja ia di page JTS.

Ada beberapa orang bertanya tentang teknik perkebunan terbaik mengikut tempat mereka. Gembira saya menjawabnya.

Mungkin kekangan masa sebagai seorang sarjana membuatkan saya tidak dapat untuk memberi komitmen penuh menulis di laman web JTS. Saya akan buat yang terbaik membahagikan masa saya kini.

Hei, seperti di awal kata, bukankah kita semua bermula dengan satu langkah?


Rabu, 13 Mac 2013

Keghairahan dalam pekerjaan


Menonton video ini memberi saya motivasi kembali untuk menulis. Saya suka menulis. Saya menulis bukan kerana duit (tapi perlu juga duitlah untuk menulis).

Saya suka berkarya di blog, Facebook dan Wikipedia.


Pangkat Master

Apabila bergelar sarjana, perlulah bertindak sebagai seorang sarjana juga. Petang tadi saya ada bersembang dengan rakan saya tentang tugas menjadi sarjana.

"Kamu dikira untunglah. Ada bilik siswazah. Aku pula terpaksa melepak di makmal."

Saya hanya senyum dan menganggukkan kepala. Apabila bersembang dengan rakan-rakan sesarjana, saya rasa beruntung dengan apa yang saya ada. Alhamdulillah saya ucapkan.

"Sekarang budak ijazah tahun akhir mula sibuk di makmal buat projek mereka. Nak tak nak aku kena tolong mereka. Tapi aku tak boleh nak bagi kata putus dalam buat eksperimen. Takut nanti aku salah," ujar rakan saya itu.

"Ok la tu. Sekurang-kurangnya kamu ada lah menolong. Ni di fakulti aku ada seorang warga asing peringkat sarjana macam kita masih tak tahu bagaimana nak guna pipet," kata aku.

"Hah!? Itu teruk sangat."

Hahaha. Kami tergelak-gelak bersama. Warga asing itu adalah seorang warga Iran wanita lingkungan umur 25-an.

Bagi saya, itu amatlah mengecewakan jika seorang yang telah mendapat ijazah tidak tahu langsung nak guna barang makmal. Kalau lupa boleh dimaafkan kerana almaklumlah manusia ini mudah lupa jika tidak diamalkan ilmu. Seperti kata-kata yang biasa kita dengar, "ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah".


Selasa, 12 Mac 2013

Lempeng kentang Korea


Terasa nak masak pula. Nyum~


Sahabat baik penyelidik


Dia hidup sudah lama
Diguna pakai oleh ramai orang
Mula dikenal ramai hanya kerana
kepantasannya.
Dulu orang menyebut Yahoo!
Kini orang menyebutnya pula
Sungguh ia laju
Memberi khidmat terbaik buat
si penyelidik
Kaulah teman,
Kaulah sahabat,
Kalaulah guru,
Oh Google...

Saya suka guna Google untuk mencari maklumat. Selalunya maklumat yang saya nakkan pasti muncul pada carian pertama.

Baik sungguh Google. Dulu saya tak tahu pun guna enjin carian. Memang susah apabila kena ingat nama laman web untuk mencari maklumat.

"Aku tak ingat laman apa entah. Aku ingat kata kuncinya dan kemudian Google sahaja," kata kawan saya apabila saya bertanya bagaimana dia hebat dalam maklumat tentang komputer.

Sejak itu saya mula berjinak dengan Google. Siapa sangka kemudiannya saya dimurahkan rezeki oleh Allah mudah memahami apa yang saya Google. Alhamdulillah.

Mengikut pengalaman saya, apa yang penting kena pandai guna kata kunci apabila nak Googling. Jika tak, maklumat kita nak cari memang sukar.

Sedihnya, jika kita Google bahasa Melayu, jarang-jarang jumpa maklumat yang baik. Ada pun di Wikipedia Bahasa Melayu. Namun ia tidak lengkap. Malahan ada yang kurang berkualiti. Nampaknya pengguna bahasa Melayu belum lagi pandai menggunakan internet, fikir saya.

Tak. Itu tidak betul sama sekali. Sekarang saya turut menyumbang di WBM. Jadi adalah pengguna bahasa Melayu yang pandai guna internet dalam BM. Orang lain? Kenapa saya perlu kisah dan harapkan orang lain jika saya sendiri tidak mulakan dahulu?

Eh? Jauh pula saya menyimpang. Balik kepada cerita utama kita, saya kini bergelar pelajar sarjana mendapati Google memudahkan saya mencari maklumat di buku.

Semalam saya cari tentang petai belalang. Terjumpa maklumat ringkas dan padat tentangnya di Google book. Saya cuba cari di katalog PSAS (perpustakaan UPM), tiada pula bukunya.

Ah biarlah. Janji saya sudah dapat maklumat apa yang saya perlu. Banyak lagi saya perlu baca. Dan Google membantu saya mencarinya pada tempat yang betul.


Isnin, 11 Mac 2013

Tertangkap

Suasana nyaman di dalam bilik siswazah ini. Penyaman udara semestinya menjalankan fungsinya dengan baik. Suhu tertera 24 oC mampu memberi keselesaan kepada semua penghuni di bilik ini.

Di situ dilihat ada 3 orang lelaki sedang asyik dengan kerja mereka di meja masing-masing. Manakala 3 orang wanita pula sibuk dengan kerja mereka juga. Masing-masing sibuk melihat komputer riba di atas meja.

Kadangkala terdengar bunyi pintu dikuak. Budak lelaki berwajah Tiong Hua yang mejanya kedua dari pintu sekali sekala memandang manusia yang masuk. Senyuman menjadi sapaannya.

Penghuni lain pun begitu. Kadangkala mereka endahkan sahaja siapa yang masuk. Biarlah, asalkan hal sendiri berjalan.

Lelaki berwajah Tiong Hua itu pula sedang leka melihat komputer ribanya. Tidak sedar penghuni yang baru masuk memerhatikan dia dari belakang.

"Ha! Ini kerja kamu?"

Mata lelaki itu terbungkam mendengar suara sergahan itu. Alamak! Dia tahu akibatnya...

"Kata sahaja baca jurnal. Saya lihat awak berwajah buku je di sini. Ish. Bila nak siap kerja kamu kalau sikap kamu begini?" Tegur Dr. H kepada Wong.

Wong hanya menangguk-angguk dan memohon maaf kepada Dr. H.

"Maaf Dr. Saya nak melepaskan tekanan sekejap."

Dan mula lah perleteran di bilik Dr. H.

Timbul satu perasaan kesal di hati Wong. Mengapalah dia tidak begitu rajin seperti pelajar sarjana di bawah seliaan Dr. H?

Setelah 20 minit butir peluru dilepaskan, Wong dilepaskan pergi dengan beberapa kata nasihat agar dia bermotivasi dalam mengerjakan projeknya.


Kesan Viral pada JTS

Istilah viral merujuk kepada penggandaan virus yang cepat. Ia boleh dikaitkan dengan penyakit HIV iaitu penyakit yang masih tiada penawar akibat serangan virus HIV ini.

Viral kini merujuk pula berkenaan perkongsian secara talian oleh pengguna laman sosial seperti di Facebook, twitter, Google +, dan lain-lain. Kalau di Malaysia, video Dengar! Dengar! Dengar! mendapat perhatian sementara setelah ia menjadi viral dalam masa beberapa minggu. Sekarang ia sudah senyap. (kisah tipikal di Malaysia).

Laman sosial membuatkan sesuatu
maklumat itu mudah menjadi viral.
Terdapat satu gambar yang saya postkan di laman Facebook saya dan ia menjadi viral. Ia berkenaan cara untuk menyiram pokok tanpa perlu bersusah payah pada waktu panas.

Mengikut kajian saya, gambar tersebut banyak dikongsikan oleh orang di sebelah Borneo. Semalam saya lihat hanyalah 40 kongsi. Kini lebih daripada 500 kongsi! Betul betul membuatkan saya terkejut!

Secara tak langsung terdapat peningkatan mendadak jumlah 'suka' pada 'page' Jom Tanam Sendiri. Kalau semalam hanyalah 400 suka sahaja, sekarang mencecah 900 suka!

Alhamdulillah. Syukur saya. Nampaknya ada rakyat Malaysia yang masih ada kesedaran untuk tanam sendiri di rumah. Mereka cuma perlukan satu platform untuk bertanya dan berkongsi idea tentang ini.

Saya nampak itu dan menyediakan untuk mereka berkongsi bersama. Insya-Allah saya akan pergiatkan lagi perkongsian menarik yang saya jumpa di page-page lain. Saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu agar ia mudah difahami ramai oleh rakyat Malaysia sendiri.




Ahad, 10 Mac 2013

Buku Hati


Buku itu untuk dinikmati,
Kisah penghujung bukanlah diminati,
Liku liku perjalanan itu dinanti,
Kerana ia terkesan di hati.


Tiba masanya menjadi serius

Buku untuk dibaca.
Saya akhirnya membeli sebuah buku bertajuk "Buat Duit dengan Tuisyen". Saya mahu menimba ilmu lebih dalam pengajaran saya sebagai seorang cikgu tuisyen. Saya ingin membaca lebih dan tahu lebih tentang pandangan dan pengalaman orang lain yang menjadi cikgu tuisyen.

Saya memang minat penulisan Osman Affan. Tulisan beliau mudah dan ringkas. Ia senang difahami dengan kisah-kisah yang beliau paparkan.

Saya baru membelek tentang kisah seorang cikgu di Pusat Tuisyen beliau. Kisahnya dia juga dahulu seperti saya. Ditolak mengajar oleh pelajar Pusat Tuisyen kerana pengajaran yang hambar.

Cikgu itu kemudian menjadikan pengalaman ditolak itu sebagai teras untuk dia belajar bagaimana teknik mengajar yang betul. Akhirnya, dia berjaya. (sebab tu cerita dia masuk dalam buku ini).

Saya belum membaca habis lagi buku ini. Saya pasti ia mengandungi tips yang bagus dan menarik untuk saya praktikkan bagi pengajaran kelas saya.




Sabtu, 9 Mac 2013

Pengembaraan 6 pilihan


Di sebuah kampung, terdapat seorang budak bernama Kacang. Dia tinggal berseorangan di hujung kampung. Hidupnya biasa sahaja. Tiada apa yang menarik untuk diceritakan.

Pagi dia bangun untuk mencari rezeki. Petangnya dia sambung mencari rezeki. Malamnya dia tidur setelah penat mencari rezeki.

Rutin hariannya biasa sahaja.

Namun begitu, hidup tidak semestinya sesempurna itu. Pasti ada liku liku yang perlu dilalui oleh setiap manusia. Jika tak masakan manusia itu akan jadi hebat.

Hanya yang mampu menempuh cabaran sahaja boleh berjaya. Yang pasti, tabah tergolong dalam sifat penempuh cabaran.

Bagi Kacang, hidupnya yang biasa itu membuatkan dia selalu berfikir. "Bukankah aku ini manusia. Bukankah manusia diciptakan untuk mencipta perkara hebat?"

Setiap malam Kacang akan berfikir tentang ini. Persoalan demi persoalan menerjah fikirannya. Dia seperti sudah bosan dengan hidup begitu. Sama sahaja daripada hari Isnin sehinggalah hari Ahad.

Akhirnya Kacang mengambil keputusan untuk merantau. Untuk merantau, dia perlukan peta. Jika tidak dia tidak tahu ke mana harus dan apa patut dia lakukan untuk merantau.

"Pasti Tuk Kelapa tahu," fikir Kacang.

Tuk Kelapa adalah ketua kampung Pinang. Dia baik orangnya. Mempunyai enam orang anak. Semuanya perempuan.

"Tuk, saya ada hajat datang ke sini," kata Kacang pada suatu hari di rumah Tuk Kelapa.

Tuk Kelapa hanya mengangguk. Dia tidak mahu mencelah sehinggalah Kacang menghabiskan katanya.

"Hidup saya biasa sahaja. Dari pagi sampailah ke malam. Saya mahu membuat satu yang ceria."

"Usah risau. Kamu ada enam pilihan."

"6 pilihan?" Kacang pelik mendengar kata-kata itu. Ada enam peta untuk dipilih? Banyaknya! Fikir Kacang.

"Semuanya baik. Tiada yang ada masalah."

"Baiklah. Saya tidak tahu yang terbaik. Tuk berikan sahajalah. Saya menerimanya dengan hati terbuka."

Tak sabar Kacang untuk mengembara dengan peta yang akan diterimanya. Pasti hidupnya nanti lebih gembira. 6 jalan untuk mencapai keseronokan pengembaraan!

"Tapi ada syaratnya."

Tuk Ketua masuk ke kamar. Tidak berapa lama kemudian dia keluar membawa sehelai kertas lusuh bergulung.

"Laluilah pengembaraan ini. Apa yang kamu dapat di hujung pengembaraan nanti, bawakan kepada aku kembali."

Kacang mengucapkan terima kasih untuk peta lusuh pemberian Tuk Kelapa.

Dia tidak pasti apakah yang dimaksudkan Tuk Kelapa, tetapi dia sudah tidak sabar merubah hidupnya yang lesu itu....

(bersambung)


Jumaat, 8 Mac 2013

Di bawah naungan Illahi


Maafkan aku kawan. Aku tak dapat nak menegur kau seperti yang engkau mahukan. Aku takut. Ya takut walaupun sudah lama kita berkawan.

Engkau lebih hebat daripada aku. Kau mampu berbicara bersama orang lebih tua daripada kita. Engkau mampu menjayakan program-program hebat. Engkau mampu mengendalikan orang ramai.

Aku pula... siapalah aku. Bak kata orang, bagaikan melukut di tepi gantang.

Aku masih ingat kala kita berkenal. Sewaktu itu aku sedang berjalan-jalan berseorangan di taman universiti. Kala aku hendak melintas jalan engkau secara tiba-tiba muncul di hadapan aku dengan basikal. Aku terjatuh dan meradang kesakitan.

Engkau cepat-cepat bangun dari basikal dan terus menerpa aku. Bertanyakan kesihatan aku, walhal basikal engkau telah tercampak ke dalam longkang.

Kau bawa aku ke tepi. Puas aku katakan aku tiada apa-apa namun engkau tetap berkeras ingin membawa aku ke pusat kesihatan. "Tak mengapa. Kolej saya dekat sahaja. Saya boleh balik ke bilik untuk berehat." Aku bangun. Kau turut bangun.

Tetap dengan kedegilan itu kau menuruti aku ke bilik.

"Nama saya Luqman. Luqman Al-Hakim." Duduk kau di katil bilik aku.

Aku diam. Tak pernah terfikir akan ada sampai ke bilik kau datang membawaku. Cedera ringan sahaja.

"Nama saya Ahmad Musalmah," balas aku.

Tidak berapa lama kemudian engkau pulang selepas mengambil nombor telefon bimbitku. Kita bertukar nombor telefon.

"Nanti ada masa, insya-Allah saya datang melawat Ahmad. Saya betul-betul minta maaf atas kejadian tadi."

Aku hanya menangguk. Sudah tidak larat untuk membalas. Tak mengapa. Cedera sedikit sahaja. Bukan kena langgar kereta. Namun kau masih dengan sifat minta maaf.

Sedang aku ralit membaca novel 'Harry Potter dan bilik rahsia', telefon bimbitku bergetar. Tertera "Luqman" di skrinnya. Hairan. Selama aku tinggal di sini tidak pernah ada kawan yang menelefon aku jika tiada tugasan yang ingin dikhabarkan. Malah Azmi, kawan sejurusan dengan aku pun jarang menelefon aku. Hairan, walhal kita baru sahaja berkenalan.

Engkau bertanyakan khabar. Entah berapa lama kita berbual.

"Malam ini saya datang ziarah kamu. Insya-Allah lepas Isyak."

Aku mematikan perbualan dengan membalas salam.

Pelik. Entah mengapa hati ini terasa gembira. Aku angkat kain baju yang di lantai. Aku susun buku di meja. Aku sapu pasir yang ada di bilik.

Ada tetamu yang hendak hadir.

Sebenarnya aku tidak berharap kau datang pada malam itu. Bilik aku ini hujung sekali di tingkat atas blok. Selalunya yang datang menyapa hanyalah Amir di bilik sebelah kala kami berselisih sama ada ingin ke bilik air ataupun ke kelas.

Ramai juga yang berjanji untuk datang ke bilik aku. Namun penantian selalu menghampakan. "Maaflah ada hal." Aku diamkan sahaja.

Tepat jarum jam di dinding bilik menghala 9, aku terdengar bunyi ketukan bersertakan salam. Aku mempersilakan kau masuk.

Kita bersembang sambil memakan buah epal. Sedap. Pandai kau memilih buah.

Entah mengapa sejak dari itu, hidup aku seperti berubah sedikit demi sedikit. Jika dahulu aku suka berjogging seorang diri di taman. Aku lihat ramai manusia berdua-duaan. Tidak kira mereka itu sudah berkahwin atau belum. Walhal tidakkan mereka sedar ada makhluk yang ketiga di antara mereka?

Aku lihat orang menendang bola. Riang mereka bermain dan bersorak. Itu bukanlah permainan aku. Menghabiskan masa di tengah malam hanya untuk bersorak di kedai mamak. Itu bukanlah permainan aku.

Kini engkau selalu pula datang mengajak aku berjogging bersama. Aku endahkan sahaja. Selama ini aku sudah ajak Amir untuk turut serta. Dia menolak. Katanya ingin bermain bola. Biarlah sekali sahaja aku mengajak.

Sepanjang berjogging, engkau diam tidak bersuara. Sekali sekala aku terpandang muka kau, aku terlihat raut wajah senyuman. Aku pelik. Namun aku endahkan sahaja.

(bersambung)



Khamis, 7 Mac 2013

Lansungan Projek di peringkat proposal

"Bagaimana dengan projek master kamu?" tanya jiran sebelah saya.

"Masih di peringkat proposal. Aku lihat kamu sibuk juga ya dengan projek master. Walhal kamu baru sahaja  daftar."

"Aku Dr. sudah beri projek."

Leucaena leucocephala menjadi
subjek utama projek saya.
Saya hanya mendiamkan diri. Kemudian dia bercerita pula kepayahan dia untuk mengambil sampel. Jauh. Tambahan lagi dengan keadaannya yang sedang demam...

Saya hanya menangguk dan mendengar. Saya tidak mahu mencelah bercerita tentang pengalaman saya juga. Saya tahu apabila bertemu dengan pelajar sarjana juga, pasti ada antara mereka yang suka bercerita tentang projek yang mereka jalankan.

Hei saya juga seorang pelajar sarjana. Lalu pasti saya tahu perasaan ingin berkongsi apa yang sedang saya buat.

Cuma, buat masa ini projek saya masih di peringkat rangka atau kata mudahnya proposal.

"Bagaimana dengan penyelia kamu? Dia tidak marahkan?"

Marah. Semestinya. Yelah. Sudah satu semester berlalu dan saya masih menangguk di aras yang sama - menulis. Entah apa saya buat sepanjang semester satu, tanya  penyelia saya.

Saya membatu tidak berkata apa.

"Penyelia saya ini jenis suka pelajar bawahnya berdikari. Beliau ada idea tetapi tak nak beritahu. Beliau nak saya sendiri cari projek apa yang menarik dan berkenan di hati saya."

"Bagus juga begitu." Terlihat di raut mukanya kagum.

Saya hanya senyum. Memang penyelia saya baik orangnya. Tetapi... heh. Biasalah pensyarah. Apatah lagi yang sudah berumur. Mereka ada anginnya. Buat anak-anak muda seperti saya ini, layan sahajalah. Tak perlu nak berkecil hati jika mereka menegur atau menasihati.

Sebab itulah orang tua-tua kata, yang muda disayangi, yang tua dihormati.



Rabu, 6 Mac 2013

Cabang Jalan Pilihan

Jauh di sudut hati, saya tahu saya betul betul ingin menjadi seorang penulis. Jika ditakdirkan cerita, mesti saya menjadi penulis berjaya. Pasti. Ia bukan main-main kerana apabila hati sudah berkata pasti minda turut serta.

Namun, cita-cita itu bukanlah yang pasti. Setiap yang kita rancang pasti ada penentu oleh yang mencipta kita. Saya tidak ragu dan tidak acuh untuk menerima takdir yang melanda.

Ya mungkin ayat di sudut hati itu tandanya saya mengeluh, namun ketahuilah ia hanya satu bisikan kecil sahaja. Apakah yang boleh bisikan kecil lakukan pada hati yang berjiwa besar ini?

Menjadi seorang saintis bukanlah impian saya dari kecil. Ini pun kebetulan sahaja. Sejak kecil sastera seperti sudah sebati dalam diri saya. Jika tidak masakan setiap tahun saya ditakdirkan untuk menang tempat pertama dalam anugerah murid cemerlah untuk subjek Bahasa Melayu?

Ya bahasa Melayu menjadi bahasa darah daging saya semenjak saya keluar merengek di dunia ini. Abah yang mengazankan bahasa Arab di telingan kanan dan membisik iqamah di telinga kiri.

Bahasa Melayu sejati dengan diri kampung saya. Sewaktu kecil saya tidak mengerti mengapa drama-drama di televisyen gah menggunakan perkataan 'I' dan 'U'. Bukankah itu abjad ke 8 dan ke 21? Orang bandar ini pelik ya, fikir saya.

Bahasa Inggeris? Entah bila saya faham tentangnya. Itupun kerana saya dipaksa belajar. Jika tidak masakan saya akan tahu 5 'push' 4 akan dapat 1? Ah... ajaran abah lagi senang. 5 tolak 1 sambil menunjukkan telapak tangan abah terbuka luas dan kemudian tutup menunjuk ibu jari sahaja.

Hidup bukanlah sentiasa berlingkar antara kita sendirian sahaja. Kita hidup bersama masyarakat. Jika tidak masakan manusia dijadikan lelaki dan wanita? Berpasangan.

Sama seperti budak remaja lain, saya juga pernah jatuh cinta. Walaupun duduk di kampung, hal-hal agama bukanlah tidak kami ketahui. Cuma, budak remaja ghairah ingin bercinta dek kerana itulah yang ditontonkan di drama TV. Pastinya drama bandar memberi kesan kepada kami.

Drama Inggeris langsung kami tolak. Manakan budak yang berbahasa Melayu boleh memahami apa yang mereka katakan? Selalu juga saya mendengar gelak ketawa entah dari mana di siaran komedi Inggeris. Pelik. Yang peliknya lagi pelakon itu tidak pula ketawa. Orang Puteh memang suka ketawa rasanya?

Balik kepada kisah cinta monyet saya itu, ia tidak kesampaian berevolusi kepada manusia bak kata Darwin, bapa evolusi monyet. Kami hanya sempat berpandangan mata di padang sekolah kala pulang lewat petang apabila loceng sekolah berbunyi dua kali.

Manusia itu terus memburu impiannya apabila ia jelas apa yang dia inginkan. Sama seperti saya, impian saya tetap ingin menjadi penulis tersohor seperti pengarang novel 'Salina'. Novel tentang pelacur itu saya sorok-sorok baca di perpustakaan takut takut nanti ada yang gatal meminjam. Pusat Sumber sekolah bukanlah sempurna. Sukar nak pinjam novel kerana kekangan kakitangan untuk menguruskannya.

Sistem rosak kata pengawas pusat sumber. Jelek saya mendengarnya. Habis itu sampai bila mahu dibaiki sistem? Cikgu pula asyik dengan aktiviti sukan. Lupa tentang wacana ilmu berpusat di sini.

Ah biarlah. Asalkan saya terus melayan novel Melayu ini.

Titik saya tidak mencapai impian adalah apabila saya dipaksa masuk ke alam menengah atas aliran bukan minat saya. Abah berkeras mahu saya belajar ilmu-ilmu lain daripada rakan-rakan sebaya. Katanya sekolah kampung tidak ada kemudahan. Sayalah yang bakal membawa revolusi minda di kampung ini.

Saya memberontak. Saya mahukan kebebasan saya dalam memilih liku-liku kehidupan yang bakal saya hadapi. Ya mungkin saya belum mencapai umur 18 tahun, namun saya berhak menentukan pilihan hidup saya!

Ibu seperti menyokong pendapat abah. Benteng harapan saya hancur. Saya merenung tinggi bintang di langit pada hari itu. Mungkin mata saya kabur tapi saya yakin ada tahi bintang yang jatuh ke bumi Malaysia ini kala saya termenung itu. Saya solat sunat demi mendapat petunjuk-Nya. Dia lebih mengetahui impian mana yang boleh membawa saya kejayaan. Bukankah Dia yang mencipta saya?

Jawapan jelas apabila surat tawaran masuk ke Sekolah Menengah Sains Pokok Sena 2 hari kemudian sampai ke rumah. Abah gembira. Ibu gembira. Saya... Mungkin itulah jawapan dari sang Pencipta.


"Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;  
..." 

Terngiang puisi nukilan Robert Frost itu di telinga saya. Ya dua jalan terhidang di hadapan ini, dan saya, Prof. Sulaiman Ahmad, memilih jalan yang kurang pengembara lalu. Pilihan itu hanyalah andaian manusia, jawapan itu hanyalah milik sang Pencipta.




Dari kain ke konkrit



Video ini menunjukkan teknologi baru menukarkan kain yang lembut menjadi keras bak konkrit di bangunan.


Bunian Pari Berblog #2

(sambungan #1)

"Bu Melati, boleh Bu terangkan saya tentang buku cinta?" tanya seorang anak-anak bunian Pari.

Bu Melati sedikit terkejut dengan soalan itu. Anak kecil sudah tahu bercinta ya, fikir Bu Melati.

"Oh, banyak buku-buku cinta yang saya tuliskan di blog saya. Kamu pergi sahaja di situ dan cari."

"Tapi saya mahukan penerangan daripada Bu sendiri. Bukankah Bu sering membaca?"

"Kamu boleh membaca buku karangan Indera bertajuk "Si Dia Cinta", karangan Ratna, "Merpati Putih Sejoli", karangan Puri, "Jiwa Bertemu Hati" dan lain-lain lagi."

"Tapi Bu."

Bu Melati endahkan persoalan itu dan berlalu pergi ke rak-rak buku yang lain. Walaupun bertugas sebagai seorang perpustakawan di Pustakawan Besar Kampung Bunga, nyata Bu Melati sibuk mempromosikan sinopsis di blognya berbanding beramah mesra dengan kanak-kanak yang datang berkunjung.

Kanak-kanak itu berlalu keluar dari perpustakaan denga raut wajah hampa.

Setelah beberapa tahun berblog, makin lama makin ramai yang tahu akan kewujudan blog Bu Melati. Mata Bu Melati semakin rambang dengan jumlah statistik yang meningkat di blognya.

Makin lama makin dia menulis persis menyalin sinopsis buku. Dia tidak kira sama ada dia faham atau tidak isinya asalkan dia menulis. Bukan senang menulis tentang buku, fikirnya. Ia memerlukan masa seseorang itu dihabiskan untuk membaca.

Ternyata Bu Melati lupa akan hasrat apabila makhluk mula membaca. Untuk mendapatkan ilmu dan menyampaikannya agar makhluk yang lain juga faham.

Mungkin Bu Melati boleh menggelarkan dirinya bibliholik, tapi dia tidaklah setegar mana yang digelarnya. Layanannya pada pengunjung perpustakaan mula menurun.

"Bu, buku ini bagus atau tidak?" tanya seorang pengunjung baru di perpustakaan.

"Buku ini bagus. Rujuk sahaja blog saya ya," balas Bu Melati asyik dengan statistik blognya.

Makin lama makin menyampah pengunjung dengan sikap Bu Melati itu. Ternyata betullah kata-kata manusia, apabila seseorang itu semakin popular, semakin lupa dirinya kepada asal-usulnya.

Bu Melati mungkin dahulu boleh melayan baik pengunjungnya, kini kerana sibuk dengan blog pinjam bukunya itu, dia lupa. Terus lupa. Terus hanyut dengan nada sinisnya apabila ada yang datang berkunjung di blognya itu.

Pasti dia akan membalas dengan mengatakan si pengkritik itu tidak baca lebih daripada apa yang dia baca. Ah! Sungguh biadab sikap Bu Melati itu sehinggakan blognya mendapat kritikan habis daripada blogger lain.

Oh ya, blogger ini semestinya seorang yang menulis blog. Lupa untuk dinukilkan bahawa dunia Internet manusia dan makhluk lain saling berkait rapat. Cuma kelebihannya pada dunia Jin. Mereka ada pilihan untuk membuka jaringan Internet mereka sama ada manusia boleh melihat dan membacanya atau membiarkan sahaja ia di kalangan mereka.

Ramai kaum Jin lebih suka jaringan mereka bersatu antara mereka sahaja. Mereka tidak gemar campur tangan manusia yang mudah melenting di dunia Maya. Menggunakan bahasa-bahasa kesat atas alasan tidak berjumpa.

Walhal di luar punyalah kelihatan alim. Pergi ke surau katanya.

Ah! Manusia. Kerana itulah kaum-kaum Jin tidak gemar membuka laluan Internet mereka kepada makhluk yang mudah lupa itu.

Bu Melati pula lain. Dia membuka seluas-luasnya akses ke blognya tanpa mengira sesiapapun dia. Peliknya dia hanya menerima komen yang positif di blognya. Ternyata kritikan atau komen yang seakan tidak sebulu pasti ditekan habis.

Pernah satu ketika seorang hamba Allah datang meninggalkan komen di blognya. Mungkin pada awal Bu Melati gembira. Tetapi tidak kemudiannya apabila dia rasakan manusia itu berlebih-lebihan dalam komennya itu. Mengkritik blognya yang dikatakan persis sinopsis projek NILAM anak-anak manusia.

Dihentamnya. Dikritiknya. Dihumbannya jauh komen itu agar si manusia itu pergi jauh tidak kembali ke blognya.

Disangkakan cerah di hujung petang, hujan yang turun. Itulah yang terjadi kepada Bu Melati. Pohon Jati yang dia tinggal seperti mendapat amaran daripada pihak manusia bahawa pembangunan jalan raya baru akan melibatkan laluan rumahnya itu.

Sungguh Bu Melati keliru. Dia memang boleh tinggal di tempat lain tetapi bagaimana dengan puluhan ribu buku yang tinggal di dalam pohon Jati itu?

Habis hilanglah ilmu yang ada. Oh hati Bu Melati sedih. Dia memohon bantuan orang kampung Bunga. Ternyata mereka tidak begitu melayan dengan kerenah Bu Melati. Mereka sudah muak dengan sikap Bu Melati sehinggakan mereka tidak gemar membaca.

Pelikkan? Kerana seorang bunian Pari mampu menjauhkan bunian Pari yang lain membaca?

Harinya tiba apabila pohon Jati itu hendak ditebang. Deruan bunyi mesin gergaji dapat didengar oleh seluruh penduduk kampung. Krek kruk krek kruk... ZZZZZZZZ

Pohon Jati tumbang. Ia tumbang bersama buku-buku yang terkandung di dalamnya. Mana lah si Bu Melati ini? Didapati dia sudah hilang membawa diri. Tidak sanggup dia melihat buku-buku yang dia ada hilang begitu sahaja.

Blognya juga sudah tidak dikemaskini...

Hilanglah seorang yang menyayangi ilmu dek kerakusannya dengan teknologi....


Bunian Pari Berblog

Di satu kampung bunian Pari, terdapat seorang bunian Pari bernama Melati. Dia tinggal di bawah pohon Jati, yang akarnya kuat mencengkam tanah, tanda ia sudah lama hidup di situ. Orang kampung gelarnya Bu Melati  sahaja.

Hebatnya Melati kerana dia menjadi penjaga kepada perpustakaan terbesar di kampung Bunga. Dia suka jika kanak-kanak kampung Bunga datang membaca di perpustakaan jagaannya itu. Rupanya yang peramah memang disukai oleh mereka.

Di zaman serba moden ini, pasti dia juga tidak ketinggalan mempunyai blog. Oh blognya tidaklah popular tetapi dia suka berkongsi tentang buku yang dibacanya. Walaupun dia hanya menulis sinopsis persis apa yang diminta pada buku projek NILAM kanak-kanak, tetap ia mendapat sambutan ramai.

Hatinya kembang kempis apabila ada yang memberi komen di blognya itu. Pasti dia akan terbang dari bawah pohon Jati sehinggalah ke puncaknya sebagai tanda dia gembira ada orang komen di blognya itu.

Kaum bunian Pari bukanlah kaum yang kurang didengar oleh manusia. Cuma ia kurang dipopularkan oleh mereka. Mereka bersaiz genit persis seperti patung orang Puteh berjenama Barbie. Apa yang membezakan hanyalah sayap yang ada di belakang mereka.

Bentuk badan orang kampung Bunga tidak ada bezanya dengan manusia. Ada yang kurus, ada yang tegap, dan ada juga yang gemuk. Dan yang terakhir itu cocok untuk Bu Melati.

Tidak diketahui berapa saudara mereka ada tetapi yang pasti mereka tergolong dalam 9 kaum makhluk yang tidak dapat dilihat manusia secara kasar.

Ada yang berkata kaum bunian Pari ini lahir antara penyatuan manusia dan bunian. Ada pula kata mereka bunian versi baru. Namun, sampai kini teori yang pertama itu menjadi sandaran kerana rupa mereka persis manusia.

Mereka juga tidak lari daripada arus kemodenan yang dinamakan Internet. Oleh kerana itulah Bu Melati agak gemar meluangkan masanya menulis di blog.

Internet di kalangan jin ini rumit. Ia tidak seperti Internet manusia. Mungkin kerana mereka telah lama hidup berbanding manusia membuatkan Internet mereka sungguh maju sehinggakan tidak perlunya wayar atau pemancar. Ia boleh diakses dengan pancaran mata mereka sahaja.

(bersambung)


Sarapngari - Cabaran terbaru!

Kebelakangan ini saya kerap kali sarapan pada pukul 10am. Selalunya saya sarapan pada pukul 8am. Apabila bersarapan lambat ini, membuatkan saya tidak dapat makan tengah hari pada pukul 12pm.

Lalu saya melanjutkan makan tengah hari saya pada pukul 2pm. Kalau boleh saya nak lanjutkan sahaja ke pukul 3pm, namun tidak tercapai hasrat itu kerana kafe Agrobio tiada makanan sedap pada waktu itu.

Pada pukul 2pm pun sudah hanya tinggal sisa apatah lagi lebih dari itu.

Saya dapati juga apabila saya sarapan, saya dapat fokus sepanjang hari bermula dari pagi sehinggalah malam. (walaupun ada terbabas tidur).

Kadang-kala kalau lewat datang ke fakulti, saya terus sarapngari sahaja. (Sarapan + tengah hari = sarapngari. Ia tidak terdapat dalam catatan DBP. Jangan keliru untuk itu!)

Cuma pada waktu tengah harinya saya kena paksa diri makan walaupun kadang-kala terasa masih kenyang. Takut nanti kalau saya terperangkap di fakulti dek hujan lebat, perut ini masih dapat bertahan. Jika tak alamatnya terpaksalah saya menahan lapar sepanjang terperangkap itu.

"Wong, kan aku dah kata, letak jelah makanan di meja kamu tu," pesan kawan saya apabila saya mengisahkan tentang kes saya terperangkap di fakulti.

Bukan tak nak, tetapi tak boleh. Apabila ada sahaja makanan di hadapan mata, tangan ini gatal untuk menyuapnya ke mulut. Walhal perut sudah berkata jangan. Heh.

"Letaklah kekacang. Penuh tenaga," kata kawan saya lagi.

Terfikir juga ya kekacang apa sedap untuk saya buat janjan (snek) makan jika saya terperangkap...

---

Nota:
1. Sarapan mampu memberi tenaga kepada kita untuk terus kekal aktif sepanjang hari.
2. Teringat pesan nabi tentang sunat bersahur.
3. Penting sediakan makanan sebelum hujan!


Selasa, 5 Mac 2013

Teh O Ais di Ekspo Buku Islam Putrajaya

(peringatan: kerana kemalasan, saya kemaskini berita yang sudah lama. Harap maaf.)

Beberapa hari lepas saya berkunjung ke Ekspo Buku Islam di Putrajaya. Saya telah mendapat baucer buku 1Malaysia, jadi terfikir untuk meluangkan masa di sana jika ada buku-buku yang menarik untuk saya beli.

Ekspo Buku Islam di Putrajaya.

Ternyata buku-buku di sana dijual dengan potongan harga istimewa. Kebanyakan 'booth' membuat tawaran penjualan buku sehingga 20% diskaun.

Apa yang mengejutkan saya pula, 'booth' Dewan Bahasa dan Pustaka membuat 50% diskaun! Saya terus membeli mana-mana buku yang berkenan di hati. Habis 2 baucer di tangan.

Lagi, saya lihat di 'booth' Institut Terjemahan Bahasa Malaysia (ITBM). Banyak juga buku-buku yang saya berkenan. Apa lagi, 2 baucer dihabiskan di situ juga.

Saya pusing pula di 'booth' Islamik. Wahhh! Terdapa pelbagai versi al-Quran terjemahan. Siap ada yang berwarna-warni. Hati tertaut dengan satu yang berharga RM70. Apa yang menariknya, ia juga disertakan diskaun. 1 lagi baucer diberikan.

Dengan ini habis 5 baucer buku 1Malaysia saya dibelanjakan di ekspo ini.

"Jom makan tengah hari," ajak kawan saya.

Nasib baik saya tahu kafe ada di sini kerana saya pernah bekerja di Jabatan RELA di Persint 3 ini.

"Harga teh O ais sini RM1.20," ujar kawan saya.

Kami memandang dia seakan faham apa yang dia maksudkan itu.

Di fakulti Agrobio, teh O ais sahaja sudah berharga RM1.50. Alasan peniaga adalah mereka guna air dan teh berkualiti. Walahal guna teh Bo jeh.

"Pernah kawan aku minta air suam," kata kawan saya Cik Yah. "Mak cik tu cas 20 sen. Angin dia. Takkan lah air suam pun nak cas? Mak cik tu kata berlaku penyulingan rumit dalam tanki air suam." Cik Yah mencebik muka tanda tidak puas hati.

Kami semua ketawa mendengar kisah itu.

Bagi saya, lebih baik saya bawa botol air dari rumah. Lagipun, rumah saya guna air tapisan BioAura (agak tidak malu di situ. Heh).

--

Nota:
1. Teh O ais di luar lebih murah berbanding di kafe Fakulti Agrobio.
2. Selalunya air suam diberi percuma.
3. Lebih baik bawa bekal air sendiri. Boleh jimat dan selamat.