Rabu, 6 Mac 2013

Bunian Pari Berblog

Di satu kampung bunian Pari, terdapat seorang bunian Pari bernama Melati. Dia tinggal di bawah pohon Jati, yang akarnya kuat mencengkam tanah, tanda ia sudah lama hidup di situ. Orang kampung gelarnya Bu Melati  sahaja.

Hebatnya Melati kerana dia menjadi penjaga kepada perpustakaan terbesar di kampung Bunga. Dia suka jika kanak-kanak kampung Bunga datang membaca di perpustakaan jagaannya itu. Rupanya yang peramah memang disukai oleh mereka.

Di zaman serba moden ini, pasti dia juga tidak ketinggalan mempunyai blog. Oh blognya tidaklah popular tetapi dia suka berkongsi tentang buku yang dibacanya. Walaupun dia hanya menulis sinopsis persis apa yang diminta pada buku projek NILAM kanak-kanak, tetap ia mendapat sambutan ramai.

Hatinya kembang kempis apabila ada yang memberi komen di blognya itu. Pasti dia akan terbang dari bawah pohon Jati sehinggalah ke puncaknya sebagai tanda dia gembira ada orang komen di blognya itu.

Kaum bunian Pari bukanlah kaum yang kurang didengar oleh manusia. Cuma ia kurang dipopularkan oleh mereka. Mereka bersaiz genit persis seperti patung orang Puteh berjenama Barbie. Apa yang membezakan hanyalah sayap yang ada di belakang mereka.

Bentuk badan orang kampung Bunga tidak ada bezanya dengan manusia. Ada yang kurus, ada yang tegap, dan ada juga yang gemuk. Dan yang terakhir itu cocok untuk Bu Melati.

Tidak diketahui berapa saudara mereka ada tetapi yang pasti mereka tergolong dalam 9 kaum makhluk yang tidak dapat dilihat manusia secara kasar.

Ada yang berkata kaum bunian Pari ini lahir antara penyatuan manusia dan bunian. Ada pula kata mereka bunian versi baru. Namun, sampai kini teori yang pertama itu menjadi sandaran kerana rupa mereka persis manusia.

Mereka juga tidak lari daripada arus kemodenan yang dinamakan Internet. Oleh kerana itulah Bu Melati agak gemar meluangkan masanya menulis di blog.

Internet di kalangan jin ini rumit. Ia tidak seperti Internet manusia. Mungkin kerana mereka telah lama hidup berbanding manusia membuatkan Internet mereka sungguh maju sehinggakan tidak perlunya wayar atau pemancar. Ia boleh diakses dengan pancaran mata mereka sahaja.

(bersambung)

2 mengomel

Menarik, nantikan sambungan

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon