Rabu, 20 Mac 2013

Namaku Perang

Saya seorang penyayang. Itu kebenaran. Heh. (yelah, kalau saya tak mengaku, siapa lagi nak kata begitu, bukan?)

Lompat si kucing lompat.

Pada hari ini saya terserempak dengan seekor kucing berwarna hitam dengan beberapa belang perang. Saya tersenyum melihat kucing itu. Apabila diimbau kembali, saya datang daripada keluarga yang tidak suka akan kucing.

Kucing ini ibarat pemangsa bak harimau memburu sang kancil di rumah saya. Mana taknya, setiap kali anak ayam menetas di rumah, pasti akan hilang seekor demi seekor dilahap oleh si pemangsa liar. Apabila diselidik, jelas pemangsa itu kucing.

Lalu, ibu memang tidak gemar akan kucing. Apatah lagi abah. Saya ingin turut serta bersama mereka, namun satu peristiwa merubah segalanya. Pasti peristiwa itu berkaitan dengan saya seorang penyayang. Heh.

Ia bermula di kolej kediaman saya tinggal pada tahun kedua. Terdapat seekor kucing yang gemar sangat menyelinap masuk ke bilik orang kala terkuak walaupun sedikit pintu bilik.

Pasti ia akan terus berlari masuk ke bawah katil. Puas saya memujuk ia keluar tetapi ia tetap berkeras ketakutan masuk di bawah katil. Satu sahaja yang saya fikir kala ia menyelinap masuk, "Habislah bilik ini nanti dengan air kencing kucing."

Ya saya ketika itu jahil dengan sifat kucing. Kalau boleh langsung saya tidak mahu tahu apa itu kucing. Biarlah mereka dengan dunia mereka dan saya dengan dunia saya.

Entah kenapa, di hujung tahun dua, Allah tunjukkan saya erti sebuah kasih sayang. Ketika itu saya masih menginap di kolej kediaman kala semua pelajar sudah pulang meraikan cuti 3 bulan lebih.

Ada juga beberapa orang rakan saya tinggal di blok J bersama saya. Mereka berpraktikal di hujung semester 2.

Nak dijadikan cerita, kucing yang selalu menyelinap masuk itu rupanya bunting. Terdapat jiran berhadapan bilik saya selalu melayan kucing itu. Saya pelik, bukankah itu hanya kucing jalanan? Kenapa perlu diberi makan dan dibelai? Biarlah ia hidup melata mencari makanannya sendiri?

Hari demi hari saya lihat perut kucing itu semakin membesar. Jiran saya pula semakin banyak memberi ia makan.

Saya masih ingat lagi hari istimewa itu. Rakan saya Izmir saya lihat resah mukanya.

"Kenapa kau ni? Macam menuggu isteri bersalin je," tegur saya sebelum kami bertolak bersama ke Masjid UPM ingin menunaikan kewajiban buat lelaki.

"Kucing tu sudah nak beranak," jawab dia ringkas. Oh ya, walaupun kucing itu kini dibela, namun ia tidak langsung diberi nama oleh pembelanya.

Pada malam itu, riuh rendah suasana blok yang hanya dihuni lebih kurang 10 orang sahaja.

"Wohoooo! Akhirnya," jerit suara Izmir. Saya abaikan sahaja kerana ia sudah lewat lepas masa tidur saya.

Dua tiga minggu kemudian pelajar mula kembali ke blok J. Entah atau tidak mereka tahu akan peristiwa bersejarah itu.

Apa yang pasti, anak kucing berwarna putih itu mendapat tempat di hati penduduk blok J. Mereka sepakat namakannya Snow. Sejak dari itu, hidup Snow dan emaknya mula mendapat perhatian. Mereka dibelai dan diberi makan seadanya.

Saya lihat bulu emak Snow mula kelihatan cantik setelah dijaga. Ia mampu menjaga bulunya kerana tidak perlu risau mencari makanan lagi.

Kadang-kala ia singgah ke bilik saya. Saya sengaja membuka sedikit ruang di pintu itu untuk ia masuk. Selalunya emak Snow hanya datang menjenguk. Yelah. Saya ini bukanlah tuan yang baik buatnya.


Hanya tahu membelai tetapi kedekut memberi makanan. Erk.

Emak Snow akan pusing dalam bilik saya. Menghidu, menyelak dan menggesel sana sini mengharapkan belas ihsan daripada saya. Saya abaikan sahaja. Bermain dengan komputer ini lebih baik, fikir saya.

Sedang leka bermain, emak Snow entah bila hilang dari bilik saya... Sehinggalah saya meninggalkan blok J, saya masih kurang memberi makanan kepada emak Snow.

Peristiwa emak Snow memberi saya satu makna baru tentang kucing. Mereka hanyalah seekor haiwan ciptaan Allah yang dahagakan belaan manusia. Mereka tidak minta lebih, hanyalah beberapa potong sisa makanan daripada apa yang kita makan.

Lena Perang tidur.
Ya mereka mungkin tampak kotor. Itu kerana mereka sibuk mencari rezeki hinggakan tidak sempat menjaga diri.

Saya melihat kucing berwarna hitam perang itu melepak atas kerusi di surau. Saya senyum. Tangan kanan saya asyik membelai kepalanya. Ia memejamkan mata tanda selesa dengan belaian saya.

Terus, saya namakan ia Perang.


Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon