Memaparkan catatan dengan label cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerpen. Papar semua catatan

Khamis, 21 November 2013

Di Bawah Pohon Angsana #2

Aku cuba mengimbau kenangan masa aku mula berkenalan dengan Syamirul.

Kami berkenalan bukan setakat di alam universiti. Aku masih ingat lagi ketika aku asyik berjogging di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Memang menjadi satu tabiat bagi aku untuk jogging setiap petang. Walaupun penat habis kelas atau kuliah, aku tetap meluangkan masa untuk berjogging.

Selepas habis berehat aku suka duduk di bawah satu pohon rendang. Aku tidak tahu nama pokok itu tetapi aku tahu ia melenakan. Selalu aku membuka earphone dan memasang kuat lagu. Lagipun pohon ini nun jauh dari khalayak ramai. Di hujung padang. Pandai sesiapa yang menanam pokok ini.

Aku suka layan lagu-lagu Inggeris. Lagu-lagu tempatan kurang aku gemari kerana nilai-nilai liriknya sungguh mudah sehinggakan aku berasa jengkel.

"Micheal Learn To Rock." Satu suara di sebalik pohon kedengaran. Aku tersentak.

"Klasik." Kelibat seorang pelajar berbaju sukan muncul di sebalik pohon. Aku kenal pelajar ini. Dia seoarang yang selalu dipanggil ke hadapan untuk menjawab soalan Cikgu Suhaimi. Selalu juga dikerumuni pelajar perempuan ketika habis kuliah kimia. Entah soalan apa aku pun tak kisah.

Dia duduk di sebelah aku. "Saya Syamirul." sambil menghulurkan tangan.

Aku menyambut lembut masih terkejut dengan kedatangan pelajar di sini. "Amirul," jawab aku ringkas.

"Saya selalu lihat kamu datang ke sini. Pandai kamu pilih tempat yang tenang ini."

Aku hanya mengangguk sambil memperlahankan muzik di handphone.

"Tak mengapa. Biar juga saya menikmati bersama."

Aku kembalikan bunyi yang kian hilang tadi.

Kami duduk lama di situ. Tidak berborak apa-apa. Hanya melihat awan-awan yang berarak datang dan pergi di langit biru. Sedikit demi sedikit bunyi burung mula kedengaran di atas pokok. Sedikit demi sedikit cahaya jingga mula menyinari langit biru.

Kami berdua bangun bergerak merentasi padang. "Nanti jumpa lagi ya." Syamirul melambai tangan kepada aku. Aku membalas kembali sebagai tanda mesra.

Orang begitu mesra rupanya. Aku ingat orang popular sebegitu tak akan bergaul dengan pelajar biasa seperti aku ini. Yelah. Aku hanya pelajar yang selalu duduk di meja paling belakang. Selalu tertidur kala Cikgu Halimah mula kelas. Lelap mata aku membuatkan aku sentiasa segar di malam hari.

Malam aku peruntukkan masa untuk membaca buku-buku cerita. Aku minat novel. Tidak kisah la novel apa asalkan bukan novel cinta. Aku lihat kolej ini penuh dengan koleksi novel. Aku dapat habiskan satu novel dalam masa satu minggu. Tapi maaf. Aku tak layan novel romantik Inggeris. Terlalu banyak adegan yang tidak patut!

Fantasi, pengembaraan, dan persahabatan selalu menjadi buku buruan aku.

Najmi yang selalu melihat aku hanya menggelengkan kepala. Kami satu kuliah tetapi berlainan praktikum. Idris pula lain kuliah. Hafiz pula jurusan perakaunan. Setiap bilik di kolej ini mengandungi empat orang pelajar mendiaminya.

(bersambung

Isnin, 18 November 2013

Di Bawah Pohon Angsana

Aku melihat wajah Syamirul. Wajahnya gelisah. Dia menulis tanpa ada tumpuan. Bibirnya sentiasa bergerak seperti orang yang tak keruan.

Mengapa dia jadi begitu? Aku baru sahaja selesai berjumpa Dr. Rosni. Tadi dia kata aku boleh ambil ujian nanti. Tunggu kesihatan aku baik.

Baru sahaja aku ingin menyampaikan berita gembira ini kepada rakanku. Tetapi seakan ini bukanlah masanya.

Aku memandang pula wajah Nizam. Dia seperti prihatin. Ah kenapa seperti aku dipulaukan daripada mengetahui apa-apa kisah ini?

Aku memandang Nizam meminta penjelasan. Nizam hanya memerhatikan sahaja muka Syamirul.

Syamirul terus menulis.

"Ini perancangannya. Aku serahkan kepada kamu ye." Syamirul bangun pergi ke arah sinki.

Aku masih memandang muka Nizam. Nizam mengambil kertas pemberian Syamirul dan melipatkannya dan menyimpan terus ke dalam beg. Aku masih keliru.

Syamirul datang dan duduk. Aku lihat matanya merah. Eh? Ini mesti ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Telefonnya berdering. Dia mengangkat telefon dan kedengaran ibu dan adik.

Kami bertiga bangun dan beredar dari kafe.

Tiba di tempat letak motorsikal, kami bersalaman. Erat sungguh salaman Nizam kepada Syamirul. "Sabar ye. Ini semua dugaan."

Syamirul hanya mengangguk. Aku juga meniru apa yang Nizam lakukan walaupun aku masih lagi keliru.

Sebaik tiba di fakulti, aku melihat mesej dari grup Wasssap. "Maaf. Saya tidak dapat membantu kalian dalam minggu ini. Ibu dan adik saya dijangkiti demam denggi."

Aku terduduk di atas kerusi. Lambatnya aku tahu kisah ini. Patutlah muka Syamirul sedih dan muram sahaja. Jarang sekali aku lihat dia begitu. Selalunya aku lihat dia dalam keadaan riang.

(bersambung)

Jumaat, 8 November 2013

Paksaan

"Tidak. Aku tak mahu turut terlibat dalam apa-apa perancangan ini." Aku bingkas bangun ingin sahaja terus keluar dari bilik perbincangan ini.

Adli menahan tangan aku. Dia memberi isyarat supaya aku kekal. "Duduk dan dengar sahaja sudah mencukupi."

"Tapi." Aku cuba menolak tangan Adli. Adli menjegilkan matanya. Ah. Aku sudah terperangkap dengan kancah ini.

Perbincangan berterusan sehingga lewat malam. Aisyah dan Aminah keluar sekali sekala membeli makanan untuk kami.

Di dalam bilik ini terdapat lebih 10 orang duduk berbincang tentang hal yang aku masih tidak dapat cerna. Jelas aku memang bukanlah daripada golongan mereka.

Semua muka serius. Mereka juga berharap aku serius. Ah bagaimana ingin aku serius dengan hal ini walhal aku baru sahaja menyertai kumpulan ini.

Tidak aku sangka Adli mempunyai agenda di sebalik perkawanan kami. Aku terlalu naif mempercayainya di awal pertemuan.

"Assalamualaikum." Tegur Adli di awal pertemuan kami di stesen bas di hadapan fakulti. Aku menjawab salam. Terkejut juga dengan orang baru menyapa aku. Jarang sekali orang menyapa aku dengan salam. Mereka sering kali ingat aku ini daripada kaum Tiong Hua.

Kami berbual panjang. Entah mengapa aku dengan senang hati memberi nombor telefon dan nombor bilik kolej kediaman aku tinggal kepada Adli.

Lebih aku terkejut apabila malam itu juga Adli datang menziarahi aku seperti yang dia janjikan di awal pagi tadi.

Di saat itu aku rasakan kelainan.

Hidup ini bukanlah sahaja tentang pemilihan, tetapi takdir yang menentukan segalanya.

Aku bangun lewat keesokannya selepas perbincangan tamat. Hampir sahaja aku terlepas solat Subuh. Usai solat, aku duduk termenung di atas katil. Apakah mampu aku membawa agenda kumpulan rahsia ini?

Langsung tiada kata semangat yang mereka berikan. Hanya tugasan itu dan ini berselerak di atas meja belajar aku.

Ah serabut aku memikirkannya. Aku hanyalah orang biasa. Aku datang ke fakulti ini pun dengan impian biasa-biasa. Mana mungkin mereka berharap yang luar biasa daripada aku ini.

Mata aku kian gelap. Walaupun di awal pagi pelbagai tegahan tentang tidur mengatakan bahawa kurang membawa berkat, tetap aku tidak dapat menahan mata aku lelap.

Tuk tuk tuk. Pintu bilik aku diketuk. Suara yang aku kenali memanggil nama aku. "Khairul, jom pergi makan tengah hari. Aku tahu kau ada di bilik. Selipar di hadapan tidak dapat menipu aku."

Ah Adli. Masih dengan sikap telitinya itu. Kerana itu aku kagum dengannya. Hidupnya penuh dengan falsafah. Ada sahaja perkara falsafah kehidupan ingin dia sampaikan kepada aku kala kami bertemu di waktu makan. Tidak kiralah makan pagi, petang mahupun malam. Pasti terselit agenda kehidupan menjadi seorang pelajar muslim berjaya.

"Kita perlu ada agenda. Kita datang ke universiti ini bukanlah hanya sebagai produk kilang. Universiti bukanlah kilang menghasilkan kita untuk pihak industri datang memilih mana yang terbaik. Kita ada tanggungjawab lebih daripada itu. Jangan kita dikatakan lesu. Jangan kita dilabel mahasiswa lembik oleh generasi akan datang. Arus perubahan bermula di zaman kita."

Apakah maksud Adli ini?

"Tidak semua mahasiswa sedar ancaman-ancaman yang datang menyerang mereka. Apa yang mereka lihat kebrobokan pemimpin. Mereka hanya tahu mengkritik dan akhirnya apabila memegang jawatan, mereka sama sahaja seperti pemimpin yang mereka kritik dahulu."

Tidak aku sangka segala apa agenda dan cerita itu ada kepingan yang ingin dicantum Adli. Satu pesatu cantuman itu hadir dalam diri aku.

Aku ini bukanlah senang dipengaruhi. Pernah sekali datang seorang penjual barangan MLM. Sungguh dia mempamerkan pelbagai barangan yang mampu menggugah rasa seorang pelajar untuk turut serta. Pandai dia berbicara. Tetapi aku menolak sahaja.

Bukan minat saya, kata aku ringkas.

Tetapi pelik. Apabila Adli membuka cadangan ini, aku tanpa soal bicara banyak setuju sahaja. Walhal ini juga bukanlah minat aku. Malahan aku masih lagi orang biasa. Cadangan Adli sungguh luar biasa.

Kepingan jigsaw puzzle ini mula mencantum kuat apabila Adli membawa aku berjumpa dengan kawan-kawannya yang lain. "Kawan aku, kawan kau juga," kata Adli.

Mereka juga mesra seperti Adli.

Mungkin kerana aku jarang sekali dapat bersosial mesra dengan orang, aku terasa begitu kekok apabila bersama mereka di awal waktu. Aku menjadi pendiam. Tetapi entah mengapa mereka bijak membawa diskusi mesra bersama aku. Lama kelamaan aku hilang sedikit demi sedikit rasa kekok itu.

"Mungkin nanti apabila dia bersedia." Aku terdengar perbualan Adli semasa aku ingin menziarahi biliknya yang berada di blok sebelah.

Aku tidak tahu dengan siapa dia bercakap di telefon. Aku biarkan sahaja dia terus berbual dengan aku membelek pula telefon aku. Aku terlanggar kasut Adli membuatkan dia perasan aku di pintu yang terbuka sedikit.

"Eh Khairul. Jemput masuk."

"Nanti kita bual lagi. Assalamualaikum," kata Adli menutupi telefonnya.

"Malam ini aku ingin bawa kau ke tempat yang istimewa."

Aku muka kekeliruan.

Terukir senyuman manis di muka Adli.

(bersambung)

Sabtu, 2 November 2013

Pasar

Di tengah kesibukan pasar, duduk seorang budak menangis. Dia menangis tanpa henti. Ketakutan dengan pelbagai mata yang memandangnya. Dilihat sekeliling bagaikan kegelapan malam. Hanya yang bercahaya berpuluhan sinaran mata.

Dia terus menangis. Tiada siapa yang mempedulikannya. Seorang ibu meninggalkannya kerana perangainya. Hanya kerana ingin membeli barang permainan. Ibu itu ada kerja yang lebih besar ingin dilakukan. Ibu itu perlu membeli barangan pasar. Sayur, ikan, santan, dan masa untuk pergi ke salon.

Akhirnya budak itu tersedu keletihan. Perasaannya untuk memiliki barang permainan di kedai di hadapannya sudah hilang. Apa yang dia inginkan hanyalah sebuah pelukan hangat seorang wanita yang dikenalinya.

Namun kelibat wanita itu tiada. Dia rasa sungguh kesunyian. Apakah dunia ini sudah meninggalkannya? Apakah dia kini berseorangan hidup? Adakah kata-kata yang ibu akan meninggalkannya itu bakal menjadi kenyataan?

Tenaga yang tersisa ada membuatkannya menangis kembali. Menangis mengingati perbuatannya. Dia hanya mahukan pujukan ibu. Permainan itu bukanlah yang utama. Tetapi mengapa ibu begitu kejam meninggalkannya?

Pancaran terik matahari mula memendekkan bayang-bayang yang melalui di atasnya. Budak itu mengesot mendekati dinding yang ditumpannya.

Dari jauh dia melihat kelibat wanita berbaju merah. Dia geram. Mengapa baru sekarang hendak berjumpa dengannya? Setelah dia habis melimpahkan segala air mata. Sehingga dia tidak mampu bersuara lagi?

Dia memaling muka ke arah lain. Dia geram.

Ibu memandangnya sambil berkata, "Jom pulang."

Budak itu teragak-agak. Adakah dia mahu teruskan protesnya itu? Atau dia akan ditinggalkan lagi?

"Lihat apa yang ibu belikan." Sebatang lolipop besar bersaiz piring cawan dihulurkan kepadanya.

Tersenyum budak itu. Rupanya ibu masih mengingatinya. Terus ibu mendukung dia walaupun tangan si ibu penuh dengan plastik.

"Sudah. Aiman baikkan? Jom kita pulang," pujuk ibu sambil mengusap kepala Aiman yang sedang leka menjilat lolipop di tangan kanannya.

Aiman duduk di hadapan raga motorsikal. Ibu meletakkan plastik di pemegang motorsikal memberi laluan untuk Aiman duduk di hadapan. Dia mahu Aiman menikmati lolipop sampailah pulang nanti walaupun kebiasaannya Aiman duduk di belakannya memeluk erat pinggangnya.

Khamis, 1 Ogos 2013

Cerpen murahan



Terkesima saya apabila membaca syarat untuk memenangi hadiah yang seciput di blog Teman Cinta Hatiku.

Sungguh rendah nilai cerpen itu buat si mata penganjur. Hanya dengan jumlah Likes dan Comments penentu pemenang.

Huh!? Lebih baik saya menghantar karya cerpen saya terus ke media massa berbanding blog murahan itu. Cuba menjaja nilai blog yang apa entah.

Serius saya marah. Sebagai seorang peminat sastera, saya sama sekali menentang cara blog ini mempromosikan cerpen. Tiada nilai langsung.

Bagaimana ingin terhasilnya pengarang berkualiti jika cara lebih kurang ala-ala Akademi Fantasia digunapakai?

Maaf. Ini bukan cara saya.

Jumaat, 12 Julai 2013

Tips menulis oleh Natalie Goldberg


Khamis, 11 Julai 2013

Apabila Gajah Putih berlipur lara

Cerpen orang Siam

Ternyata orang Siam tidak juga ketinggalan meninggalkan kesan kepada saya tatkala saya membaca antologi ini.

Seperti kata penterjemah, ternyata orang Thailand bijak menggunakan deria bau, sentuh dan rasa sebagai wadah penulisan mereka.

Kala saya membaca ini, perasaan sedih, gembira, tawa dan pilu memenuhi segenap rasa hati ini.

Siapa sangka di balik Perpustakaan besar PSAS ada juga tersirat kisah dari negara Gajah Putih ini?