Khamis, 21 Mac 2013

Trauma Ujian

Saya ini jenis yang tidak suka ujian. Terutamanya ujian akademik. Apatah lagi apabila sudah masuk dunia sarjana ini bertambah lagilah ketidaksukaan saya terhadap ujian.

Hari ini ada ujian untuk subjek statistik tinggi (advanced statistics). Sebenarnya pensyarah telah pun memberi tutorial tentang soalan yang akan keluar hari ini. Alhamdulillah. Ia seperti yang beliau katakan.


"Jangan risau tentang ujian. Apa yang penting kamu faham apa yang saya ajar," ujar Dr. Ahmad (bukan nama sebenar). "Saya tak suka panggil ia ujian. Saya lebih suka gelar ia latihan."

Terdapat satu sikap yang saya dapati dalam diri ini apabila saya mula tidak gemar ujian. Saya menjadi seorang yang tidak kompetatif. Tidak suka bersaing membuatkan saya lemah.

Saya rasa ujian memberi tekanan buat saya sehinggakan saya tidak begitu berjaya dalam menjawab apa-apa soalan dalam ujian. Erk.

Walaupun begitu, bagi saya ujian ini juga memberi kesedaran bahawa bagaimana tahap disiplin saya terhadap apa yang saya belajar secara formal. Ia berbeza dengan apa yang saya belajar secara bukan formal seperti ilmu komputer.

Banyak ilmu komputer seperti penggunaan Microsoft Words, PowerPoint dan Excel saya belajar secara tidak formal. Saya tidak berguru dengan cikgu tetapi buku ataupun kawan sahaja. Ia baik tetapi ada kelemahan juga. Saya tidak dapat kenal pasti tahap pemahaman saya belajar sesuatu.

Ini lain pula dengan pembelajaran formal yang memerlukan pelajar menduduki peperiksaan. Terdapat satu tanda aras menentukan disiplin pelajar itu terhadap apa yang dia belajar.

Saya faham apabila saya tidak bersedia untuk menjawab ujian ini bermaksud saya juga tidak berdisiplin dalam menghadapi ujian tersebut.

Terfikir pula saya bagaimana dengan ujian Allah? Kita sentiasa diuji oleh Allah. Cuma kita tidak sedar tentang itu. Apa yang penting kita melihat sesuatu dengan penuh hikmah.

Contohnya macam sekarang inilah. Saya boleh jawab ujian tersebut tetapi tidaklah sebagaimana yang sepatutnya.

Memanglah ujian itu buku terbuka (open book), tetapi tidak bermaksud ia senang. Kalau tak tahu mencari jawapan yang betul, susah juga boleh jadinya.

Apa yang boleh saya buat adalah dengan mendoakan agar ujian ini memberi satu kesedaran untuk saya kekal berdisiplin dalam menuntut ilmu.

Ujian daripada Allah siapa yang tahu kecuali saya dan Allah sahaja.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon