Khamis, 28 Mac 2013

3 saluran ilmu

Ilmu boleh didapati di mana jua. Tak kira sama ada kita membaca, mendengar, melihat mahupun berdasarkan pengalaman kita sendiri. Ia akan datang dan hinggap di akal kita apabila kita menggunakan ilmu itu sebaiknya kerana jika kita tidak mengamalkannya, ia samalah seperti pohon tanpa buah.

Sedang saya asyik dengan projek sarjana saya, terdapat beberapa perkara yang saya dapat untuk menambah ilmu.

Pertama mestilah dengan membaca. Ia senang dan boleh dilakukan oleh sesiapapun yang tahu apa itu ABCD...Z. Namun setelah membaca buku-buku tebal, barulah saya sedar, saya tidak boleh baca sepenuhnya. Di sini lah teknik membaca memainkan peranan penting.

Membaca buku tidak semestinya kita perlu hadam satu buku itu. Apa yang saya dapati, membaca buku yang bersifat akademik ini, saya hanya perlu membaca bab-bab yang berkaitan dengan projek saya. Tidak perlu 100% saya hadam buku itu.

Saya lihat juga ada bab-bab yang telah saya belajar dan tidak perlu pun saya membacanya. Malahan apa yang saya belajar semasa di kelas dahulu lebih mudah untuk difahami berbanding di dalam buku ini.

Kedua, menghadiri kelas. Sekarang saya faham mengapa berguru dengan manusia lebih elok berbanding buku atau pun video. Guru tahu apa yang muridnya kurang faham kerana mereka dahulu juga seorang murid. Lagi, jika kita tidak faham, guru boleh menjelaskan dengan cara yang lebih mudah agar kita faham kemudiannya.

Ini berlainan dengan Atuk Google. Saya terpaksa mencari beberapa sumber laman web hanya untuk faham tentang sesuatu istilah. Agak memakan masa saya ini. Jika ada guru, saya boleh terus tanya dan pasti dia boleh tolong jawabkan.

Saya faham tentang ini apabila saya menerangkan istilah torrent kepada rakan saya.

"Wong, aku tak tahulah guna torrent. Boleh ajar?"

Lalu saya telahkanlah maksud peer-to-peer dan bezanya dengan direct download. Saya beri analogi yang mudah dan apa kelebihan torrent ini. Di samping itu saya berikan beberapa tips untuk tidak tersalah muat turun di laman torrent.

Saya terangkan berdasarkan pengalaman saya memahami torrent. Kerana tiada guru, saya mengambil masa hampir 2 tahun untuk memahami torrent sepenuhnya dan bagaimana untuk mengubahsuainya agar sesuai dengan kehendak pengguna.

Alhamdulillah saya dapat ajarkan ia kepada kawan-kawan saya pula.

Di situ barulah saya faham erti belajar dengan guru atau kata arabnya talaqi.

Lagi satu pembelajaran adalah dengan video. Saya lihat, video juga lebih kurang macam kuliah. Maklumat yang berjela panjang dapat dimampatkan dalam satu dokumentari sahaja. Dengan muzik latar yang mengasyikkan, video mampu memberi saya satu keseronokan dalam mendapatkan ilmu baru.

Kesimpulannya, belajar dengan buku memakan masa tetapi ia berbaloi. Belajar dengan guru membuatkan kita cepat memahami sesuatu ilmu. Belajar dengan video menguatkan pengetahuan kita dalam apa yang kita baca atau dengar.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon