Sabtu, 9 Mac 2013

Pengembaraan 6 pilihan


Di sebuah kampung, terdapat seorang budak bernama Kacang. Dia tinggal berseorangan di hujung kampung. Hidupnya biasa sahaja. Tiada apa yang menarik untuk diceritakan.

Pagi dia bangun untuk mencari rezeki. Petangnya dia sambung mencari rezeki. Malamnya dia tidur setelah penat mencari rezeki.

Rutin hariannya biasa sahaja.

Namun begitu, hidup tidak semestinya sesempurna itu. Pasti ada liku liku yang perlu dilalui oleh setiap manusia. Jika tak masakan manusia itu akan jadi hebat.

Hanya yang mampu menempuh cabaran sahaja boleh berjaya. Yang pasti, tabah tergolong dalam sifat penempuh cabaran.

Bagi Kacang, hidupnya yang biasa itu membuatkan dia selalu berfikir. "Bukankah aku ini manusia. Bukankah manusia diciptakan untuk mencipta perkara hebat?"

Setiap malam Kacang akan berfikir tentang ini. Persoalan demi persoalan menerjah fikirannya. Dia seperti sudah bosan dengan hidup begitu. Sama sahaja daripada hari Isnin sehinggalah hari Ahad.

Akhirnya Kacang mengambil keputusan untuk merantau. Untuk merantau, dia perlukan peta. Jika tidak dia tidak tahu ke mana harus dan apa patut dia lakukan untuk merantau.

"Pasti Tuk Kelapa tahu," fikir Kacang.

Tuk Kelapa adalah ketua kampung Pinang. Dia baik orangnya. Mempunyai enam orang anak. Semuanya perempuan.

"Tuk, saya ada hajat datang ke sini," kata Kacang pada suatu hari di rumah Tuk Kelapa.

Tuk Kelapa hanya mengangguk. Dia tidak mahu mencelah sehinggalah Kacang menghabiskan katanya.

"Hidup saya biasa sahaja. Dari pagi sampailah ke malam. Saya mahu membuat satu yang ceria."

"Usah risau. Kamu ada enam pilihan."

"6 pilihan?" Kacang pelik mendengar kata-kata itu. Ada enam peta untuk dipilih? Banyaknya! Fikir Kacang.

"Semuanya baik. Tiada yang ada masalah."

"Baiklah. Saya tidak tahu yang terbaik. Tuk berikan sahajalah. Saya menerimanya dengan hati terbuka."

Tak sabar Kacang untuk mengembara dengan peta yang akan diterimanya. Pasti hidupnya nanti lebih gembira. 6 jalan untuk mencapai keseronokan pengembaraan!

"Tapi ada syaratnya."

Tuk Ketua masuk ke kamar. Tidak berapa lama kemudian dia keluar membawa sehelai kertas lusuh bergulung.

"Laluilah pengembaraan ini. Apa yang kamu dapat di hujung pengembaraan nanti, bawakan kepada aku kembali."

Kacang mengucapkan terima kasih untuk peta lusuh pemberian Tuk Kelapa.

Dia tidak pasti apakah yang dimaksudkan Tuk Kelapa, tetapi dia sudah tidak sabar merubah hidupnya yang lesu itu....

(bersambung)

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon