Sabtu, 2 Mac 2013

Pohon Ara Seruan

"Awan sungguh indah hari ini," kata Azmi yang sedang leka berbaring di bawah pohon Ara rendang.


"Tak perlu aku risau tentang sekolah..." Mulutnya menguap tanda mengantuk. Baru kejap tadi dia balik dari sekolah yang terletak di sebalik bukit ini.

Terdapat satu laluan kecil bagi yang betul-betul melihat di belakang sekolah akan menghala menuju belakang bukit yang berada betul-betul di belakang sekolah.

Di situ terdapat sebuah padang yang luas penuh dengan rumput dan lalang. Ia seperti dijaga orang. Azmi kebetulan menjumpai laluan rahsia itu apabila dia ingin pulang dari sekolah.

Petang nanti ada latihan rumah sukan. Azmi bukanlah pelajar yang aktif bersukan. Lihat sahajalah badannya yang kurus itu. Sesuai sungguh dia mendapat nama budak lembik diejek oleh Firdaus.

Firdaus pula rakan sekelasnya yang berbadan tegap, berkulit hitam manis, hidung mancung. Dia memang seorang aktif bersukan. Sukan yang paling dia aktif semestinya ragbi.

Memang Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kias (SMKUK) terkenal dengan sukan ragbi. Cikgu Hamid yang menjadi jurulatih. Dia juga bertugas sebagai pengadil untuk sukan kebangsaan peringkat sekolah menengah.

Di kelas, Azmi selalunya duduk diam sahaja. Tidak berapa bergaul dengan rakan sekelasnya. "Mereka semua ingat mereka hebat apabila mereka bersukan," getus Azmi. "Walhal ilmu itu lagi penting berbanding fizikal badan."

Oleh kerana sifat pendiamnya itu, dia sering diejek sebagai budak lembik. Firdaus orang yang memulakannya.

Walaupun mereka sudah berkawan sejak kecil lagi, Azmi malas melayan sangat ejeken dia.

"Hei Lembik. Kau datang tak latihan sukan hari ini? Cikgu Hamid dah melenting tanya aku mana si Azmi pergi," kata Firdaus kepada Azmi yang sedang duduk bermalas-malasan.

"Entah," jawab Azmi ringkas.

"Suka hati kaulah lembik. Jangan sampai aku kena sekali sudah la." Berlalu pergi Firdaus dari meja Azmi.



Di bawah pohon rendang itu budak lelaki yang masih berbaju sekolah duduk baring terlena dek tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa.

Sedang asyik dia tidur, ada bayangan kecil di atas pokok asyik memerhatikannya. Sungguh lama ia menenung Azmi tidur. Barangkali sejak Azmi datang melepak di bawah pohon itu lagi.

"Hei budak!" Kedengaran satu suara kuat menjerit di tepi telinga Azmi. Terus mata Azmi terbuka luas seperti seorang yang baru bangun daripada tidur bermimpi ngeri.

"Astaghfirullahal'azim," kata Azmi sebaik bangun.

"Berapa lama kamu mahu tidur ha!?" Sergah suara itu.

Azmi memandang sekeliling namun tiada apa yang dia lihat. Yang ada hanyalah lalang-lalang dan pohon Ara di belakangnya.

"Siapa tu?" Bangun Azmi melihat keliling lagi.

Serta-merta menjelma seorang budak perempuan bersaiz patung barbie di hadapannya. Mata Azmi terbungkam luas. Terdapat sayap halus di belakang makhluk itu.

"Jin!" Menggeletar seluruh badan Azmi melihat makhluk yang selalu didengar ceritanya semasa di kelas agama dahulu.

"Ish. Apa kamu mengarut ini budak? Aku ini bunian Pari. Jin itu jauh lebih besar daripada aku. Malahan lebih besar daripada kamu." Pusing bunian Pari itu mengelilingi Azmi seperti ingin menganalisa badan Azmi.

Dia terasa kekok. Terasa diri seperti disoal siasat sama seperti dahulu ketika dia ditangkap ponteng kelas.

"Bagaimana kamu boleh sampai ke tempat ini?"

Tiada jawapan daripada Azmi. Dia masih terkejut dengan apa yang terjadi di hadapannya ini.

Kening si bunian Pari naik turun tanda inginkan jawapan.

"Aku ikut laluan di sebalik pagar sekolah. Ada pintu kuning di situ," perlahan kata Azmi.

"Nampaknya kata-kata Tuk Kelapa betul."

"Apa?"

Bunian Pari itu mengendahkan dan terus ke pohon Ara. Dia duduk di dahan paling rendah.

"Perkenalkan diri aku, Melur. Aku bunian Pari pohon Ara, keluarga Bunga."

Azmi memandang pelik kelakuan Melur.

"Sekarang perkenalkan diri kamu pula. Lekas."

"Eh? Oh ya. Nama aku Azmi. Pelajar tingkatan 3 sekolah belakang bukit ini." Azmi bangun.

"Sini adalah kawasan makhluk bunian Pari."

Pantas, Azmi melihat sekeliling kawasan ini. Baru dia perasan yang kawasan ini elok bersih tiada semak samun. Pokok seperti tersusun rapi dan hanya satu sahaja pokok Ara ini berada di padang ini.

Padang ini pula hanya ada satu jenis rumput sahaja tumbuh. Lalang hanya tumbuh ditepian.

"Ada masa kita berjumpa lagi," sayup-sayup kedengaran suara itu.

Kelibat Melur sudah tiada. "Eh? Hilang pula dia." Azmi melihat keliling.

Azmi yang masih menggeletar lututnya terus mencapai beg sekolah di bawah pokok Ara itu. Bergegas dia pergi ke pagar belakang sekolah untuk pulang.


Di rumah, tiada siapa yang menunggu. Ibu selalu sibuk dengan persatuannya. Ayah pula jarang balik rumah. Manakala 3 orang abang Azmi semuanya telah pun bekerja. Azmi yang menjadi anak bongsu tidak seperti keluarga lain. Walaupun kaya, Azmi selalu berasa keseorangan.

Sampai sahaja di bilik terus dilemparkan beg sekolah ke atas meja. Dia terfikir akan peristiwa yang baru berlaku petang tadi.

"Adakah aku bermimpi?" Fikir Azmi.

Ia satu peristiwa yang membuatkan Azmi tidak dapat tidur lena semalaman...

(bersambung)

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon