Memaparkan catatan dengan label puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puisi. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Disember 2013

Puisi: Di bawah lampu jalan



Malam itu gelap nan sepi
Mulut-mulut mengeluar bunyi...

Mereka kata dia bodoh.
Mencari kunci yang hilang di bawah lampu jalan.

Mereka kata dia dangkal.
Mencari kunci yang hilang berdekatan cahaya.

Mereka kata dia dungu.
Mencari kunci yang hilang bukan pada tempatnya.

Kerana apa dia mencarinya di situ?
Mungkin selesa kerana petunjuk hanya itu
Walau dia tahu kunci itu jatuh ketika kita keluar dari rumah

Entah di mana kunci itu hilang
Mencarinya di bawah cahaya
senang memberinya kelegaan.

Khamis, 31 Oktober 2013

Kata itu, kawan

Kawan,

Aku memandang katamu tinggi,
Setinggi awan di langit,
Seluas lautan biru,
Sedalam paksi bumi.

Kawan,

Aku menunggu kata itu,
Kata yang membuatkan kumemahami,
Bukan kata untuk jalan itu,
Kerana aku tahu di mana ia membawa.

Kawan,

Aku mencari kata itu,
Yang mampu melembut hatiku,
Mengatakan itu yang aku tunggu,
Yang menjadikan aku terkedu.

Sahabat,

Aku tahu dikau sibuk dengan tugas yang pelbagai,
Yang menantikan tujuh tangga kenikmatan,
Hanya katakanlah itu kepadaku,
Saat itu nanti,
Pasti akanku turut serta dalam perjuanganmu itu...


Selasa, 13 Ogos 2013

Hujan Meteor


Terbangun daripada tidur
Jam telefon dilihat
Angka 4 tertera

Bunyi dentuman berkumandang,
Adakah hujan meteor telah tiba?

Menjenguk ke jendela
Langit masih diselimuti hitam

Percikan cahaya mengelipkan mata
Bunyi rintisan air kedengaran

Allahuma soyiban nafi'a

Hujan rahmat yang turun.

Isnin, 12 Ogos 2013

Melayu - Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

 - Usman Awang

Ahad, 7 Julai 2013

Kepingan Besi Bercahaya

Dua orang lelaki di dalam bilik yang sama,
Termenung melihat sekeping besi bercahaya di hadapan masing-masing,
Tersenyum sengih,
Termenung lama,
Terpendam pelbagai pemikiran

Entah apa mereka itu bualkan sepanjang malam,
Rutin sama diteruskan,
Tergelak,
Pilu,
Gembira.

Dua orang lelaki yang hidup di perantauan,
Menghabiskan masa melihat sekeping besi bercahaya.

Rabu, 5 Jun 2013

Aku, Kau, mari kita ke Syurga, wahai sahabat

Sahabat yang baik,
Apabila kita memandangnya,membawa kita mengingati Allah,
Mendengarkan kata-katanya menambahkan ilmu,
Terlihat gerak-gerinya meninggikan rasa takut kepada Allah,
Berkawan dengannya membawa kita berjuang ke jalan Allah.

Bila persahabatan disulami dengan iman dan taqwa,
bila tidak bertemu kan terasa rindu,
bila berjumpa rasa bahagia,
bila berbicara pasti memberi seribu makna,

bila ditegur hati lapang dan mudah menerima.
bila kita menangis dia berusaha menyeka air mata,
bila kecewa,dia rawat dengan kata-kata hikmah,
bila marah dia minta kita meluah rasa padanya,

agar marah itu tidak tebawa-bawa,
agar syaitan tidak berjaya memperdayakan kita,
dalam keupayaan mengawal nafsu amarah.

Bila kita jatuh dia akan membangkitkan kita,
bila kita berputus asa dia ingatkan janji Allah pada kita,
bila diftnah dia tetap setia mempercayai kita,
bila kita berjaya,dia turut sama bersyukur dan gembira.

Kebaikan kita di cerita,keburukan kita dirahsia.
Tidak jemu membimbing.
Tidak jemu berkongsi.
Tidak jemu mendengar.
Tidak jemu memberi nasihat.

Itulah sahabat...

Oleh itu,bagaimana pula dengan kita? Sahabat seperti apakah kita ini?

-- Tidak diketahui

Selasa, 28 Mei 2013

Angin

Angin.
Bertiup sepoi sepoi bahasa,
Menyapa setiap makhluk yang ditanya

Angin.
Sejuk merasa ke tulang,
Hati gundah meriang.

Angin.
Bahang menjulang rasa,
Terus memakan masa.

Angin.
Ia bagai perasaan,
Adanya kecewa,
Adanya derita,
Adanya gumbira.

Angin.
Terus berputar ke seantero dunia...