Jauh di sudut hati, saya tahu saya betul betul ingin menjadi seorang penulis. Jika ditakdirkan cerita, mesti saya menjadi penulis berjaya. Pasti. Ia bukan main-main kerana apabila hati sudah berkata pasti minda turut serta.
Namun, cita-cita itu bukanlah yang pasti. Setiap yang kita rancang pasti ada penentu oleh yang mencipta kita. Saya tidak ragu dan tidak acuh untuk menerima takdir yang melanda.
Ya mungkin ayat di sudut hati itu tandanya saya mengeluh, namun ketahuilah ia hanya satu bisikan kecil sahaja. Apakah yang boleh bisikan kecil lakukan pada hati yang berjiwa besar ini?
Menjadi seorang saintis bukanlah impian saya dari kecil. Ini pun kebetulan sahaja. Sejak kecil sastera seperti sudah sebati dalam diri saya. Jika tidak masakan setiap tahun saya ditakdirkan untuk menang tempat pertama dalam anugerah murid cemerlah untuk subjek Bahasa Melayu?
Ya bahasa Melayu menjadi bahasa darah daging saya semenjak saya keluar merengek di dunia ini. Abah yang mengazankan bahasa Arab di telingan kanan dan membisik iqamah di telinga kiri.
Bahasa Melayu sejati dengan diri kampung saya. Sewaktu kecil saya tidak mengerti mengapa drama-drama di televisyen gah menggunakan perkataan 'I' dan 'U'. Bukankah itu abjad ke 8 dan ke 21? Orang bandar ini pelik ya, fikir saya.
Bahasa Inggeris? Entah bila saya faham tentangnya. Itupun kerana saya dipaksa belajar. Jika tidak masakan saya akan tahu 5 'push' 4 akan dapat 1? Ah... ajaran abah lagi senang. 5 tolak 1 sambil menunjukkan telapak tangan abah terbuka luas dan kemudian tutup menunjuk ibu jari sahaja.
Hidup bukanlah sentiasa berlingkar antara kita sendirian sahaja. Kita hidup bersama masyarakat. Jika tidak masakan manusia dijadikan lelaki dan wanita? Berpasangan.
Sama seperti budak remaja lain, saya juga pernah jatuh cinta. Walaupun duduk di kampung, hal-hal agama bukanlah tidak kami ketahui. Cuma, budak remaja ghairah ingin bercinta dek kerana itulah yang ditontonkan di drama TV. Pastinya drama bandar memberi kesan kepada kami.
Drama Inggeris langsung kami tolak. Manakan budak yang berbahasa Melayu boleh memahami apa yang mereka katakan? Selalu juga saya mendengar gelak ketawa entah dari mana di siaran komedi Inggeris. Pelik. Yang peliknya lagi pelakon itu tidak pula ketawa. Orang Puteh memang suka ketawa rasanya?
Balik kepada kisah cinta monyet saya itu, ia tidak kesampaian berevolusi kepada manusia bak kata Darwin, bapa evolusi monyet. Kami hanya sempat berpandangan mata di padang sekolah kala pulang lewat petang apabila loceng sekolah berbunyi dua kali.
Manusia itu terus memburu impiannya apabila ia jelas apa yang dia inginkan. Sama seperti saya, impian saya tetap ingin menjadi penulis tersohor seperti pengarang novel 'Salina'. Novel tentang pelacur itu saya sorok-sorok baca di perpustakaan takut takut nanti ada yang gatal meminjam. Pusat Sumber sekolah bukanlah sempurna. Sukar nak pinjam novel kerana kekangan kakitangan untuk menguruskannya.
Sistem rosak kata pengawas pusat sumber. Jelek saya mendengarnya. Habis itu sampai bila mahu dibaiki sistem? Cikgu pula asyik dengan aktiviti sukan. Lupa tentang wacana ilmu berpusat di sini.
Ah biarlah. Asalkan saya terus melayan novel Melayu ini.
Titik saya tidak mencapai impian adalah apabila saya dipaksa masuk ke alam menengah atas aliran bukan minat saya. Abah berkeras mahu saya belajar ilmu-ilmu lain daripada rakan-rakan sebaya. Katanya sekolah kampung tidak ada kemudahan. Sayalah yang bakal membawa revolusi minda di kampung ini.
Saya memberontak. Saya mahukan kebebasan saya dalam memilih liku-liku kehidupan yang bakal saya hadapi. Ya mungkin saya belum mencapai umur 18 tahun, namun saya berhak menentukan pilihan hidup saya!
Ibu seperti menyokong pendapat abah. Benteng harapan saya hancur. Saya merenung tinggi bintang di langit pada hari itu. Mungkin mata saya kabur tapi saya yakin ada tahi bintang yang jatuh ke bumi Malaysia ini kala saya termenung itu. Saya solat sunat demi mendapat petunjuk-Nya. Dia lebih mengetahui impian mana yang boleh membawa saya kejayaan. Bukankah Dia yang mencipta saya?
Jawapan jelas apabila surat tawaran masuk ke Sekolah Menengah Sains Pokok Sena 2 hari kemudian sampai ke rumah. Abah gembira. Ibu gembira. Saya... Mungkin itulah jawapan dari sang Pencipta.
"Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;
..."
Terngiang puisi nukilan Robert Frost itu di telinga saya. Ya dua jalan terhidang di hadapan ini, dan saya, Prof. Sulaiman Ahmad, memilih jalan yang kurang pengembara lalu. Pilihan itu hanyalah andaian manusia, jawapan itu hanyalah milik sang Pencipta.
Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon