Rabu, 6 Mac 2013

Bunian Pari Berblog #2

(sambungan #1)

"Bu Melati, boleh Bu terangkan saya tentang buku cinta?" tanya seorang anak-anak bunian Pari.

Bu Melati sedikit terkejut dengan soalan itu. Anak kecil sudah tahu bercinta ya, fikir Bu Melati.

"Oh, banyak buku-buku cinta yang saya tuliskan di blog saya. Kamu pergi sahaja di situ dan cari."

"Tapi saya mahukan penerangan daripada Bu sendiri. Bukankah Bu sering membaca?"

"Kamu boleh membaca buku karangan Indera bertajuk "Si Dia Cinta", karangan Ratna, "Merpati Putih Sejoli", karangan Puri, "Jiwa Bertemu Hati" dan lain-lain lagi."

"Tapi Bu."

Bu Melati endahkan persoalan itu dan berlalu pergi ke rak-rak buku yang lain. Walaupun bertugas sebagai seorang perpustakawan di Pustakawan Besar Kampung Bunga, nyata Bu Melati sibuk mempromosikan sinopsis di blognya berbanding beramah mesra dengan kanak-kanak yang datang berkunjung.

Kanak-kanak itu berlalu keluar dari perpustakaan denga raut wajah hampa.

Setelah beberapa tahun berblog, makin lama makin ramai yang tahu akan kewujudan blog Bu Melati. Mata Bu Melati semakin rambang dengan jumlah statistik yang meningkat di blognya.

Makin lama makin dia menulis persis menyalin sinopsis buku. Dia tidak kira sama ada dia faham atau tidak isinya asalkan dia menulis. Bukan senang menulis tentang buku, fikirnya. Ia memerlukan masa seseorang itu dihabiskan untuk membaca.

Ternyata Bu Melati lupa akan hasrat apabila makhluk mula membaca. Untuk mendapatkan ilmu dan menyampaikannya agar makhluk yang lain juga faham.

Mungkin Bu Melati boleh menggelarkan dirinya bibliholik, tapi dia tidaklah setegar mana yang digelarnya. Layanannya pada pengunjung perpustakaan mula menurun.

"Bu, buku ini bagus atau tidak?" tanya seorang pengunjung baru di perpustakaan.

"Buku ini bagus. Rujuk sahaja blog saya ya," balas Bu Melati asyik dengan statistik blognya.

Makin lama makin menyampah pengunjung dengan sikap Bu Melati itu. Ternyata betullah kata-kata manusia, apabila seseorang itu semakin popular, semakin lupa dirinya kepada asal-usulnya.

Bu Melati mungkin dahulu boleh melayan baik pengunjungnya, kini kerana sibuk dengan blog pinjam bukunya itu, dia lupa. Terus lupa. Terus hanyut dengan nada sinisnya apabila ada yang datang berkunjung di blognya itu.

Pasti dia akan membalas dengan mengatakan si pengkritik itu tidak baca lebih daripada apa yang dia baca. Ah! Sungguh biadab sikap Bu Melati itu sehinggakan blognya mendapat kritikan habis daripada blogger lain.

Oh ya, blogger ini semestinya seorang yang menulis blog. Lupa untuk dinukilkan bahawa dunia Internet manusia dan makhluk lain saling berkait rapat. Cuma kelebihannya pada dunia Jin. Mereka ada pilihan untuk membuka jaringan Internet mereka sama ada manusia boleh melihat dan membacanya atau membiarkan sahaja ia di kalangan mereka.

Ramai kaum Jin lebih suka jaringan mereka bersatu antara mereka sahaja. Mereka tidak gemar campur tangan manusia yang mudah melenting di dunia Maya. Menggunakan bahasa-bahasa kesat atas alasan tidak berjumpa.

Walhal di luar punyalah kelihatan alim. Pergi ke surau katanya.

Ah! Manusia. Kerana itulah kaum-kaum Jin tidak gemar membuka laluan Internet mereka kepada makhluk yang mudah lupa itu.

Bu Melati pula lain. Dia membuka seluas-luasnya akses ke blognya tanpa mengira sesiapapun dia. Peliknya dia hanya menerima komen yang positif di blognya. Ternyata kritikan atau komen yang seakan tidak sebulu pasti ditekan habis.

Pernah satu ketika seorang hamba Allah datang meninggalkan komen di blognya. Mungkin pada awal Bu Melati gembira. Tetapi tidak kemudiannya apabila dia rasakan manusia itu berlebih-lebihan dalam komennya itu. Mengkritik blognya yang dikatakan persis sinopsis projek NILAM anak-anak manusia.

Dihentamnya. Dikritiknya. Dihumbannya jauh komen itu agar si manusia itu pergi jauh tidak kembali ke blognya.

Disangkakan cerah di hujung petang, hujan yang turun. Itulah yang terjadi kepada Bu Melati. Pohon Jati yang dia tinggal seperti mendapat amaran daripada pihak manusia bahawa pembangunan jalan raya baru akan melibatkan laluan rumahnya itu.

Sungguh Bu Melati keliru. Dia memang boleh tinggal di tempat lain tetapi bagaimana dengan puluhan ribu buku yang tinggal di dalam pohon Jati itu?

Habis hilanglah ilmu yang ada. Oh hati Bu Melati sedih. Dia memohon bantuan orang kampung Bunga. Ternyata mereka tidak begitu melayan dengan kerenah Bu Melati. Mereka sudah muak dengan sikap Bu Melati sehinggakan mereka tidak gemar membaca.

Pelikkan? Kerana seorang bunian Pari mampu menjauhkan bunian Pari yang lain membaca?

Harinya tiba apabila pohon Jati itu hendak ditebang. Deruan bunyi mesin gergaji dapat didengar oleh seluruh penduduk kampung. Krek kruk krek kruk... ZZZZZZZZ

Pohon Jati tumbang. Ia tumbang bersama buku-buku yang terkandung di dalamnya. Mana lah si Bu Melati ini? Didapati dia sudah hilang membawa diri. Tidak sanggup dia melihat buku-buku yang dia ada hilang begitu sahaja.

Blognya juga sudah tidak dikemaskini...

Hilanglah seorang yang menyayangi ilmu dek kerakusannya dengan teknologi....

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon