Hujan #4

Pin It
(sambungan)

Perubahan sentiasa berlaku. Tidak kira di mana ia datang, kedatangan perubahan pasti berlaku. Ada yang mendefinasikan perubahan itu dari buruk ke baik. Dari baik ke cemerlang. Bagaimana jika sebaliknya? Itu bukanlah perubahan. Itu namanya kemerosotan.

Aku mula melihat sekeliling. Hujan masih turun dengan lebat. Tiada tanda ia akan reda. Minuman kami sudah habis dihirup.

Selalunya tidak lama kami berbual. Hanya bertanya khabar dan keadaan semasa. Itupun kerana Syahmi selalu singgah di sini sebelum terus ke perpustakaan.

Kali ini terasa sungguh lama kami berbual. Aku takut perbualan ini akan jadi lain pula kisahnya.

"Riduan, kamu tahu kenapa aku senang berbual dengan kamu?"

Aku menggelengkan kepala.

"Rupa kamu serupa dengan abang aku," Syahmi mula memandang di luar kafe kami duduk. "Perangainya pun hampir sama dengan kamu."

Aku mula rasakan ada sesuatu yang betul ingin dia sampaikan kini. Seperti yang aku duga, tidak akanlah Syahmi datang ke sini tanpa sebarang sebab.

"Hari ini hari ulang tahun kematiannya." Syahmi masih memandang nun di luar kafe.

Aku kaget mendengar kenyataan itu. Aku tidak tahu ingin berkata apa. Perlukah aku berkata sesuatu? Atau hanya mendiamkan diri. Aku dalam dilema.

"Dia mati kerana penyakit yang melandanya sejak kecil lagi. Penyakit Down Syndrome yang dia hadapi akhirnya meragut nyawanya di usia remaja."

Aku masih lagi kaku tidak tahu bagaimana perlu berespon dengan situasi ini. Perlahan aku sentuh tangan kanannya. Menggenggam memberi sokongan moral kepadanya.

Syahmi memandang aku semula. Dia masih dengan senyumannya itu.

Sedikit demi sedikit untaian persoalan di minda aku mula terurai. Mengapa di awal pertemuan kami, dia sungguh mudah mesra dengan aku. Sapaannya biasa sahaja tetapi terasa dekat.

"Perubahan berlaku, Mi. Kita perlu memandang masa hadapan." Entah mengapa itu yang terpacul keluar dari mulut aku sambil aku menepuk tangan kanan Syahmi.

Syahmi tersenyum lebar.

Hujan mula menyinsing pergi. Rintikan kecil kedengaran di bumbung kafe. Deruan angin hujan mula perlahan.

"Jom kita pergi ke perpustakaan. Aku juga ada beberapa buku yang ingin dipinjam di sana."

Kami bangun dan berangkat pergi. Ketika melalui pesisir jalan ke perpustakaan kami melihat awan. Sinar matahari mula menimbulkan warna-warni pelangi di langit. Indah sungguh 7 warna yang menyinari langit itu. Hujan bukanlah lama, sinar bukanlah selalu. Nikmatinya ketika kita masih ada kesempatan. Harunginya ketika kita masih berkekuatan.

(Tamat)
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia