Manusia sememangnya makhluk ciptaan Allah yang unik. Tiada satu pun yang sama hatta daripada rupa sehinggalah pemikiran. Tiap-tiapnya berbeza. Perangai kalau ada yang kata serupa, itu hanyalah misalan sahaja. Katanya sama dengan Sultan, elok santun bahasanya, tidak pula pekertinya.
Minat manusia juga berbeza. Lihatlah dunia ini. Ada yang suka berpolitik, bersukan, belajar, menari, menyanyi, menulis dan macam-macam lagi.
Itulah manusia yang unik.
Perkara ini tidak juga terkecuali dalam Wikipedia Bahasa Melayu. Di sini saya buka bicara saya berbezanya manusia itu sendiri di alam maya. Setiap orang ada minatnya. Tiada yang sama. Mungkin ada yang hampir sama tetapi gaya penulisan mereka berbeza walaupun ia hanyalah terjemahan biasa-biasa dari Wikipedia Bahasa Inggeris.
Sudah setahun lebih saya memantau dan menyumbang di WBM. Umum mengetahui bahawa Wikipedia adalah tempat sukarelawan menyimbahkan ilmu yang mereka ada. Tak kiralah ilmu itu bermanfaat ataupun sebaliknya.
Saya pernah lihat editor yang suka menyumbang rencana K-Pop, J-Pop, Muzik, dan macam-macam lagi yang buat saya ia memang tiada faedah langsung untuk kesejahteraan umat Melayu.
Pastinya yang bisa berbahasa Melayu majoritinya orang Melayu.
Orang Indonesia? Mereka sudah ada bahasa mereka sendiri dengan wikipedia dalam bahasa mereka juga.
Umat Melayu masih jauh lagi untuk menjadi jargon dalam perkongsian ilmu percuma ini. Terutama di rantau siberjaya ini.
Untuk itu lihatlah, begitu lambat perkembangan ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.Sungguh lambat. Yang saya dapat lihat, para ilmuan bahasa Melayu cukup tegar menyalahkan satu sama lain tanpa ada satu usaha termaju menaikkan bahasa Melayu.
Kerana itu, tidak hairanlah anak-anak Melayu begitu menyanjung tinggi bahasa Inggeris sebagai bahasa bakal ibunda mereka. Ini terjadi khas buat penduduk bandar.
Tidak boleh saya ngomelkan di sini kerana ini hanyalah novel biasa terbit daripada pemerhatian saya sahaja. Tidaklah ia benar, tidaklah ia palsu. Berada di tengah-tengah. Bak kata orang sekarang, wasatiyah atau sederhana sahaja.
Al-mahfumnya saya ingin bercerita editor di WBM berbeza sungguh minat mereka dari satu bidang ke bidang yang lain.
Ada yang suka menambah artikel geografi tunas, pasal anjing, album K-Pop dan J-Pop. Minat pada lagu-lagu retro Melayu dan artis-artisnya. Ada juga hanya memantau kerana sudah lesu untuk menambah rencana dalam. Biar orang muda pula berkerja, kata mereka.
Nasihat senior memang perlu dipatuhi jika tak mahu rencana ciptaan sendiri dihapuskan tanpa belas kasihan.
Ditenung ilmu-ilmu Inggeris dari Wikipedia induk. Dasar-dasar WBM boleh dipadam apabila ia berkait dengan induk. Sama sahaja seperti undang-undang di Malaysia ini. Jika salahnya BM, baliknya kepada BI untuk yang pasti. Tipikal minda tanah bekas jajahan ratu Inggeris.
Apa yang penting, editor WBM mula dan terus mengenal diri sendiri dengan hanya menulis di WBM. Biar penulisan rencana itu tunas sahaja asalkan dia pemulanya. Jika betul amalannya berniat kerana Allah, pasti terus berjalan pahalanya kala orang membaca tunasnya itu.
Mudah sahajakan hendak mendapat pahala? Namun awas! Jika fitnah yang dimasukkan, juga berterusanlah dosanya sehingga ada yang sanggup mengubah kepada kebenaran apabila pekung sudah tidak dapat ditutup lagi.
Tuntasnya, WBM terdiri daripada editor-editor amatur yang konsisten dalam memberi sumbangan sedikit mereka dalam bahasa Melayu. Tidak kurang juga orang bukan Melayu turut sama mereka. Hebat.
Ini akan saya ceritakan pada bab yang lain. Buat masa ini biarlah kita tahu bahawa manusia itu pelbagai sifatnya.
Jumaat, 3 Mei 2013
Bab 1: Mengenal Sifat Diri
Penulis 依之汉
Diterbitkan Jumaat, Mei 03, 2013
Artikel Terkait
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon