Hujan #3

Pin It
(sambungan)

Aku masih memandang muka Syahmi. Dia mengerti bahawa aku inginkan perbualan lain. Biasalah. Aku ini tidak pandai berbual.

"Sekarang minggu ujian 2. Bagaimana dengan ujian subjek kamu?"

"Ada juga beberapa subjek yang susah. Biasalah, jurusan aku ini dimonopoli kaum Cina. Manakala budak Melayu malas nak belajar sama-sama. Lagipun mereka suka buat kerja akhir masa. Susah aku nak ikut perangai mereka itu."

"Samalah. Jurusan aku pula hanya ada 8 orang lelaki dan 24 orang perempuan. Kalau kecilkan skop lagi, hanya ada 4 orang lelaki Melayu."

Aku tidak tahu apa maksud Syahmi sama. Adakah perangai kawan sejurusannya itu malas atau kawan Cinanya itu susah nak kongsi nota?

"Tapi tak mengapalah. Itu cabaran buat kita yang bergelar muslim."

Ah nampaknya dia faham maksud aku dan tidak ingin memanjangkan topik yang sia-sia ini. Aku senyum sahaja. Tak mahu membuka lebih banyak aib saudara semuslim aku.

Tidak banyak yang dapat aku cungkilkan dari riak wajah muka dia. Masalahnya masih kekal misteri. Tidak mungkin masalah minggu ujian, sampai dia ingin berjumpa aku? Mesti ada lagi. Cuma aku perlu bersabar.

Aku nampak tangannya menggeletar cuba menahan sejuk dengan baju dan seluar basahnya itu. Kesan air hujan dibadannya mula memberi kesan.

"Tunggu kejap ya." Aku bangun dan pergi ke mesin buat air di sudut sebelah tangga di koridor.

"Eh tak apalah," kata Syahmi.


Aku memasukkan 2 keping not RM1. Menunggu 2 cawan keluar untuk 2 orang minum.


Kemudian aku duduk kembali dengan 2 cawan kopi panas. Syahmi ini kalau apa-apa aku tawarkan selalu sahaja menolak. Aku percaya 'tindakan lebih baik berbanding kata'.

Mahu atau tidak, terpaksalah dia menerima pemberian aku. Lagipun aku minum sekali dengannya. Jadi tidaklah dia boleh menolak tawaran aku ini.

Kadang kala sifat orang Melayu yang tidak suka menerima bantuan orang lain cukup tidak aku gemari. Memanglah itu budaya Melayu, tetapi orang yang memberi itu ikhlas. Jika tidak, masakan diberinya pertolongan.

Aku menghirup pula cawan aku.

Kami masih di sini dengan tiupan angin kuat kala guruh mula berdentum sana sini.

(bersambung)
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia