Memaparkan catatan dengan label ms.wikipedia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ms.wikipedia. Papar semua catatan

Khamis, 23 Mei 2013

Serangan fitnah di Wikipedia Bahasa Melayu


Goebbels dan “Penipuan Besar” propaganda Nazi, chif Joseph Goebbels adalah pakar taktik "penipuan besar" iaitu dengan mengadakan onar, walau betapa tidak benar, jika diulang secukupnya, mampu menjadikan ia sebagai kebenaran.

Untuk pengetahuan, WBM untuk kebelakangan ini diserang oleh cybertrooper a.k.a kuli-kuli segolongan pemimpin tidak bertanggungjawab.

Fitnah berleluasa.

Semoga kita dijauhkan dari fitnah-fitnah Dajjal.

Rabu, 15 Mei 2013

Daripada Amatur ke Profesional - Revolusi penulisan Wikipedia/Blog

'Apa yang kamu dengar kamu lupa, apa yang kamu lihat, kamu ingat, apa yang kamu buat, kamu faham.'
-- Konfusius

Pada awalnya saya tidak gemar berblog. Saya tidak percaya semua orang mempunyai pandangan yang bernas untuk dilontarkan. Bagi saya hanya yang berkredibiliti sahaja dapat berblog.

Apabila dikenangkan kembali, ini semua gara-gara laman web yang suka 'kaut untung' menipu pengguna buta IT. Kata mereka boleh dapat duit dengan mudah hanya dengan klik itu dan ini di Internet.

Saya memang anti-MLM dan saya lihat geng-geng itu terlibat dengan MLM.

Apatah lagi saya pernah tertipu dengan iklan sarung dan bungkus belon di rumah yang penuh tertera di akhbar PENIPU no 1 Malaysia -PERDANA. RM40 hangus begitu sahaja.

Tetapi alhamdulillah, dengan terkena pada batang hidung sendiri, barulah saya mula berfikir logiknya untuk dapat duit di mana. Hanya dengan kerja keras sahaja barulah duit dapat berkepuk banyak di poket kita.

Sama sahaja dengan blog. Hanya dengan menulis perkara-perkara bermanfaat buat diri kita dan yang membaca, barulah dapat buat duit. Bagaimana? Caranya mudah sahaja, tulislah dengan baik dan betul.

Apabila saya terjun dengan dunia blog, barulah saya mengerti kenapa ramai orang mula berblog. Bagi blogger yang sudah mendapat nama, mereka tahu duit bukan matlamat utama mereka berblog.

Walaupun mungkin tidak terkenal, tetapi pandangan blogger mempunyai bernasnya. Unik dan lain dari lain.

Apa yang penting isinya dahulu. Kemudian barulah belajar teknik pemasaran blog yang betul. Banyak juga ilmu penulisan saya belajar hanya dengan berblog.

Sama juga di Wikipedia. Oh, itu kisah lain pula nanti, tentang bagaimana Wikipedia Bahasa Melayu membuka mata saya terhadap proses pembelajaran.

Ahad, 12 Mei 2013

Teknik mudah mendapat untung akhirat dengan Internet



Anda suka membaca? Ingin berkongsi ilmu dengan baha-bahan bacaan anda? Jom kita berkongsi maklumat di Wikipedia Bahasa Melayu.

Saya setakat ini menyumbang beberapa bahan bacaan tentang tanah (projek sarjana saya). Saya juga sertakan rujukan di mana saya dapat sumber itu. Kita tidak mahu rencana kita dipertikaikan orang lain nanti.

Tidak tahu caranya? Saya boleh ajarkan kerana mudah sahaja untuk membuat pahala dengan Wikipedia.

Malas? Orang lain boleh buat? Nampaknya anda terlepas peluang terbesar medapat pahala berterusan sepanjang masa.

Mari saya kongsikan sepotong hadis yang boleh kita renungkan;

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalanya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Kuasa di tangan anda.

Bagaimana menjadikan Wikipedia sahih dan berpandangan neutral?


Tertarik untuk berkongsikan video ringkas bagaimana Wikipedia berfungsi.
Masih ramai lagi yang kurang arif tentang Wikipedia. Setakat saya tahu, rakan sekeliling saya hanya tahu guna Wikipedia tetapi tidak tahu siapa penyumbangnya.

Mereka adalah sukarelawan. Saya ulang kembali, sukarelawan. Bermakna tiada bayaran.

Malangnya, sukarelawan yang menyumbang penulisan mereka itu majoritinya bukan Islam. Bayangkan jika mereka itu Islam. Tentulah pahala yang mereka dapat sentiasa mengalir, selagi mana isi-isi yang mereka berikan itu betul dan sahih. Masya-Allah.

Selasa, 7 Mei 2013

Bab 2: Sumber rujukan

Wikipedia amat menekankan sumber rujukan pada setiap artikelnya. Jika tiada sumber rujukan, sesuatu artikel boleh dibuang atau ditandakan keraguannya.

Perkara ini amat penting kerana Wikipedia bukanlah sumber pertama rujukan. Editor Wikipedia bukanlah orang yang dibayar gaji. Mereka hanyalah orang biasa yang rela menyumbang masa dan fikiran mereka untuk manfaat manusia ber Internet.

Dari sini saya mula belajar tentang Wikipedia secara serius apabila saya sendiri mula terlibat dengan penulisan ilmiah. Saya belajar untuk memetik maklumat daripada jurnal-jurnal berkualiti dengan betul.

Saya terkejut mengetahui bahawa Wikipedia menggunakan teknik penulisan ilmiah untuk memetik jurnal-jurnal yang ada. Ataupun buku-buku yang berkaitan dengan tajuk rencana yang dicipta.

Saya lagi terkejut apabila Wikipedia Bahasa Melayu (WBM) kurang rujukan yang betul. Ini tak dinafikan bahawa rakyat Malaysia bukanlah semua pandai menulis secara ilmiah. Tambahan lagi pelajar universiti atau 'so called' mahasiswa banyak yang masih mengamalkan konsep plagariat dalam tugasan mereka.

Jadi tak hairanlah WBM masih jauh ketinggalan kesasihan artikelnya. Untuk menulis secara ilmiah bukanlah senang. Itu saya setuju. Seseorang itu perlulah rajin membaca dan tahu selok belok memetik maklumat daripada sumber-sumber berkaitan.

Perlu diingatkan sekali lagi, Wikipedia ini sumber rujukan ketiga. Bukan sumber rujukan pertama atau sumber asli sesuatu kajian.

Ia boleh menjadi sumber rujukan kedua, apabila terdapat sumber rujukan pertama diberikan. Namun sukar untuk menentu sahihkan perkara ini. Justeru, Wikipedia masih dikategorikan sebagai sumber rujukan ketiga.

Dari perkara ini lah saya belajar untuk menulis secara telus. Jika tiada sumber rujukan sahih, lebih elok saya merepek di blog berbanding saya merepek di WBM.

Sebagai seorang pemerhati tegar WBM, saya lihat masih ada golongan yang suka membuat penyelidikan asli mereka di WBM. Mereka cuba meletakkan komen dan ulasan mereka semasa menokok tambah rencana di WBM. Ini salah kerana bercanggah dengan sumber rujukan ketiga.

Dari segi kehidupan realiti pula, saya belajar untuk berbicara secara betul tanpa sembereno.

Di Facebook, saya lihat ramai rakan saya, tentunya 'mahasiswa' suka berkongsi maklumat palsu. Katanya 'saya kongsi sahaja. Ikut anda lah nak percaya atau tak.'

Itu alasan bodoh. Saya tak suka menyebarkan fitnah. Perkongsian tanpa sumber sahih terus saya kategorikan sebagai fitnah. Dan ketahuilah, fitnah itu lebih buruk daripada membunuh.

Kesal juga apabila 'mahasiswa' yang berkongsi perkara itu. Bukan nak kata apa, bagaimanakah mereka menyiapkan tesis projek tahun akhir mereka ya?

Mungkin terlalu banyak plagiat sampai terbawa-bawa dalam kehidupan mereka. Hmmm. Itu hanyalah andaian rawak saya sahaja.

Kesimpulannya, Wikipedia menjadi platform pengumpul sumber rujukan sahih yang bertebaran di Internet ini. Buat yang memahami bagaimana Wikipedia berjalan, baguslah. Bagi yang masih suka termakan hasutan, jadikan amalan menyelidik dahulu sumber rujukan sebelum hentam keromo ya.

Jumaat, 3 Mei 2013

Bab 1: Mengenal Sifat Diri

Manusia sememangnya makhluk ciptaan Allah yang unik. Tiada satu pun yang sama hatta daripada rupa sehinggalah pemikiran. Tiap-tiapnya berbeza. Perangai kalau ada yang kata serupa, itu hanyalah misalan sahaja. Katanya sama dengan Sultan, elok santun bahasanya, tidak pula pekertinya.

Minat manusia juga berbeza. Lihatlah dunia ini. Ada yang suka berpolitik, bersukan, belajar, menari, menyanyi, menulis dan macam-macam lagi.

Itulah manusia yang unik.

Perkara ini tidak juga terkecuali dalam Wikipedia Bahasa Melayu. Di sini saya buka bicara saya berbezanya manusia itu sendiri di alam maya. Setiap orang ada minatnya. Tiada yang sama. Mungkin ada yang hampir sama tetapi gaya penulisan mereka berbeza walaupun ia hanyalah terjemahan biasa-biasa dari Wikipedia Bahasa Inggeris.

Sudah setahun lebih saya memantau dan menyumbang di WBM. Umum mengetahui bahawa Wikipedia adalah tempat sukarelawan menyimbahkan ilmu yang mereka ada. Tak kiralah ilmu itu bermanfaat ataupun sebaliknya.

Saya pernah lihat editor yang suka menyumbang rencana K-Pop, J-Pop, Muzik, dan macam-macam lagi yang buat saya ia memang tiada faedah langsung untuk kesejahteraan umat Melayu.

Pastinya yang bisa berbahasa Melayu majoritinya orang Melayu.

Orang Indonesia? Mereka sudah ada bahasa mereka sendiri dengan wikipedia dalam bahasa mereka juga.

Umat Melayu masih jauh lagi untuk menjadi jargon dalam perkongsian ilmu percuma ini. Terutama di rantau siberjaya ini.

Untuk itu lihatlah, begitu lambat perkembangan ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.Sungguh lambat. Yang saya dapat lihat, para ilmuan bahasa Melayu cukup tegar menyalahkan satu sama lain tanpa ada satu usaha termaju menaikkan bahasa Melayu.

Kerana itu, tidak hairanlah anak-anak Melayu begitu menyanjung tinggi bahasa Inggeris sebagai bahasa bakal ibunda mereka. Ini terjadi khas buat penduduk bandar.

Tidak boleh saya ngomelkan di sini kerana ini hanyalah novel biasa terbit daripada pemerhatian saya sahaja. Tidaklah ia benar, tidaklah ia palsu. Berada di tengah-tengah. Bak kata orang sekarang, wasatiyah atau sederhana sahaja.

Al-mahfumnya saya ingin bercerita editor di WBM berbeza sungguh minat mereka dari satu bidang ke bidang yang lain.

Ada yang suka menambah artikel geografi tunas, pasal anjing, album K-Pop dan J-Pop. Minat pada lagu-lagu retro Melayu dan artis-artisnya. Ada juga hanya memantau kerana sudah lesu untuk menambah rencana dalam. Biar orang muda pula berkerja, kata mereka.

Nasihat senior memang perlu dipatuhi jika tak mahu rencana ciptaan sendiri dihapuskan tanpa belas kasihan.

Ditenung ilmu-ilmu Inggeris dari Wikipedia induk. Dasar-dasar WBM boleh dipadam apabila ia berkait dengan induk. Sama sahaja seperti undang-undang di Malaysia ini. Jika salahnya BM, baliknya kepada BI untuk yang pasti. Tipikal minda tanah bekas jajahan ratu Inggeris.

Apa yang penting, editor WBM mula dan terus mengenal diri sendiri dengan hanya menulis di WBM. Biar penulisan rencana itu tunas sahaja asalkan dia pemulanya. Jika betul amalannya berniat kerana Allah, pasti terus berjalan pahalanya kala orang membaca tunasnya itu.

Mudah sahajakan hendak mendapat pahala? Namun awas! Jika fitnah yang dimasukkan, juga berterusanlah dosanya sehingga ada yang sanggup mengubah kepada kebenaran apabila pekung sudah tidak dapat ditutup lagi.

Tuntasnya, WBM terdiri daripada editor-editor amatur yang konsisten dalam memberi sumbangan sedikit mereka dalam bahasa Melayu. Tidak kurang juga orang bukan Melayu turut sama mereka. Hebat.

Ini akan saya ceritakan pada bab yang lain. Buat masa ini biarlah kita tahu bahawa manusia itu pelbagai sifatnya.

4 penulis tempatan di Seminar Pesta Buku Antarabangsa

Saya sempat pergi ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC.

Dapatlah menangkap gambar-gambar penulis tempatan kita untuk dimuatkan dalam artikel di Wikipedia Bahasa Melayu.

Memang antara tujuan saya datang ke seminar-seminar penulisan adalah untuk menangkap gambar penulis tempatan. Saya lihat tiada langsung rakyat Malaysia yang bermurah hati menderma gambar tangkapan mereka secara percuma. Jadi inilah peluang saya memulakan dahulu.

Alang-alang dapat peluang ni, lebih baik saya berbakti sedikit amalan saya ini.






p/s: Klik kanan dan 'open new tab' pada gambar mereka untuk ke artikel biografi mereka di WBM.