Khamis, 7 Februari 2013

Meniup belon penulisan


Menurut Nisah Haji Haron, sebagai seorang penulis dia mempunyai pantang saat projek penulisannya berlangsung.

Jika sudah meniup belon, tiup
sampai ia kembang habis.
Dia memberi anekdot seperti seseorang sedang meniup belon. Sedang dihembus angin ke dalam belon dia tidak boleh berhenti walau apapun. Jika tidak, secara perlahan-lahan angin di dalam belon itu keluar. Lama-kelamaan ia kempis.

Ini samalah dengan projek penulisannya. Jika dia berkata apa-apa tentang projeknya kala dia mula menulis, dia takut nanti dia akan lesu tidak bersemangat untuk menyiapkannya.

Dia lebih suka meniup belon dan tidak acuh untuk berkata tentangnya melainkan meminta input dan pendapat daripada orang terdekat. Dia biarkan sehingga belon itu cukup besar dan kemudian mengikatnya. Kemudian menghantar belon itu kepada tempat sepatutnya untuk dinikmati semua.


Ketika itulah projek yang siap akan menimbulkan perasan puas hati buatnya.

Daripada pembacaan tentang proses penulisan Nisah Haron, saya terus mendapat idea kenapa sesetengah penulisan saya terasa hambar kala saya mula menulisnya. Saya hilang semangat setelah beberapa lama saya mula menulis. Rupa-rupanya kerana mulut saya ini yang cabul berbicara kala ia masih belum matang sepenuhnya.

Aish. Betullah seperti Nisah Haron. Apabila saya asyik bercerita saya hendak buat ini dan itu, pasti perkara itu tidak akan tejadi. Rupanya kata-kata itu seperti menarik semangat saya untuk teruskan apa yang saya mulakan. Ia bagaikan mulut tempayan yang luas membiarkan air terserjat sedikit demi sedikit.

Saya dapati juga ia lebih mengasyikkan jika saya menulisnya di blog. Kenapa? Yelah, blog saya ini jarang sekali dibaca oleh rakan-rakan terdekat. Malahan ahli keluarga saya sendiri tidak membacanya. Heh.

Pelikkan? Ada orang yang mendapat semangat dan sokongan untuk terus berblog daripada orang sekeliling tetapi tidak saya.

Saya pun tak pasti kenapa orang sekeliling saya jarang sekali tergerak untuk membaca blog saya. Apapun saya gembira untuk itu. Lalu saya tidak perlu bersembunyi hati dalam bicara saya di sini.

Mungkin ada di antara mereka yang membaca secara senyap-senyap. Cuma mereka tidak ingin menyatakannya di hadapan saya. heh. Yelah. Blog saya ini lebih bersifat peribadi katanya. Walhal ia samalah seperti apa yang saya cakapkan kala saya bertemu orang-orang sekeliling saya. Cuma pendekatannya berbeza iaitu melalui penulisan.

Lagipun menulis menggembirakan hati saya. Sebab itu saya lebih suka menulis di blog apa-apa rancangan atau pandangan saya. Terutama projek-projek masa hadapan. Semangat itu seperti terus membara dan sukar untuk luput.

Di Facebook lain pula kisahnya. Ia memang membuatkan saya menulis tetapi entahlah saya rasa sama seperti saya bersembang. Saya terasa sedikit demi sedikit semangat saya ditarik keluar. Apatah lagi jika ada orang 'like' dan mula komen. Hmmm. Mungkin orang lain sebaliknya pula?

Hmmm. Mungkin kerana tekanan di sekeliling membuatkan saya takut untuk melaksanakan apa yang saya katakan.

Apabila di blog, tekanan itu seperti tiada. Kerana yang membacanya bukanlah mereka. Tetapi anda. Ya anda yang sedang membaca nukilan saya ini.

Di sini juga ingin saya tahu bagaimana pula situasi rakan maya yang lain? Adakah sama seperti saya iaitu biarlah ia rahsia ataupun biarlah ia gempak agar diri ini lebih bersemangat?

Jom kongsikan bersama.

4 mengomel

Salam Izham, sudah lama saya berkunjung ke blog Izham ni. Pada pandangan saya, analogi ini terpakai untuk hampir semua perkara dalam kehidupan tanpa mengira pekerjaan itu samada berkebun atau sekadar mengemas rumah...semangat untuk terus meniup perlu ada agar perkerjaan itu tidak menjadi hangat-hangat tahi ayam sahaja..

Saya juga bersetuju dengan Wani..perlu ada semangat untuk semua perkara...contohnya ketika saya sedang mengejar dateline yg telah ditetap perlu semangat juang dan komitmen yg tinggi tetapi mesti disokong oleh kesihatan mental dan fizikal yg mantap..sokongan yg lemah perjalanan mencapai objektif menjadi lemah..tu yg kadang2 menulis komen pun tak jadi.

Saya menulis di blog untuk melepaskan kelegaan saya selain sebagai diari sendiri. Terasa gembira bila ada orang yang sudi membaca blog saya dan komen. Saya ada dua akaun facebook, satu untuk peribadi dan satu lagi untuk blog saya. Tak semua yang saya luahkan di dalam blog masuk ke facebook peribadi saya.

@Puan Wanie
Wasalam. Baru saya perasan ia memang ada kaitan dengan peribahasa hangat-hangat tahi ayam. Yup. Aplikasinya boleh kepada semua. Dan saya dapati saya ini jenis kena diam. Sesetengah orang kena beritahu apa dia nak buat barulah menjadi. Lain orang lain perangainya.

@Puan Suka
Pasti puan mempunyai sokongan yang kuat. Tak mengapa. Jika tidak rasa ingin komen, biarkanlah dahulu. Lebih baik pentingkan kualiti berbanding kuantiti.

@Kak Dell
Saya satu akaun sahaja dan saya terhadkan akaun FB khas untuk orang yang saya kenal dan berada dekat dengan saya. Ia kira akaun peribadi.

Menulis di blog semestinya memberi satu kepuasan lain. Apatah lagi apabila ada komen membina (mahupun kritikan pedas). Apa yang penting kita belajar daripada itu.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon