Rabu, 6 Februari 2013

Berani dengan Impian


Apabila kita berimpian untuk berjaya semestinya kita kena satu sifat berani tertanam dalam diri kita. Kita kena berani untuk mencuba. Ini tidak kiralah apa halangan yang mendatang kita tetap akan tempuhnya kerana impian kita.

Apatah lagi apabila impian yang kita tempuh itu mungkin kita menemui kegagalan. Lalu perlulah kita ada sikap berani untuk gagal.

Gagal tidak bererti kita buat sesuatu dan kemudian terus jatuh dan tidak bangkit.

Biarlah saya sambung kisah yang saya ceritakan dahulu.

---

"Tidak mengapa. Inilah masanya awak bangkit," ujar Dr. Husni. "Semua orang ada mengalami kegagalan. Saya pun pernah gagal. Apa yang penting ialah bagaimana kamu naik setelah kamu jatuh."

Saya pandang sahaja muka penyelia saya. Tidak mampu saya berbicara lagi.


"Tak apa. Saya lihat Fizik Tanah pensyarah lain ajar. Kali ini, kamu jumpa pensyarah dan kata kamu tak faham. Nanti dia ajarlah kamu betul-betul."

Nampaknya beliau ingin saya mengulangi semula subjek ini. Aduh, keluh saya dalam hati. Berat sungguh hati untuk mengambil subjek ini semula.

Ia seperti apa yang saya jangkakan. Untuk pelajar sarjana, gred C bermaksud gagal. Ini kerana CGPA akan jatuh bawah 3.0. Seterusnya ini menyebabkan saya akan sukar untuk mendapat biasiswa. Apatah lagi untuk sambung ke peringkat Ph.D pula.

"Nanti saya tanyakan pihak Sekolah Siswazah tentang ini," ujar saya.

Saya tidak pasti sama ada pihak Sekolah Siswazah menggunakan sistem pengulangan gred sama seperti pelajar ijazah muda.

"Hmmm. Saya nak beritahu juga Dr., apabila saya bawah 3.0 ini, bermaksud saya juga tidak dapat biasiswa."

"Itu usah risau. Bukankah kamu ada ambil MyBrain15?"

"Ya, tetapi itu hanya setakat bayar yuran. Kos kehidupan pula lain."

"Kita tengoklah bagaimana nanti. Kalau kamu betul tidak dapat GRF, kita boleh beri sikit geran yang kita ada kepada kamu. Cukup untuk makan bertahan beberapa bulan. Saya lihat pun mungkin dapat projek CJ Chen ataupun Lynas."

Aku hanya mengangguk tanda faham. Beliau seperti mengerti maksud aku datang ke biliknya.

Terdapat jeda masa di sini. Dr. dengan muka berfikirnya. Aku pula dengan muka sayunya.

"Tak apalah. Kita tengok nanti."

Saya pun meminta untuk mengundur diri. Perbincangan yang lama. Banyak isinya lebih kepada sesi motivasi bagaimana aku perlu berlaku adil kepada diri aku dan kepada ibu bapa aku.

"Saya lihat kamu ada semangat nak belajar. Kita tak boleh halang orang nak belajar. Tapi saya lihat kamu ini malas."

Aku terkesima mendengarnya. Aku hanya mendiamkan diri tidak ingin menegakkan benang yang basah.

"Terima kasih Dr.," ucap saya di akhir perbincangan itu.

Ya saya gagal untuk mencapai gred yang sepatutnya. Namun adakah perlu saya merantap sepi dengan kegagalan itu? Impian saya tinggi. Lebih tinggi daripada impian ketika saya awal masuk bidang sarjana ini.

Saya ingin menjadi pensyarah yang mampu menulis. Biarlah tulisan saya itu dalam bahasa ibunda saya agar bangsa saya faham apa yang saya nukilkan itu.

Mungkin saya juga akan turut terhanyut dengan arus globalisasi ini. Mengagungkan bahasa penjajah setinggi langit. Namun, pasti ada yang mengingatkan saya kembali.

Gagal kali ini tidak bermakna saya kecundang selama-lamanya. Saya yakin, pasti ada hikmah di sebalik ini.

3 mengomel

Betul tu gagal sekali tak bermakna seterusnya gagal..

Ya, betul tu. Kita kena BERANI GAGAL (berani tanggung risiko), jika tidak kita tidak akan tahu apa akan jadi dengan masa depan kita. Setiap kejayaan pasti akan ada pengorbanan dan keperitan. Semua orang yang berjaya tu mempunyai penggembaraan hidup yang sangat panjang dan tidak terduga dek akal kita. :)

@Puan suka
Terima kasih

@Kak Dell
Pengalaman mengajar kita. Pasti ada hikmahnya bukan?

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon