Selasa, 22 Januari 2013

Rahsia buat si dia


Setiap orang ada menyimpan rahsia. Ia tidak kiralah rahsia itu kecil mahpun besar. Kita tidak akan lari daripada memegang rahsia. Ia tanggungjawab yang memang kita pegang apabila manusia.

Saya juga mempunyai rahsia. Sudah lama saya simpan dan begitu berat untuk saya simpan lagi. Pernah saya terfikir untuk membunuh diri agar rahsia itu lenyap bersama saya. Saya takut jika saya ini terlepas mulut membocorkan rahsia itu.

Rahsia itu juga membuatkan saya selalu bersendirian. Saya tidak ingin bergaul dengan orang lain kerana takut jika saya banyak cakap, rahsia itu akan diketahui orang lain.

Berlalulah masa selama saya berada di peringkat menara gading. Meneruskan pengajian saya sebagai seorang mahasiswa jurusan bahasa.

Ayah ingin saya menjadi cikgu. Emak hanya mengiyakan saya. Hati ini pula ingin lebih daripada itu. Saya mahu belajar lebih tinggi. Jika saya jadi cikgu, mana mungkin saya belajar lebih tinggi. Hanya dengan ijazah ini sahaja sudah cukup untuk saya bergelar cikgu sekolah menengah.

Dalam masa belajar, saya bukanlah seorang yang bijak juga. Selalu sahaja mendapat markah biasa-biasa. Ada lagi yang lebih bijak daripada saya. Yang pasti kaum Tiong Hua selalu sahaja mendapat markah tinggi walaupun jumlah mereka sedikit sahaja.

Saya berkawan dengan salah seorang daripada mereka. Namanya Ai Ping. Comel orangnya. Rajin belajar. Setiap hari saya lalu di perpustakaan pasti kelihatan kelibat skuternya di parkir hadapan perpustakaan.

"Saya mahu dapat keputusan cemerlang. Lagipun saya bukanlah pelajar ibunda bahasa ini," jelasnya kala saya bersembang dengannya di laluan susur gajah bersebelahan perpustakaan.

Ketika itu saya hendak singgah sebentar ke perpustakaan untuk memulangkan buku yang dipinjam. Saya lihat Ai Ping baru sahaja meletakkan skuternya. Apa salah bertegur rakan sejurusan.

Di pintu masuk perpustakaan, Ai Ping mengucapkan selamat tinggal. "Saya mahu pergi ke tingkat atas. Ia sunyi. Senang saya belajar di situ."

Saya hanya tersenyum dan menyambut lambaian tangannya itu. Walaupun terasa sekejap sahaja bersembang dengan Ai Ping, namun hati ini entah kenapa terasa gembira.

Inilah kali pertama kami bertegur sapa setelah 4 tahun. Selama ini saya hanya memerhatikannya dari belakang kelas sahaja. Pelajar lelaki manalah mahu duduk di kerusi hadapan ketika kelas berlangsung.

"Tidak macho la lelaki duduk hadapan," kata Amri, rakan sejurusan dengan saya.

Kalau ikutkan hati, saya ingin sahaja duduk di hadapan bersebelahan dengan Ai Ping. Tapi kerana tidak mahu dikatakan apa oleh rakan-rakan saya yang lain, saya hanya turut serta mereka duduk di belakang.

Ai Ping berasal dari Ipoh, Perak dan saya pula berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Saya dapat tahupun ketika kami berada di awal kelas Dr. Norsida, kelas tulisan jawi. Bagi pelajar bahasa Melayu, wajib ambil subjek ini.

Dr. Norsida meminta kami memperkenalkan diri agar dapat beliau berkenalan dengan kami. Di sinilah saya mengambil kesempatan mendengar maklumat apa yang Ai Ping berikan.

Mungkin ada berfikir inilah rahsia yang saya katakan itu. Bukan. Betul ia bukannya itu. Rahsia jodoh ini di tangan Tuhan. Buat apa saya sibuk-sibuk berfikir tentangnya? Mungkin minat saya hanyalah setakat berkenalan dengan orang bukan daripada kaum saya sendiri.

Sejak dari tadika sehinggalah tingkatan enam, saya tidak pernah bergaul dengan golongan selain dari penduduk bumiputra. Kampung saya pun tidak ramai pelajar yang sambung sehingga ke menara gading seperti saya ini.

Saya rasa mungkin sebab itu saya berminat dengan Ai Ping. Mungkin untuk cuba bergaul dengan orang kaum lain. Entahlah. Saya masih kabur. Apa yang saya tahu, saya terasa senang bersembang dengan dia buat kali pertama ini di hadapan perpustakaan.

Saya ada bercerita tentang saya ingin membunuh diri kerana menyimpan rahsia ini. Ia berlaku di hujung semester apabila semua pelajar kalut dengan tugasan serta projek yang hendak dihantar.

Ketika itu saya begitu tertekan. Hampir hampir sahaja saya melakukan perkara yang boleh membuatkan saya terjun terus ke neraka.

Mungkin Tuhan lebih mengerti apa yang saya fikirkan ketika itu. Saya ingat lagi wajah yang datang kepada saya semasa saya berada di jambatan atas tasik itu.

Saya termenung jauh berfikir tempat manakah paling sesuai untuk saya bunuh diri. Saya sudah tidak tahan menanggung beban yang ada. Rahsia yang saya pegang memakan diri saya.

Hampir semua pelajar menjauhkan diri daripada saya apabila hujung tahun pengajian kami ini. Bukanlah saya tidak perasan mereka semacam tidak suka perangai saya hanya berdiam diri sahaja kala mereka berseloroh di dalam kelas.

Mungkin mereka cuba menyedarkan saya dengan mengendahkan permintaan saya untuk meminjam tugasan yang mereka siap dan sedikit tip tentang projek tahun akhir yang bakal dihantar nanti.

Ketika saya melihat air tasik itu beralun pergi mengikut angin yang bertiup, saya perasan ada satu wajah yang hadir di bayangan atas air tasik.

"Hai Aizam!" tegur suara lembut itu.

Saya menoleh terkejut. Ini adalah kali kedua dia menegur saya. Entah kenapa satu perasaan lega mengalir lembut di hati saya. Buat seketika saya rasa tenang.

"Hai Ai Ping," jawab saya dan kembali menoleh memandang air tasik beralun pergi ditiup angin.

Ai Ping turut serta memandang meniru gaya saya duduk di atas jambatan itu.

"Awak tahu Aizam, nenek saya pesan jika kita punyai masalah, elok jika kita meluahkannya," kata Ai Ping, masih memandang ke arah tasik.

Saya terkesima. Adakah dia tahu apa yang saya fikirkan ini? Saya buat seperti tidak dengar dan terus memandang ke arah pohon akasia di hujung tasik.

"Lagipun, hujan ribut hanya sementara. Bukankah selepas hujan akan muncul pelangi membawa tujuh warna untuk kita lihat?" tambah Ai Ping lagi.

Saya senyum mendengarnya. Lama kami bersama memandang tasik. Ada juga pelajar yang lalu di jambatan itu memakai pakaian sukan. Sedang berjoging agaknya, fikir saya.

Ai Ping yang berjarak 2 meter dari saya, mula bangun. Dia mengibas skirtnya seakan ia kotor.

"Baiklah. Haripun sudah mula gelap. Burung pun sudah mula pulang ke sarang mereka," kata Ai Ping.

Saya menoleh memandang dia. Dia melirik senyuman manis kepada saya.

Cepat-cepat saya pandang semula ke hujung tasik.

Ai Ping menoleh ke arah kiri jambatan. Dia memulakan langkah kaki kanannya. "Aizam," kata perlahan, "usah risau tentang penyakit awak itu. Saya yakin ia akan dapat diubati nanti."

Hati saya seakan terhenti seketika. Mata saya terbuka luas. Di mana dia tahu akan rahsia saya itu?

Terus Ai Ping berjalan pantas meninggalkan saya.

7 mengomel

suspens suspens. sakit apa? haha.

hehehe, sy teringin nk teka, sakit mental...hahaha

Salam. Saya faham perasaan anda. Saya jenis yang percaya pada kata-kata, "Jika kita tutup rahsia muslim yang lain, Allah akan tutup rahsia kita di akhirat kelak." Sampai sekarang dan sampai bila-bila pun saya akan percaya pada kata-kata itu.

Mungkin sebab itu juga, atau sememangnya saya jenis yang tidak bercampur sangat dengan orang lain, saya tidak banyak berbicara, malahan dalam keluarga pun saya seorang yang pendiam, sebab saya takut kalau-kalau terlepas kata-kata atau rahsia orang lain dalam sibuk-sibuk kita berbicara, kerana setiap perkataan yang kita ucap tentang orang lain, setiap itu jugalah kita mengumpul saham akhirat.

Minta maaf juga jika saya kata saya tidak gemar jiran-jiran datang bertandang ke rumah, kerana saya tahu mereka hendak menganyam ketupat dengan emak saya, walaupun bukan pada musim perayaan.

Walaupun kerap kita dengar si A bercerita pada si B tentang si C, dengan pesanan jangan cerita pada orang lain, tetapi saya yakin si B tetap akan sampaikan pada D, E dan akan sampai pada Z. Jika cerita asal itu satu perenggan sahaja, si huruf-huruf yang jadi tukang sampai akan menokok tambah sehingga menjadi 3 helai. Perkara biasa dalam masyarakat kita, kan?

Rahsia. Ia satu yang menjadi ketetapan untuk dibocorkan. Sakit mental mungkin, kanser mungkin, sakit hati mungkin? Ia kekal rahsia sehingga pencerita membocorkan rahsia itu. =D

Terima kasih kerana membaca! Walaupun ia nampak seakan benar, namun ianya hanyalah cerpen saya.

Haha. Saya dapat agak itu bukan kisah sebenar.

Tentang komen anda di blog lama saya, sememangnya itu lah tujuan nya, untuk mengelirukan pembaca sekali gus menggagalkan usaha mencari capaian lain.

Oh begitu. Salam perkenalan. =D

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon