Khamis, 17 Januari 2013

Jejak kaki ke PSAS


Seperti biasa, aku menjejakkan kaki ke dalam blok B perpustakaan. Kelihatan beberapa orang membaca surat khabar yang disediakan.

Aku menunjukkan beg oren aku kepada kakak di kaunter. Dia angguk tanda membenarkan apa yang aku bawa itu.

Aku melihat kelibat seseorang yang aku kenal. Rasanya junior aku ketika aku tinggal di kolej dahulu. Senyuman manis terlihat di mukanya. Aku membalas dengan senyuman juga.

Tapak kaki terus menuju ke tingkat bawah. Mahukan tempat peribadi. Setahu aku, tingkat bawah blok B jarang dikunjungi orang. Amat sesuai untuk aku menenangkan fikiran sambil membuat kerja.

Oh kerja? Ya kerja. Aku sudah bergelar mahasiswa pasca-siswazah. Antara kerja yang aku perlu lakukan ialah membuat kajian keperpustakaan atau aku rasa mereka gelar ia kini literature review?

Aku letakkan netbook 1Malaysia di atas meja belajar yang disediakan. Masa ia on hanya 30 saat. Cepat berbanding Windows 7.

Sebaik sahaja paparan Chromium keluar, terus aku cek emel dan akaun wajah buku. Hampir 1 jam aku leka melayan wajah buku.

Arghhh! Geram. Sungguh geram. Aku menghabiskan masa aku hanya menggelek paparan wajah buku.

Aku tutup netbook dan termenung. Aku kembali cuba mengingati apa yang ingin aku buat hari ini. Pagi tadi sebaik sahaja habis membaca al-Quran, telah beberapa coretan senarai perlu aku buat aku tuliskan.

Sekarang kenapa aku tidak jalankan?

Beberapa minit kemudian baru aku perasan bibir aku kering. Badan dan tangan aku mula menggigil. Ya Allah sejuk rupanya tempat ini.

Kerana tidak tahan dengan kesejukan itu, aku memutuskan untuk berpindah tempat lain. Tidak ada gunanya tempat sunyi jika aku tidak selesa untuk buat kerja aku.

Aku berpindah ke blok A pula. Cuba mencari tempat sunyi. Walaupun perpustakaan telah tertera perkataan jangan buat bising, masih ada bunyi bisikan halus kala aku melepak di tempat berkumpulnya orang di perpustakaan. Itulah rakyat Malaysia. Diletakkan pelbagai tanda pun masih tidak mengerti.

Lihatlah lampu isyarat. Walaupun telah jelas warna merah menyala, ada juga yang cuba mengambil kesempatan melanggarnya.

Aku masuk ke bahagian rujukan pula. Eh? Aku lihat ada banyak meja belajar bersertakan tempat untuk cucuk plug. Wahh! Rupanya inilah ruang untuk pengguna laptop. Oh jahilnya aku selama ini tidak mengetahui tentang kemudahan ini.

Terus aku cari tempat yang paling kurang orang berkumpul dan duduk di meja tersebut.

Nampaknya hampir semua orang di sini kusyuk melayan peranti di hadapan mereka. Aku pun bakal bersama mereka juga.

Jam menunjukkan 6.30 pm. Masanya untuk aku pulang.

Aku merenung ke atas langit sebaik sahaja keluar dari bangunan perpustakaan. Tertanya kepada diri aku, adakah aku produktif hari ini?

Hanya satu sahaja daripad senarai aku yang tercapai aku laksanakan.

Ya Allah, engkau kuatkan lah hati aku ini untuk meneruskan aktiviti yang produktif buat diri aku. Doa aku dalam hati.

Aku turun dan berlalu pergi dengan motorsikal.

4 mengomel

hehe...saya sendiri pun selalu tidak produktif dalam menjalani hari-hari sebagai seorang pelajar....tapi tak mengapa, asalkan esoknya kita gandakan usaha kita untuk menggantikan hari-hari yang kita leka, insyaallah boleh :)

tiba2 rndu psas.. sokmo dok blok A.. sbb sunyi dan senang nk cari buku..

akan ad hari dimana kita rasa tidak produktif.. saya pn mcm 2 jugak.. bila malam, mula la terfikir "ape yang aku buat td?" esk bangun pasang niat biar hari ni lebih baik dari semalam.. insyaAllah..

saya hanya ke perpustakaan untuk mencari bahan sahaja. Kalau dapat pinjam buku atau photostat bahan, lagi cepat saya balik. Tak suka belajar di situ, tak selesa tambahan tak tahan sejuk. Huhu...

Sebenarnya saya tak mengharapkan komen sebab entri ini bersifat peribadi dan termasuk dalam kategori Cerpen. Ia tidaklah benar sebagaimana ia sepatutnya.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon