بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Selesai sahaja membaca surat khabar, aku melihat sekeliling ini. Nampaknya perpustakaan tidak dikunjungi ramai di blok B ini.
Hmm. Hanya News Straits Times sahaja aku baca hari ini. Hati ini tidak tergerak untuk menyentuh yang lain. Biarlah. Aku lihat tiada apapun berita menarik hari ini. Hanya membicarakan tentang bagaimana pendidikan negara.
Ramai 'cendiakawan' berkata tentang kepentingan Inggeris. Ah. Mereka apa tahu. Yang mereka tahu ingin menyekolahkan anak mereka di sekolah bahasa Inggeris. Bagi mereka bahasa Melayu ini leceh. Tak penting pun untuk kemajuan negara. Hanya untuk berkomunikasi dengan golongan bawahan.
Siapa tahu? Mungkin anak merekalah itu nanti yang akan menetap terus di UK, London, Australia dan Amerika. Mengatakan Malaysia ini terkongkong dengan dogma yang tidak sesuai dengan pemikiran mereka.
Akal-budi dan kosmologi mereka tersekat dengan mengatakan bahasa Inggeris ini lah yang patut kita julang. Walhal mereka akan menjadi seperti India.
Ya India. Negara bekas jajahan British. Negara kalau kita lihat pernah mencapai nilai ketamadunan dunia yang hebat. Kini, hanya melukut di tepian gantang teknologi dunia. Mereka tak dapat menyelesaikan perkara mudah untuk bangsa mereka.
Jepun pula lain. Mereka mampu mencipta teknologi yang bersesuaian dengan budaya dan pemikiran mereka. Kereta kecil, motor kecil, gajet kecil dan pelbagai. Dan yang membanggakan, mereka dapat cipta periuk nasi automatik.
Lihatlah. Mana ada periuk nasi automatik buatan negara orang Puteh. Yang aku lihat hanyalah buatan Jepun dan seangkatannya.
Kenapa ini terjadi? Kerana golongan cendiakawan India terlalu membanggakan bahasa Inggeris sebagai bahasa intelektual. Bahasa sains. Mereka lupa akan bangsa mereka. Maka terbahagilah antara golongan yang mengamalkan pemikiran sains menjadi golongan elit, manakala golongan yang mengamalkan dogma tahyul, golongan bawahan.
Golongan menengah ingin pula mengejar golongan elit agar tidak dipandang remeh oleh masyarakat.
Bagi aku, mereka tidak lihat suasana kampung. Mereka tidak memahami bagaimana orang kampung berfikir. Mereka cuba jauhkan orang kampung dengan sains dan teknologi.
Ya mereka tinggal di bandar. Mereka dapat tonton kisah Inggeris. Mereka dapat baca buku Inggeris. Tapi bagaimanakah orang lain pula?
Itu satu hal lagi.
Ah. Mereka fikir mereka sudah cukup pandai hanya dengan menguasai bahasa Inggeris. Tidak mereka fikir mereka juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia? Apakah sumbangan mereka kepada rakyat Malaysia? Itulah bagi aku dikira sebagai kejayaan.
Jika hanya tahu mengangkat punggung meninggalkan Malaysia hanya kerana Malaysia tidak mengamalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca dunia, apakah ia satu pembelotan?
Bagi aku, pembangunan lestari di bumi tanah airku ini tidak akan terjadi jika ilmu sains dan teknologi hanya dikuasai oleh segolongan sahaja. Ia mestilah menyeluruh. Lihat lah Pakistan. Rakyat mereka masih percaya lagi bahawa vaksin Polio ini adalah serangan suntikan Yahudi! Rakyat mereka tidak memahami bahawa polio boleh membawa maut. Ilmu sains tidak sampai ke pemikiran semua rakyat. Itulah antara bencana bahasa Inggeris yang melopori ilmu sains dan teknologi mereka.
Kerana, bahasa jiwa bangsa. Hilangnya bahasa, hilanglah jiwa bangsa itu. Dimomok dan dicucuk lubang hidungnya mengikut telunjuk bahasa yang meceroboh bumi emas ini.
Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon