Selasa, 15 Januari 2013

Perpustakaan Awam Dunia bahasa Melayu


horticulturist is different from botanist. We don't remember plant parts but we live with the plant from day one (seeds until it dead still).
                - Anonim.

Pada suatu hari aku terdengar bahawa terdapat satu perpustakan awam yang aku boleh cari hampir segala maklumat di dunia ini dalam bahasa yang aku faham. Tak perlu lagi mencari dan menterjemah sesuatu maklumat dengan susah di perpustakaan biasa. Ia tersedia ada. Semuanya berdasarkan apa yang pengunjung mahukan.



Dimanakah perpustakaan awam penuh dengan maklumat tersedia dalam bahasa ibunda aku.

Aku pun carilah perpustakaan tersebut berdasarkan alamat yang aku dapat. Mudah jer rupanya. Ada berdekatan dengan kawasan tempat aku tinggal.

Tertera di pintu masuk
Perpustakaan Awam Dunia
Sila daftarkan diri anda di kaunter pendaftaran atau terus masuk dengan menggunakan alamat rumah anda.
Aku pilih daftar dengan nama. Mengarut jer nak letak alamat rumah aku. Tak besar perpustakaan ni. Aku lihat dalam 150,000 buah buku sahaja ada. Mungkin ada buku yang aku cari-cari selama ni. Aku pergi ke tingkat ‘Katalog pencarian buku’. Aku cari buku ‘hortikultur’. Wah! Ada rupanya. Bagus bagus. Ni tak sabar aku nak baca.

Aku lihat buku bertajuk
== Hortikultur ==
Aku buka dan lihat kosong dalamnya. WTH!?

blank book
Apa punya perpustakaan bagi buku kosong kat aku nih!
[kredit gambar]

Yang terdapat hanyalah satu buku kosong. Tertulis dalamnya
“Maaf. Buku yang anda cari masih kosong lagi. Apa kata anda menulis mengenainya?”
Tak da kerja eh aku menulis. Aku datang nak mencari maklumat bukannya aku nak menulis. Dah tu tak dibayar apa-apa pun. Kemudian, aku termenung kejap.

Apa salahnya aku menulis. Alang-alang dah datang di perpustakaan ni. Tak rugi apa-apapun aku kalau menulis. Dengan itu aku pun mengeluarkan pen di sisi aku dan mula menulis.
“Hortikultur ialah sains atau seni penanaman sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman hiasan dan landskap. … …”
Bolehla. Tulis mana yang aku faham dan telah belajar. Tapi aku sempat tulis untuk pengenalan jer. Bagaimana ni? Takkan buku ni setebal satu muka surat jer? Kemudian aku belek belakang buku tu
“Penulisan anda sangat lah dihargai. Biar tulis ringkas asalkan padat.  Mungkin orang lain boleh menambahnya kemudian nanti. Selamat menulis.”
Kemudian aku pun keluar dari perpustakaan tu. Apa punya perpustakaan lah. Aku pula jadi penulis. Sepatutnya merekalah yang sediakan buku-buku mana yang patut.

-------------

Seminggu kemudian aku datang kembali. Nak belek balik buku yang telah aku tulis. Bangga pulak aku. Heh.
Sedang aku ambil buku tersebut, aku terkejut. Kenapa boleh tebal pulak. Hari tu aku tinggal nipis sekeping jer pun. Aku selak buku tersebut. Wahhh! Tetiba banyak pula maklumat dalam ni. Aku belek sampai muka surat terakhir. Tajuk ni tertera
 == Sejarah penulis ==
-- Aurora (xx/xx/xx)
-- Fanatix (xx/xx/xx)
-- Yosri (xx/xx/xx)
-- Izhamwong (xx/xx/xx)
Ramai pulak penyumbang dalam buku ni. Aku pergi ke kaunter ingin bertanyakan soalan pasal ni. Eh? Tiada kerani yang jaga kaunter pulak? Aku pusing sekeliling kaunter. Tiada sesiapa pun di situ. Yang ada hanyalah satu buku nipis.
== Kaunter Pertanyaan ==
“Jika ada apa-apa persoalan mengenai penulisan atau penyuntingan anda, sila tinggalkan pesanan di ruangan ‘Perbincangan’ pada buku tersebut.”
“Rujuk ruang Soal Jawab untuk kepastian mengenai soalan anda.”

Begini rupanya cara perpustakaan ni bertindak. Semua jenis tulis dan tinggal kemudian lihat siapa tulis.
Tak apa lah. Aku belek buku lain pulak.
== Tumbuhan ==
Menarik buku ni. Aku pun ada belajar sikit pasal tumbuhan. Aku baca dan lihat, banyaknya salah! Istilah yang digunakan pun tak tepat. Aish. Apa punya perpustakaan la. Buku begini mereka letak. Tak patut tak patut. Kemudian aku terbaca pula satu pelekat pada atas buku tu
“Buku ini tidak menepati kriteria perpustakaan awam. Jika anda dapati ada salah, anda boleh tolong sunting dan betulkannya. Sila letak sumber rujukan bagi memastikan isi buku ini boleh dipercayai dan berkualiti.”
Baiklah. Nampaknya aku kena ubah sikit ni. Aku tulis mana yang patut dan meletakkan sumber rujukan aku. Dah. Nanti aku tambah lagi. Banyak buku tumbuhan aku telah baca boleh aku olah dan letakkan maklumat dalam buku perpustakaan awam ni. Mana tau orang lain boleh pulak baca.

--------

Oh oh. Penatnya. Lama juga masa aku terbuang menulis buku dalam perpustakaan ni. Masa untuk aku pulang. Tatkala aku menuju pintu keluar aku ternampak satu bilik berlabel
‘Bilik Kawalan’
Sebab rasa ingin tahu aku pun masuk dan lihat apa yang ada dalam tu.
“Tiada apa pun dalam ni,” kata aku dalam hati. Hanya terdapat satu skrin tertera
 “Perubahan terkini”
Aku pun lihat la.
Tumbuhan – Izhamwong (xx/xx/xx)
Buku – Yosri
Detektif Conan – Muhaiminkudo (xx/xx/xx)


Eh? Siapa pulak perhati kan aku ni. Cis. Rupanya segala buku yang aku tulis tertera dalam log skrin bilik kawalan ni.
Aku tengok lagi dalam senarai tu,

Ayam pegar – Fanatix (xx/xx/xx)
Bandar Baru Bangi – Aurora (xx/xx/xx)


Aku sukakan si dia – 192.210.109.21 (mencipta halaman buku “kenapa la dia x mnt ngn aku. pdhal aku suka sgt kat dia. …”

Aik? Boleh pulak buku gitu ada dalam perpustakaan ni. Biar betul? Aku lihat ada tertera manual di tepi skrin tu.
“Jika anda dapati ada berlakunya vandalisme, sila tandakan pada buku itu {{hapus|vandalisme}} untuk disemak oleh para penyelia pustaka kami. Terima kasih”
Ok. Aku pergi ke buku tu dan letak {{hapus|vandalisme}}

Aku pun pulang ke rumah buat hal lain.

--------

Esoknya aku datang dan terus ke bilik kawalan nak lihat apa tindakan penyelia terhadap buku mengarut tu…
“Setiap penulis ada disediakan bilik pemantauan mereka sendiri. Rujuk bilik pemantauan anda untuk buku yang anda tulis dan pantau.”
Menarik. Aku pergi ke tingkat pemantauan. Ada tulis khas satu bilik tertera nama aku ‘Izhamwong’. Aku masuk. Lihat skrin senarai pemantauan.
log penghapusan ‘Aku sukakan si dia ‘– Penyelia (xx/xx/xx)
Bagus. Hapuspun buku mengarut tu. Rupanya aku juga boleh tolong hapuskan vandalisme dalam perpustakaan ni. Menarik. Penyelia pun nampaknya aktif. Aku rujuk ada 16 orang penyelia dalam perpustakaan ni.

Dengan itu bermulah hobi baru aku iaitu menjadi salah seorang penulis bebas dalam  perpustakaan tersebut…

_______________

Bagaimana? Dapat agak tak perpustakaan awam mana saya maksudkan itu? Lain dan tak bukan adalah Wikipedia BM!

Satu tempat yang digelar perpustakaan awam dunia! Tersedia dalam pelbagai bahasa iaitu hampir 70 bahasa pertuturan dunia dan termasuklah bahasa ibunda aku, Bahasa Melayu!

WBM sudah lama bertapak dalam dunia internet sejak awal tahun 2003 lagi. Ia mula berkembang dari tahun ke tahun dengan pelbagai sumbangan daripada pengguna penutur mahupun bukan penutur. Walaupun ada kesalahan dalam artikel WBM, ia masih boleh dibetulkan oleh pengguna lain termasuk lah saya. Yeay! Dengan syarat saya mestilah nyatakan sumber mana saya dapat jika saya masukkan maklumat baru.

Mungkin nampak pelikkan? Semua orang boleh cipta maklumat baru dalam wikipedia. Ada standard ke?

Memang ada. Setakat ini WBM mempunyai 16 orang penyelia yang menyelia segala gerak masuk artikel dalam WBM sama ada yang baru atau pun yang disunting oleh pengguna. Lagipun semua penulis WBM digalakkan merujuk ejaan terbaru BM di Pusat Rujukan Persuratan Melayu untuk terjemahan istilah Inggeris-Melayu-Inggeris.

Walaupun begitu ada juga artikel yang terlepas pandang. Yelah. Bayangkan lebih 100 artikel suntingan dan baru terhasil setiap hari. Mana larat penyelia nak semak kesalahan kecil dalam WBM seperti kesalahan tatabahasa ataupun ejaan.

Ia terpulang kepada pembaca untuk tolong mengubah artikel tersebut menjadi lebih baik. Hak suntingan diberikan sepenuhnya kepada pembaca WBM. Kebebasan untuk menyunting asalkan kita sunting itu perkara betul dan bermaklumat. Kalau salah, ada orang terbaca, dia boleh tolong betulkan pulak. Tak ya gitu?

Rujukan juga menjadi pengukur untuk kualiti artikel tersebut. Jika rujukan tersebut sahih dan banyak, semakin boleh dipercayai artikel tersebut. Jadi kalau kita nak rujuk WBM untuk maklumat tambahan, rujuk rujukannya. Jangan cedok 100% apa ada dalam WBM sebab aku sendiri pun tak percaya apa si penulis WBM tulis ni. Untuk pengetahuan tambahan boleh tapi untuk pengetahuan betul dan lebih, perlu lihat rujukan dan baca buku yang dicadangkan.

Ada juga artikel yang bias. Al-maklum lah penulis untuk artikel tu pun nak syok sendiri. Penyelia pula kadang-kala terlepas pandang. Jadi kalau kita terbaca tu, tolong-tolong lah betulkan yea. Atau letakkan tag artikel bias.

Sebenarnya jauh lagi perjalanan WBM ini. Kadar suntingan lebih kepada rencana-rencana bukan ilmu iaitu lebih kepada hiburan. Sumber rujukan pula lebih kepada bahasa Inggeris kerana kebanyakaan artikel diterjemah semula dari Wikipedia Inggeris.

Bagi saya yang suka membaca bacaan BM dan BI, saya lebih suka guna rujukan BM kerana ia lebih dekat dengan diri saya. Lagipun ia juga lebih kepada budaya Melayu berbanding BI yang bersifat Barat.

Saya percaya, setiap perjalanan yang jauh, bermula dengan satu langkah. Mungkin ada yang memperlekehkan usaha pengguna WBM, namun ketahuilah, jika anda betul-betul memahami Wikipedia, pasti anda akan kagum seperti saya.

Semua orang boleh menyumbang hatta makcik tukang cuci sampah pun. Kerana apa? Kerana dia sayangkan BM agar terus berkembang sebagai bahasa ilmu. Jangan segan, jangan silu. Kami (ahli WBM) sedia membantu apabila ada yang bersedia.

7 mengomel

salah sorang admin ka ne? mantap gaya ko bagi penerangan bro...like!

tak lah. Saya hanya penulis bebas seperti beratus-ratus penulis bebas yang lain di WBM.

Matlamat kami sama sahaja.

1. Memperkayakan BM dalam dunia Internet.
2. Menambah lagi ilmu Bi-BM-BI saya sendiri.
3. Menyumbang pahala sementara hidup masih ada di dunia ini.

Perghh!

Serius entry ni menarik dan ketika mula membaca di awal perenggan, saya tertanya-tanya perpustakaan jenis apakah yang dimaksudkan oleh penulis ini?


Ternyata perasaan ingin tahu yang terpendam di dalam hati akhirnya terungkai bila mengetahui penulis blog ni merupakan salah seorang penulis artikel dalam Wikipedia.

Yang lebih mengagumkan, penulis berusaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam arena penulisan ilmu yang bermanfaat, yang semestinya memberi 1001 manfaat kepada manusia sejagat yang membacanya.

Semoga usaha anda diberkati Allah :)


**cewwah, ter-baku pulak :)

haha. Kalau kau komen mesti ayat membina dan ikhlas. Aku sukakannya. Aku hanya sumbang mana patut jer. Maklumlah nak terbitkan buku, aku tak berdaya lagi. Menjadi penulis bebas pun jadi lah. Kalau Fik ada masa lapang, cuba la tulis pasal Beijing ke apa ke kat WBM. Boleh la juga menyumbang kan? Tak ya pun tulis pasal 大学 Fik belajar sekarang. OK apa?

Lagipun, WBM ni untuk semua menyumbang dan bukannya aku jer.

bagus bro! teruskan usaha menyumbang anda selagi boleh, pasti sumbangan anda bermakna dan ada yg akan membantu ;)

Aurora dan Yosri dua nama besar dalam Wikipedia BM. Selalunya saya sering tenampak nama dua orang ini dalam mana-mana artikel bahasa ibunda.

Timbul rasa nak tahu identitinya di dunia sebenar. :)

Aku pun nak tahu juga. Mereka berdua penyelia teratas WBM. Dan yang masih kekal sejak tahun 2004.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon