Selasa, 30 April 2013

Wanita Pakistan

Saya melihat suasana sekeliling. Sunyi. Hanya bunyi penghawa dingin sahaja kedengaran. Sejuk. Suasana di sini sunyi dan sejuk. 10 meja kaku dan hanya 8 berisi. Setiap warga meja di bilik ini sibuk melayan hal masing-masing.

Saya lihat wanita di meja kiri sebelah pintu masuk bilik lena tidur dengan sari melilit di tengkuknya. Sejak pagi tadi saya lihat dia begitu. Bangun sahaja menghadap laptopnya dengan laman web berlatarkan putih dan biru.

Sekitar jam 11 pagi akan kedengaran seakan lagu-lagu hindustan yang biasa saya dengar di radio THR. Cuma tiada iringan  lagu. Hanya suara sahaja. "Acha.. acha..", "Zindagi?", "Kahona..".. Oh. Dia sedang membuat panggilan video skype bersama seorang lelaki. Tidak saya ketahui itu saudara atau kawannya.

Saya memandang semula laptop saya pula. Saya menarik nafas sedalam-dalamnya. Situasi wanita Pakistan itu seperti menyedarkan saya yang masih mengelamun. Penyelia saya sudah bertanya apakah tajuk yang saya ingin buat.

Ya saya sudah membuat keputusan tetapi tindakannya belum.

"Tu lah orang Melayu. Susah nak baca. Padahal ayat pertama Allah turunkan 'Iqra'. Bacalah." Itulah setiap kali saya dengar apabila terserempak dengan penyelia saya.

Saya tutup segala macam hubungan saya dengan rakan-rakan di dunia maya. Saya tidak mahu melihat wajah buku mereka. Biarlah saya beruzlah (menyendiri) buat sementara waktu ini sehinggalah saya tenang.

Saya menghebus nafas perlahan-lahan.

Di meja ini tersedia dua buah buku, 'Understanding Soils in Urban Environments' dan 'Urban Soils in Landscape Design'. Aku mula membukanya. Tiba-tiba di minda ini kedengaran lantuan ayat-ayat suci al-Quran 'Iqra bismirob bikal lazi kholak ..." yang baru aku baca usai solat Subuh tadi.

Aku mengerti.

Terima kasih wanita Pakistan.  Hanya apabila wajah ini dihadapkan kepada penciptanya, mungkin ketika itu baru aku sedar nanti bahayanya muka buku jika aku terus alpa. Namun, perilakumu membuatkanku sedar bahawa kerajinan membuka wajah buku menjadi pembunuh senyap masa laluku.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon