Ahad, 28 April 2013

Pencuri Novel Kampung

Awang keluh kesah di hadapan laptopnya. Tiada daya dia ingin mencuri, namun hati dia tetap meronta agar dia terus mencuri. Sungguh dia tidak mahu melakukan perbuatan ini kerana dia tahu tiada keberkatan dalam perbuatan dia ini.

Satu jam sahaja, bukan apa, bisik hatinya. Ah. Bisikan syaitan selalu sahaja menggodanya untuk terus melakukan perbuatan dosa ini. Sudah dua bulan pencuriannya berlangsung. Ini semua bermula apabila dia dipindahkan kerja ke bidang yang tidak dia minati.

Memantau pasaran bursa saham di Internet. Ini bukanlah kerja yang dia mahukan. Seperti dia ditidakkan untuk bekerja sepenuh hati.

Dia lebih suka pekerjaan berjumpa dengan manusia berbanding terperuk seorang diri di pejabat. Ramai sahaja rakannya keluar berjalan mencari rezeki dengan berjumpa orang ramai. Tidak pula dia.

Awang tahu mencuri itu satu perbuatan yang berdosa. Apatah lagi ia melibatkan waktu kerjanya ini.

Mencuri masa. Itulah dia lakukan sekarang. Ketuk ketak bunyi papan kekunci di laptopnya itu. Dia mencuri masa untuk menulis di blognya. Teringin sangat dia menjadi seorang penulis. Terlalu sangat sampaikan habis masa kerjanya dicuri untuk menulis.

'Cerapan Akasinia', tertera jelas di skrin laptopnya itu. Kisah cintanya dilakarkan dalam blog. Nanti apabila ada masa ingin dia pergi ke mana-mana rumah penerbitan menagih simpati agar dapat terbit novelnya itu.

Sesungguhnya kisah novelnya itu terbit kala teman wanitanya, Syarifah mula menduakannya. Dia tahu dia hanyalah kuli sahaja di syarikat MLM ini. Bukan dia tidak mahu mencari kerja lain, tetapi itulah rezeki yang dia dapat setakat ini. Dan dua bulan lepas jugalah dia melepaskan Syarifah. Sudah tidak sanggup dia meratap kesedihan. Lebih elok dilepaskan berbanding terus disimpan ibarat duri dalam daging.

Gemercing lagu 'Anak Kampung' nyanyian Jimmy Palikat berdesing di telinganya.

...

Aku anak kampung tiada pelajaran
Kuli-kuli sahaja memang tidak padan
Cantik bha kau itu banyak yang tergoda
Lagi orang kaya
...

SPMnya tidaklah ke mana. Setakat dapat sambung hingga ke STPM sudah memadai. Awang datang ke Kuala Lumpur mencuba nasib. Ini semua gara-gara terpengaruh dengan kata-kata Leman, "Baik kau datang KL. Dengan STPM sahaja kau boleh menjadi pegawai."

Haram sampai kini tiada apa kerja bergelar 'pegawai' yang Awang dapat. Dengan pangkat 2.5, tidak menjanjikan dia apa-apa di ibu kota ini.

Dia lebih selesa menulis. Bait-bait puisi kampung disimpan rapi di bawah bantal di rumah setinggan dia tinggal. Takut dia untuk menghantar ke majalah-majalah sastera. Ramai pujangga indah jika hendak dibandingkan dia yang hanya anak kampungan dari Perlis.

Indah suasana padi selalu menggamit memorinya. Leka dia memerhati naik turun statistik di laptopnya, leka juga dia menyelit lirik kata yang bakal masuk dalam novelnya nanti.

Hatinya masih berbolak-balik kerana tahu perbuatannya itu masih jahat. Mungkin tidak di sisi manusia, tetapi di sisi Tuhan, balasannya di akhirat nanti.

Astaghfirullahaladzim. Awang mengucap panjang. Terus dia menutup laptopnya menjadi seperti papan hitam bersaiz 13 inci.

Tak boleh jadi. Dia tidak mahu novelnya nanti tidak berkat cerita dan jualannya.

(bersambung)

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon