Jumaat, 12 April 2013

Menanti erti perjuangan


Terdetik suara hati seorang anak muda di hujung desa. "Apakah erti perjuangan?"

Dia lesu dengan tomahan orang tua di kampungnya dengan erti perjuangan. Asyik mereka berbicara tentang perjuangan. "Anak muda kampung ini sungguh malas! Tak nak berjuang di jalan Islam. Leka dengan wayangan bodoh Tok Sidang." Kedengaran suara di surau An-Nur.

Arif tahu penguasa di surau itu semuanya orang tua-tua belaka. Mereka kerap kali bertegas dengan mengatakan anak muda di kampung ini leka. Kurang perjuangan. Perjuangan apa?

"Kita perlu memperjuangkan Islam. Tok Sidang membawa perkara lagha dalam masyarakat kita," ujar Pak Lebai pada hari malam Sabtu di Surau An-Nur.

Arif muak. Mereka si tua selalu sahaja memperjuangkan sesuatu dengan kata-kata. Dia memerhatikan sahaja keluarga si tua-tua yang banyak bercakap itu. Tidaklah seperti apa yang mereka katakan.

Mak Bedah. Ada sahaja perkara yang ingin dibualkan. Kemudian sampai ke telingan emak Arif. Habis dibebelkan kembali kepada dia. Kalau perkara itu elok tak apalah. Ini semuanya hal buruk-buruk sahaja.

Suka sangat jaga tepi kain orang...

Perjuangan. Apakah itu perjuangan Islam? Arif lihat Tok Sidang itu tidaklah keparat seperti apa yang si tua-tua itu katakan. Elok sahaja perilakunya. Ada sahaja mukanya di surau tiap kali jemaah. Apa salahnya sampai dikata begitu?

Persembahan kulit wayang Tok Sidang bukanlah berunsur lagha. Tidak. Arif sendiri hadir tiap malam Sabtu. Ramai juga muda-mudi yang hadir.

Rumah Tok Sidang nasib baiklah ada laman yang luas. Terdapat satu pentas kayu kecil di sana. Tiap hujung bulan malam Sabtu pasti direntangkan kain putih dari hujung kanan ke kiri pentas itu.

Kerusi memang tiada. Hanya hamparan tikar buruk berwarna biru dan merah di kiri dan kanan hadapan pentas.

"Sila patuhi ya syarat untuk menonton persembahan saya. Lelaki di kiri pentas. Wanita di kanan pentas," ujar Tok Sidang tiap kali sebelum memulakan persembahannya itu.

Muda mudi patuhi sahaja. Ada yang cuba mengingkar. Yelah. Anak muda. Suka memberontak. Tapi pasti kami melihat mereka kerana pesan Tok Sidang, jika dia terlihat sahaja perilaku itu, lantas dia akan mematikan persembahan dan 3 bulan tiada keluarnya dia di belakang pentas ini.

Pernah terjadi perkara ini. Hampir 3 bulan itu kami rindukan hiburan celoteh Tok Sidang. Setelah dipujuk rayu akhirnya Tok Sidang setuju memendekkan jadi 2 bulan. Itupun setelah Arif berkata dia sendiri akan menjaga perilaku muda mudi yang hadir nanti.

Ahh. Kusut Arif fikirkan perkara ini. Perjuangan Islam atau perjuangan Melayu? Arif buntu. Dia baru sahaja menghabiskan bacaan buku sejarah tingkatan 5 yang dia dapat secara pinjaman dari sekolah.

Di dalam perlembagaan mengatakan bahawa 3 syarat utama seseorang itu digelar Melayu; Islam, bertutur bahasa Melayu, dan berbudaya Melayu.

Apakah pula budaya Melayu itu? Termenung Arif memikirkannya.

"Orang Melayu hormat orang tua. Diberi salam," kata emaknya.

"Orang Melayu tak boleh main kepala. Nanti jadi bodoh," pesan ayahnya.

"Orang Melayu berbaju Melayu apabila hari Raya," ujar atuknya.

"Orang Melayu berkongsi juadah dengan jiran tetangga," kata Mak Bedah.

"Orang Melayu menghormati tetamu apabila ada yang bertandang ke rumah," pesan Tok Sidang.

"Orang Melayu hormat orang agama, walau jarang hadir ke surau," ujar Pak Lebai.

Banyak sangat perinya orang Melayu dan Islam. Habis mana satu yang perlu dia perjuangkan? Apa beza antara dua itu? Ditanya Pak Lebai, dihamunnya kembali orang muda terlalu banyak bertanya.

Arif kelu. Dia menghormati si tua-tua itu. Merekalah yang rajin mengimarahkan surau yang kian uzur itu. Anak muda beberapa kerat sahaja yang datang.

Entahlah. Arif tak keruan membezakan mana yang Melayu mana yang Islam. Dia fikir, asalkan dia tidak melakukan benda bercanggah dengan Islam sudah baik.

Dan dia, masih lagi menanti apakah itu erti perjuangan.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon