Saya tertarik ketika membaca sebuah rencana di akhbar tempatan, News Straits Times bertajuk "Tsk, tsk, don't people ever learn?"
Ia satu kupasan menarik bagaimana hanya dengan menulis sesuatu di Internet mampu mengubah hidup seseorang itu.
Saya mempunyai pengalaman sebegini. Ia berkaitan dengan seorang sahabat yang saya sayangi.
Pada mulanya saya kurang sedar yang saya telah menyakiti hatinya. Yelah. Saya ni jenis cakap lepas je kalau bersama sahabat. Kalau kawan atau kenalan, saya jaga adab.
Kemuncaknya apabila dia meluaskan ketidakpuasan hatinya terhadap saya melalui post di facebook.
Saya tahu berita post ini pun setelah seorang sahabat yang juga bekerja setempat dengan saya menegur saya di awal pagi sebelum kami bertolak pergi kerja bersama
"Hei Wong, apa kamu sudah buat pada si Otaku?"
"Kenapa?"
"Aku tak nak cakap lebih. Kamu lihat sahaja status yang dipost semalam."
Saya pun bergegas ke komputer dekstop saya di bilik saya untuk ketahui mengapa dia kata begitu.
Pada mulanya saya tidak berapa kisah dengan status itu tapi setelah membaca komen-komen yang tertera serta maklum balas olehnya, saya sungguh terkilan. Sungguh!
Say fikir kenapa dia sanggup buat begitu kepada saya? Walhal kami tinggal di blok yang sama. Jikalau tidak puas hati, sila beritahu terus kepada saya.
Saya mengambil masa 2 hari untuk menstabilkan emosi saya semula daripada hal ini. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja daripada terus berpura-pura seronok kerja bersamanya.
Beberapa hari kemudian saya pulang ke kampung untuk berehat dari kes ini. Ya memang ada yang mengatakan ia hanya status biasa, namun bagi saya ia seperti satu tikaman dari belakang oleh dia.
Setelah berfikir panjang, saya memaafkan jua perbuatannya sebelum saya beredar pulang ke kampung. Saya pergi ke biliknya untuk memohon maaf atas status yang dia tulis itu. Saya rasa ia datang daripada saya sendiri. Jika tak, mengapa kami yang bersahabat baik selama ini boleh terjadi sebegitu rupa?
Mungkin kerana kata-kata sinis saya terhadapnya ketika kami pulang kerja bersama beberapa hari yang lalu. Entahlah. Saya hanya meneka dan hanya dia sahaja yang tahu.Tetapi mungkin bukan masanya untuk saya berhadapan memohon maaf di hadapannya. Dia tiada ketika saya datang ke biliknya. Yang hanya ada teman sebiliknya itu.
Saya tinggalkan pesanan dan satu sampul surat berisi wang yang telah saya janji untuk bayar kepadanya selepas kami tamat kerja sambilan nanti.
Kisah ini memang memberi kesan kepada saya. Ia memberitahu kepada saya bahawa perkara online ini bukan boleh dibuat main. Jika salah langkahnya, buruk padahnya juga.
Mungkin kerana saya juga telah difitnah sebelum ini akibat kes blog saya, juga membuatkan kes saya dan dia memberi kesan yang lebih buruk.
Saya belajar banyak daripada kes ini.
Kesimpulannya, berhati-hati di dunia online. Jangan anggap kita boleh terlepas. Jika di dunia terlepas, tetapi di akhirat, pasti Allah akan persoalkan.