Pengalaman mengajar saya bahawa jika kita ingin lepas geram perlulah pada tempatnya. Kita tidak boleh sesuka hati lepas geram kita walaupun pada kawan yang kita kenal. Kita tidak akan tahu bahawa ia kan menikam kita kembali. Atau kata mudahnya mengkhianati kepercayaan kita.
Saya pernah meluahkan rasa geram saya kepada sahabat baik saya ketika di matrikulasi. Akibatnya ia telah merenggangkan persahabatan kami kerana sahabat saya itu salah sangka apa yang saya katakan.
Kolej matrikulasi yang banyak mengajar saya erti kehidupan. |
Ia terjadi selepas saya bergaduh dengan seorang rakan. Dia ialah pelajar ulangan matrikulasi. Lalu rakan-rakan kelas saya menghormatinya sebagai seorang senior. Orangnya pandai tapi sedikit malas untuk datang ke kelas.
Pergaduhan kecil berlaku kerana kejahilan saya ketika itu. Tidak tahu erti menjaga adab. Terlalu ikutkan perasaan muda. Kesalahannya hanyalah kerana saya tidak membuat tugasan bersama mereka. Kami hanya berperang mulut.
Balik sahaja dari peperangan itu saya melepak di kafe keseorangan. Geram saya masih membara ketika itu.
Masa itulah datang sahabat baik saya.
"Apa mu buat dengan dia tadi? Bising sahaja selepas kelas Sains Dinamika," tegur dia.
"Aku tak puas hati lah dengan dia. Geram aku. Sudah la budak repeat. Berlagak. bla bla bla," mula bicara aku.
"Tengok lah nanti. Aku buat laporan kepada Cikgu Suhaimi bahawa dia itu suka ponteng kelas. Aku lapor juga kepada Puan Shaharom dan Puan Aminah mengenai dia. Bla bla bla..."
Setelah itu saya lega. Segala geram saya telah diluahkan kerana ada yang mendengar dengan setia.
Segala taktik saya nyatakan dalam kegeraman itu bukanlah benar. Hanya beberapa strategi ciptaan minda yang geram. Tidak lebih daripada itu.
Namun, sahabat saya ini sangka lain pula. Dia ingat saya betul betul akan melaksanakan pelan jahat saya itu.
Balik sahaja ke bilik di waktu lewat petang, saya sembang bantal pula kisah ini bersama teman sebilik saya. Dia seorang pendengar yang baik.
Beberapa hari kemudian saya mendapat SMS daripada rakan saya bergaduh sebelum ini. Saya hairan kenapa pula dia ingin SMS saya?
"Hei kau. Nak report aku yea kat cikgu tu cikgu ni. Kalau jantan marilah jumpa dengan aku. Selesai cara mudah. Bla bla bla"
Pelik. Saya hanya bercerita kisah ini kepada dua orang sahaja. Pertama, kepada sahabat saya itu dan seorang lagi sahabat baik saya juga merangkap teman sebilik.
Selepas kes ini, sahabat saya itu tidak langsung bercakap dengan saya. Saya pun tidak tahu mengapa. Biarlah. Hidup ini bukanlah terletak kepada seorang sahabat sahaja. Saya pun sudah biasa hidup bersendirian sejak sekolah menengah lagi.
Saya endahkan sahaja perilaku dia.
Beberapa hari sebelum peperiksaan akhir saya ketemu jua jawapan kepada permasalahan itu. Rupanya sahabat baik saya itu lah yang membongkarkan kegeraman saya kepada rakan pergaduhan saya itu. Ini kerana dia juga merangkap sahabat baik kepada rakan itu.
Bagaimana saya tahu? Dia sendiri mengaku kepada saya bahawa dia yang memberitahu rakan itu apa yang ingin saya lakukan. Namun setelah minggu pembelajaran habis, barulah dia sedar bahawa saya hanya melepaskan geram. Dia menyesal dengan perbuatan dia itu dan ingin memohon maaf atas perbuatannya itu.
Walaupun begitu, ia secara tidak langsung telah mengubah tali persahabatan kami. Pandangan saya terhadap dia pun berubah 180 darjah.
Sejak itu saya berhati-hati dalam meluahkan rasa hati saya ini. Takut nanti ada orang tersalah sangka dengan kata saya.