Jumaat, 12 Oktober 2012

Mesej sampah bertimbun-timbun


Saya akui dalam keseronokan kita berFacebook kadang-kala ada juga yang cuba mengambil kesempatan membuang sampah di Facebook. Sampah di sini saya maksudkan 'spam'.

Pada mulanya saya juga ada terpengaruh dengan kaedah atau teknik "cepat kaya" melalui rangkaian sosial media seperti Facebook, Twitter, Friendster dan sebagainya. Ya saya ada membeli beberapa buku bercerita hal-hal kaya seperti itu. Ia memberi saya input-input baharu mengenai dunia rangkaian sosial Internet.

Namun begitu, ia tidak seindah yang disangka. Di kala teruja membuat duit sampai terlupa adab dan etika dalam dunia Internet sehingga menghasilkan sampah. Ia juga akan memalukan saya dan orang sekeliling saya.

Mungkin ada yang kata "Ah kau. Kata sahaja pandai. Buatnya tidak pernah pun."

Untuk pengetahuan, saya sudah mencuba hampir kesemua rangkaian sosial yang dikatakan boleh membuatkan saya kaya. Sampai sekarang tak kaya pun saya.


"Itulah orang kita, tahu nak cepat kaya tapi usaha tak nak. Bayar sahajalah RM80 masuk seminar cepat kaya. Insya-Allah boleh untung beribu-ribu. LoL masuk bank nanti."

Betulkah?

"Yup. Jual barangan-barangan dan servis yang bermanfaat kepada masyarakat seperti HerbaLife, SuplemenLife, Skor A, Gelang Ajaib, dan sebagainya. Bak kata bro Aidid Muadib, apapun tak boleh kalau kita tak mencuba."

Huh!?

Saya melihat ramai juga yang teruja sehingga membuat SPAM di facebook. Saya juga admin kepada beberapa 'group' di Facebook. Lalu saya sering melihat beberapa ahli yang tidak pernah aktif tetiba sahaja post sesuatu. Kemudian apabila saya teliti, post itu berkenaan produk, page, atau website berkaitan 'cara cepat kaya'.

Saya tak kisah mengenai itu, tetapi cuba lah fikir. Kau itu sudah lah tidak pernah aktif dalam perbincangan 'group'. Kemudian tetiba sahaja nak promosi barangan yang tiada kaitan dengan tajuk group.

Tapi jangan dipukul rata orang Malaysia semua begitu. Suka sertai perkara-perkara cepat buat duit. Saya juga ikuti beberapa 'group' yang majoritinya adalah orang Puteh.

Spam juga berlaku di situ.


Pandangan sesetengah orang mengatakan kaum mereka jaguh SPAM dan juga jaguh papan kekunci yang bersifat spesifik membuatkan saya tidak setuju dengan pandangan mereka itu. Manusia melakukan kesilapan. Kenapa perlu dikhususkan apabila berbicara mengenai kesalahan orang?

Saya berpegang kepada hadis:


Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda:
Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. 
Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. 
Barangsiapa yang menutup ke'aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke'aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. 
Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. 
Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. 
Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya.
Hadis riwayat Muslim.
- HADITH 40 IMAM NAWAWI (36)-



Kerana itulah saya sembunyikan nama kedua orang gadis yang telah tertipu oleh Program Skor A.

Saya juga akan cuba PM inbox orang yang melakukan SPAM di 'group'. Menasihati dia supaya jangan buat SPAM kerana ia hanya memalukan dirinya.

Untuk berniaga ada caranya. Guna cara terbaik bukannya dengan cara 'cepat kaya'. Ya memang cepat kaya, tetapi juga cepat jatuh. Jatuh dari segi maruah dan motivasi kemudiannya.

Dan sampah, pasti ada di mana-mana. Tanggungjawab kita untuk mengambil dan membuang pada tempatnya (tong sampah). Jika kita hanya tahu merungut mengenainya sahaja, kita sama sahajalah seperti orang yang membuang sampah itu.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon