Suasana dingin melantun pada dinding rumahku. Terasa sejuk meresap sampai ke tulang walhal malam ini sama sahaja seperti malam semalam. Ia masih gelap. Ia masih dingin. Tetapi kenapa kedinginan ini lain dari yang lain?
Ah biarlah. Banyak lagi kerja yang perlu aku kendalikan. Aku tiada masa untuk bermain. Hidup ini hanya sekali. Jika aku masih bermain bagaimana kerja aku ingin aku siapkan nanti?
Kelihatan seorang tua berbadan gempal lalu di halaman rumah aku. Dia seperti sedang berjalan mencari sesuatu. "Montel, montel. Mana kamu? Mari balik. Tok Nek ada makanan nih," kata perempuan tua sambil membongkok di celahan pasu-pasu yang ada.
Aku hanya melihatnya dari jauh. Tok Nek selalu datang singgah ke rumah aku mencari Montel, kucing berbadan gemuk, berwarna kuning yang selalu merayau di rumah aku. Aku biarkan sahaja Tok Nek lalu. Dia tahu aku ada di sini cuma, Montel lebih diutamakan olehnya.
Aku memandang semula kertas-kertas yang ada di hadapan aku ini. Sudah aku susun rapi di atas meja bulat berwarna perak ini.
Projek penulisan ini masih berjalan lagi. Aku masih takut untuk menyiapkannya. Sudah beberapa kali aku menukar tema dan persoalan dalam kisah novel ini. "Penantian di hujung kata". Tajuk novel yang bagus, fikir aku. Kisahnya telah aku garapkan berdasarkan beberapa pemerhatian yang telah aku lakukan sepanjang aku bergelar pelajar.
Aku lihat rakan-rakan aku yang mudah menantikan kata-kata daripada pasangan mereka. Kata-kata manis semestinya. Namun kadang-kala penantian mereka hanyalah di hujung kata itu. Isinya mereka lupakan.
Begitulah seperti sebuah percintaan. Orang muda sekarang hanya fikirkan hujung percintaan itu hanyalah sebuah perkahwinan. Kata-kata akad nikah yang menjadi penentu akhir kata. Walhal perkahwinan itu merupakan satu keputusan yang berat buat individu bergelar manusia.
Ia melibatkan dua hati yang akan bertaut untuk tempoh yang lama. Kalau boleh sehingga ke akhir hayat.
Aku ini masih tidak boleh menasihati mereka mengenai perkahwinan. Aku juga masih lagi bujang. Apakah kredibiliti aku sebagai seorang bujang menasihati orang yang sedang asyik bercinta sampai lupa akan erti halal dan haram di sudut agama yang mereka anuti.
Dibawanya anak dara orang ke hulu ke hilir, berdua-duaan sama ada di khalayak ramai mahupun tersembunyi. Bagi mereka, "Alah kau, Is, terlalu kolot. Aku dan awek aku hanya berdua-duaan sahaja. Kami tiada buat apapun. Hanya berbincang kisah hidup. Nanti bukankah kami akan hidup bersama jua?"
Itulah jawapan tipikal rakanku apabila aku cuba menegur salah mereka itu. Ya memang berdua itu tiada apa, tetapi ketahuilah yang ketiga itu syaitan.
Ada juga yang mengaku alim namun tidak sealim yang dikata. Membonceng motorsikal berdua antara bukan muhrim kian dilihat seperti boleh. Tiada salah. Hanya sementara sahaja. Iyakah? Haram tetap haram. Dosa tetap dosa.
Aku cuba garapkan kisah-kisah tersebut dalam novel yang aku sedang nukilkan di atas meja ini. Sudah hampir 3 bulan aku menulis tetapi ia seakan terhenti tatkala aku memikirkan "Layakkah aku yang tiada awek ini menghasilkan novel sebegitu rupa?"
Entahlah. Jiwa aku ini hanya ingin menyumbang rasa dan perasaan aku pada keadaan sekeliling aku ini.
Awan bergerak perlahan kian membuka laluan cahaya bulan yang mula menyinar halaman rumah aku.
"Oh itu pun kamu Montel. Mari sini," gerak Tok Nek di celah pasu pokok bonsaiku. Seekor kucing berwarna jingga lompat ke arah dakapan Tok Nek. Kepalanya diusap lembut sambil matanya tertutup rapat bermanja bersama tuannya itu.
Tok Nek beredar dari halaman rumahku terus ke rumahnya berjarak 10 meter dari tempatnya jumpa Montel. Pagaran hidup yang ada dilaluinya kemas mengikut jalan yang kian jelas dengan pancaran sinar bulan mengambang.
Semoga kertas-kertas ini dapat aku hantar sebelum ia luput dari pemikiran aku.
Jumaat, 5 Oktober 2012
Hati yang mengerti
Penulis 依之汉
Diterbitkan Jumaat, Oktober 05, 2012
Artikel Terkait
Ulasan baru tidak dibenarkan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)