Rabu, 3 Oktober 2012

Penulis yang disayang Tuhan



Kali ini saya hendak bercerita mengenai sejarah buku-buku yang berada dalam perpustakaan peribadi saya. Ia adalah untuk catatan rekod buat saya agar tidak lupa kemudian nanti di mana dan mengapa saya membeli buku tersebut.

Saya mulakan dengan memilih mana-mana tajuk buku secara rawak.

Kali ini 'Penulis yang disayang Tuhan' menjadi permulaan bicara. Novel ini saya mula beli ketika saya bekerja sambilan sebagai budak jaga buku.

Saya tertarik dengan tajuk novel ini iaitu 'Penulis yang disayang Tuhan'. Saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang penulis. Cuma masih tercari-cari bidang apakah yang patut saya pergi sama ada bidang penulisan kreatif atau bidang penulisan ilmiah. Kedua-dua bidang tersebut begitu mengujakan saya.

Pada mulanya saya cadang untuk habiskan sahaja bacaan novel ini ketika saya bekerja. Yelah. Kerja saya pun tiada apa sangat ketika itu. Pelanggan pun kurang.

Namun, setelah difikirkan kembali, apa salahnya saya menambah koleksi novel bahasa Melayu ke dalam rak perpustakaan peribadi saya. Maka sayapun membeli novel ini.

Saya habis membaca novel ini selama 3 hari sahaja. Saya seterusnya tertarik dengan penulis novel ini yang pandai menggarap cerita dengan menyelitkan hadis-hadis sebagai isi ceritanya. Bijak Bahruddin Bekri dalam menyulam kisah penulis yang disayang Tuhan ini.

Saya terus google siapakah Bahruddin Bekri dan menemui blognya yang bertajuk Dingin. Rupanya beliau aktif dalam menulis cerpen dan novel di blog peribadinya itu. Hebat.

Saya juga dapati beliau tidak aktif membalas komen-komen di blognya. Saya ada lihat beberapa spam di bahagian komen beberapa entri beliau. Beliau lebih suka peminat menghantar emel berbanding meninggalkan komen.

Dengan membaca blog Bahruddin Bekri, saya mula bermotivasi untuk menulis cerpen. Kadang-kala ketika saya hilang motivasi menulis, saya akan merujuk blog beliau sebagai penaik motivasi saya semula.

Saya berharap saya juga suatu hari nanti berjaya menghasilkan novel berkualiti yang mampu mencerdikkan bangsa. Ia bukan suatu yang mudah, tapi ia bukan suatu yang susah juga. Usaha dan doa perlu seiring. Barulah saya boleh menjadi penulis yang disayang Tuhan.

1 mengomel so far

Saya pun ada menanam hasrat untuk menjadi seorang penulis. Tak tahu kenapa tapi rasa gembira sangat bila menulis :)

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon