Khamis, 6 September 2012

Kalian Sayang PU ke tak?

Terdapat satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ketika saya pertama kali jejak ke sebuah kolej bernama KTP. Saya adalah pelajar yang lewat masuk ke KTP.  Pengalaman ini berkaitan tindak-tanduk Pembantu Universiti (PU) atau dikenali juga sebagai fasilitator yang menjalankan tugas mereka ketika itu di KTP.

Pandangan pejabat KTP dari salah satu bilik di blok Jebat.
Kemasukan 2008/09 blok lelaki KTP, blok Jebat hanya dihuni oleh pelajar baharu aliran Sains Alam Sekitar dan Pengurusan Alam Sekitar. Berlaku percampuran beberapa pelajar jurusan lain kerana KTP dijadikan markas SUKSIS sejak tahun 2004 lagi.

Kerana percampuran pelajar dari kolej-kolej lain, seperti tiada kesatuan antara pelajar-pelajar lelaki junior. Mereka seperti dingin sahaja dalam pergaulan. Bagi pihak pelajar perempuan pula, terdapat pelajar-pelajar aliran pengurusan pentadbiran yang mana majoritinya amoi. Berlaku pertembungan dua kaum di situ.

Kesatuan di kolej ketika itu memang tidak stabil. Pelajar hanya bergaul dengan rakan yang mereka kenal dan tidak cuba suai kenal dengan pelajar lain. Ini menyebabkan berlaku kepuakan dalam KTP.

Kemuncak dari keadaan ini apabila ketua sorak kami kehilangan suara pada pagi Khamis itu. Semasa di Dewan Besar U,  barisan KTP dikenakan habis oleh warga-warga kolej lain. Suara kami tenggelam. Masing-masing seperti ambil endah tak endah kerana ini bukanlah hal mereka, fikir mereka.


Pada petangnya untuk sesi riadah, wajah para PU kelihatan lain dari yang lain. Ia tidak seperti biasa, ceria sentiasa. Mereka tampak muram dan sedih.

Ketika kami berkumpul di gelanggang bola tampar, bermulalah sesi runtuhan jiwa dan kasih oleh kakak-kakak PU. Kak Ros sebagai ketua PU KTP hanya duduk jauh di belakang rumah minang.

Bermulalah bicara daripada seorang kakak PU, kak Amirah namanya. Dia menegur kami tidak ada kesatuan dalam melakukan kerja walhal kami berada di bawah kolej yang sama. Ini tidak kiralah sama ada kemasukan SUKSIS ataupun tidak. Yang penting di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.

Saya tergamam. Mungkin ada betulnya apa yang kakak-kakak itu bicara. Saya sendiri di masa itu tidak bergaul mesra dengan pelajar junior yang lain. Sudah dua hari saya di sini namun hanya 2-3 orang sahaja saya tegur.

Beberapa orang kakak PU pun turut serta menegur kami.

"Sebenarnya kami ingin lihat kamu semua bersatu. Tidak kiralah semasa sorak ataupun tidak. Cuba bergaul dengan pelajar-pelajar lain. Tidak kiralah Melayu mahupun Cina. Kita tinggal sebumbung di KTP," tegur kak Amirah lagi.

Dapat dilihat juga sesi ini penuh dengan emosi. Para PU yang didominasi wanita seperti menggunakan emosi lebih dalam bicara teguran mereka.

"Kami sudah tidak sanggup lihat sebegini. Kami sudah cuba bermacam cara agar kamu semua bersatu. Bekerjasama. Namun hasilnya masih sebegini. Lihatlah pagi tadi ketika bersorak." kata kak PU yang lain pula.

"Hari ini kami ambil keputusan untuk tidak membuat sesi riadah. Kamu semua boleh buat apa yang kamu suka." Mereka berlalu pergi.

Kami ditinggalkan kesepian dan keliru.

Seorang pelajar lelaki jurusan Pengurusan Alam Sekitar bangkit dan memberi cadangan.

"Apa lagi kita semua duduk di sini? Marilah memohon maaf. Ini kan salah kita?"

Kami memandang sesama sendiri. Masih keliru. Situasi ketika itu sungguh tegang.

Para pelajar perempuan sudah ada yang menangis teresak-esak daripada bangsa Melayu mahupun Cina seperti merasai suasana ini. (Oh maaf. Ketika itu tiada kemasukan pelajar India di KTP.)

Para pelajar lelaki pula bangun dan beredar begitu sahaja. Saya hanya mengikuti mereka. Saya masih baharu di sini!

Kemudian pelajar yang bangun awal tadi memanggil kami semula.

"Marilah. Kita mohon maaf sama-sama."

Para pelajar lelaki melepak di luar pagar blok Tuah.
(kawasan betul, tapi watak hiasan)
Kasihan dengannya, kami berkumpul semula di luang legar Rumah Minang, bersebelahan gelanggang bola tampar itu. Ketika itu kami mengharapkan 2 orang abang PU yang menjaga kami. Hanya mereka sahaja lelaki dalam kalangan PU-PU KTP.

"Apa lagi! Baliklah bilik! Awak semua tak sayangkan PU bukan?"

Satu jeritan kedengaran dari blok Tuah, nun di sebelah gelanggang bola tampar. Saya tidak nampak orangnya, namun jeritan perli itu membuatkan beberapa pelajar perempuan yang masih di gelanggang bertambah kuat esakan mereka.

"Eh, itu bukankah suara kak Amirah kecil? Kuat ya suaranya." bisik seorang pelajar Sains Alam Sekitar (SAS) belakang saya.

"Awak sayang PU ke tak?" sahut lagi satu jeritan dari blok Tuah. Kali ini oleh orang lain pula.

Para pelajar perempuan menyahut,

"Sayang!"

"Awak sayang PU ke tak?" diulang semula jeritan tersebut.

"Sayang!" bertambah kuat sahutan daripada kami.

Mengapa hal ini perlu terjadi sekarang? Saya baru sahaja tiba di sini. Tidak tahu apa-apapun. Kenapa PU (pembantu universiti) mudah kecil hati? Adakah mereka ini orang berijazah? Walhal hampir kebanyakan mereka nampak matang. Umurpun melebihi 23 tahun.

Sungguh saya tidak mengerti! Ini perangai kanak-kanak yang merajuk kerana permintaannya untuk ke taman permainan tidak diendahkan oleh ibu. Menjerit memarahi ibu kerana perkara yang biasa ini.

Beberapa selang masa kami melanggu di situ, kehadapan seorang pelajar SAS.

"Kita mohon maaf apabila keadaan sudah reda. Malam ini tiada apa-apa aktiviti. Balik ke bilik dahulu dan muhasabah."

Kami semua bersurai.

Malam itu rupanya para pelajar perempuan telah bertekad untuk memenangi semula hati PU-PU yang telah terluka itu.

Mereka melukis banting dan membuat beberapa kad memohon maaf. Beberapa pelajar lelaki jurusan asal KTP turut serta. Saya pula? Duduk di bilik. Saya lebih suka membaca buku berbanding terlibat dengan konspirasi budak.

Pagi esoknya semua persiapan memohon maaf telah dilancarkan.

Hati para PU, runtun esoknya. Mereka terharu. Hei, kami juga pelajar dan kami tahu bagaimana hendak memujuk kanak-kanak versi dewasa untuk kembali bertaut bersama kami.

nota kaki: beberapa nama telah diubahsuai dan dialog, demi menjaga sensasi peristiwa ini.

4 mengomel

sampai mcm tu skali ye... saya sendiri pernah menjadi PU (dulu dipanggil fasilitator) tapi rasanya kami xde lah kisah pasal nak menjerit sorak ni. Yg penting segala urusan penting berkaitan universiti untuk bakal pelajar baru diploma dan ijazah selesai dgn baik

Sebab tu tak suka apabila majoriti PU perempuan. Emosional~ =P

Pergh... Problem dia cheers je.. Ni samalah dengan kes tidak patriotik hanya kerana tak kibar bendera... Adoihai...

Oh bukan itu sebenarnya. Pelajar seperti tidak bekerjasama. Masing-masing buat hal sendiri.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon