Menunjukkan catatan yang diisih mengikut kaitan pertanyaan tuisyen. Isih mengikut tarikh Tunjukkan semua catatan
Menunjukkan catatan yang diisih mengikut kaitan pertanyaan tuisyen. Isih mengikut tarikh Tunjukkan semua catatan

Rabu, 27 Mac 2013

Membuka bisnes tuisyen

Semalam saya hadir satu temuduga untuk menjadi cikgu tuisyen (menurut iklan yang dipaparkan). Ia dijalan oleh sebuah organisasi bersebelan taman kuarters saya tinggal.

Setahu saya tiada pusat tuisyen di sini. Agaknya mereka baru tubuhkan dan ingin mengupah beberapa orang cikgu tuisyen berkerja di bawah mereka.

Saya menjadi calon pertama hadir. Saya disambut oleh seorang pakcik tua berusia lingkungan 50an.

"Encik Uthman ya?" tanya saya.

Dia hanya menganggukan kepala kerana sibuk melayan pemanggil di telefon bimbitnya.

"Silakan masuk," katanya perlahan kepada saya.

Saya duduk di saf belakang menunggu panggilan. Saya lihat beberapa orang bergegas menyediakan meja dan kerusi di bilik tertutup di surau itu. Agaknya baru hendak berkemas usai solat Isyak.

"Boleh masuk," kata seorang pak cik berkopiah hitam.

"Nama saya Abdul, ini Uthman dan tengah ini Rezuan."

Saya bersalaman dan memperkenalkan nama saya pula.

"Apa perancangan encik Wong apabila diberikan tugas ini?"

Saya membuat muka keliru. Bukankah saya hanya perlu datang mengajar? Untuk cuba berlagak pandai, saya menerangkan pengalaman saya menjadi guru tuisyen bermula tahun lepas.

"Hanya sebagai guru tuisyen ganti. Tidak menjadi guru tuisyen penuh sebab pusat tuisyen ada guru mereka sendiri," jelas saya.

Mereka memandang saya pelik.

Encik Uthman mula bersuara apabila Encik Abdul memandangnya pelik. "Di iklan tu saya tampal perlukan guru tuisyen."

Kerut di muka Encik Abdul mula hilang. Dia seperti faham kata-kata Encik Uthman itu tadi.

"Begini, kami ada sebuah rumah kosong disediakan khas atas nama surau ini. Jadi kami pencari orang yang sanggup menguruskan rumah tersebut sebagai pusat tuisyen," terang Encik Abdul.

Saya mula jelas. Patutlah saya tidak pernah tahu tentang pusat tuisyen ini. Rupanya mereka mahu menubuhkan pusat tuisyen dengan mencari calon yang akan menguruskannya.

"Kalau encik Wong ok, bolehla hantar 'quatation' kepada saya dalam masa tempoh seminggu ini. Ok?"

Seperti  Encik Abdul anggap saya tahu quatation itu dia terus menjelaskan apa peracangan mereka dengan rumah sewa itu.

Saya serius tak faham istilah quatation itu apa.

"Saya fikirkan dahulu lah. Saya pun tiada pengalaman untuk perkara sebegini. Sebelum ini saya hanya mengajar biasa. Manakala ini sudah masuk bidang pengurusan."

Mereka angguk tanda setuju dengan penjelasan saya. Encik Abdul memberi saya masa seminggu untuk menyediakan 'quatation'. Perbincangan berlangsung dalam 15 minit sahaja.

Tiba sahaja di rumah, saya terus Google 'quatation' itu apa tetapi tidak dapat jawapannya. Argghh! Mengapalah aku ini berlagak pandai. Tanya sahajalah 'quatation' itu apa dalam bahasa Melayu.

Akhirnya aku terdetik nak tanya pada kakak aku.

"Quatation tu sebut harga la."

Mata saya terbuka luas tanda saya sudah faham maksud Encik Abdul dan kawan-kawannya itu. Mereka memberi peluang kepada saya untuk buka bisnes pusat tuisyen di taman ini.

Sekarang saya masih berfikir untuk terima atau tidak tawaran itu. Yelah pengalaman saya pun tidak lah banyak terutamanya dalam bidang pengurusan. Nampaknya saya perlu membuat beberapa tinjauan untuk mendapat gambaran lebih lanjut tentang pembukaan pusat tuisyen ini.

Ahad, 10 Februari 2013

Temuduga Cikgu Tuisyen

Alhamdulillah, semalam saya baru sahaja selesai temuduga kerja. Ini merupakan temuduga kedua saya. Walaupun ia sekejap sahaja, pengalaman yang saya dapat cukup berbaloi.

Ini bermula apabila saya mendapat satu panggilan misteri pada hari Khamis yang lalu.

Pengajaran pusat tuisyen pastinya
berbeza dengan sekolah harian.
(gambar hiasan)
"Hello, assalamualaikum. Ini en. Wong ya? Kami dari Pusat Tuisyen ZZZ."

"Waalaikumsalam. Ya saya bercakap."

Hati saya berdebar. Telah lama saya hantar permohonan untuk mengajar sambilan di Pusat Tuisyen ini. Seingat saya pada tahun lepas dalam bulan September ketika saya asyik mencari kerja sambilan.

"Kami nak panggil temuduga. Hari Sabtu ini pada pukul 1 tengah hari. Boleh?"

"Boleh! Ada apa-apa barang perlu saya bawa?"

"Bawa resume dan beberapa salinan sijil. Oh serta gambar berukuran pasport 2 keping."

Terus, pada hari Sabtu aku menyiapkan diri untuk hadir ke sesi temuduga itu. Saya datang awal 30 minit. Yelah. Untuk datang temuduga kita kenalah datang awal walaupun ia hanyalah temuduga menjadi cikgu tuisyen sahaja.

Jumaat, 21 September 2012

Menjadi guru tuisyen

Pusat tuisyen berada di mana-mana sahaja
(gambar hiasan)
Oleh kerana saya tiada pendapatan sepanjang saya sambung pengajian saya ini, lalu saya gagahkan diri saya mencari pekerjaan sambilan yang terbentang luas di bumi Malaysia ini.

Saya lihat banyak iklan jawatan kosong di Alamanda. Gaji pun lumayan bagi saya iaitu RM1k ke atas.

Namun demikian, saya lebih menyukai kerja yang melibatkan akal dan bakat saya. Saya memilih untuk mencari kerja sambilan sebagai guru tuisyen. Saya ada terdengar daripada kawan-kawan saya bahawa guru tuisyen upahnya lumayan.

Isnin, 1 Oktober 2012

Cikgu Kimia


"Bagaimana ni kak? Saya tiada sangat bahan nak mengajar. Kak call on the spot. Saya ingat kalau nak mengajar ni akan dapat panggilan seminggu sebelum," kata saya ketika sampai di pejabat pusat tuisyen.

Gementar juga mendapat panggilan satu jam setengah sebelum mengajar. Ia seperti diminta menjadi MC majlis bidan terjun pula.

"Minta maaf la dik. Cikgu tuisyen yang ajar Kimia tingkatan 5 tadi pun call kami lambat. Tak apa. Adik buat sahaja ulangkaji dengan budak-budak tuisyen itu nanti," kata kak Wani, kerani yang menjaga pusat tuisyen ini.

"Tapi saya tiada bahan nak mengajar."

"Tak apa. Sini ada soalan objektif kimia yang cikgu mereka tinggalkan. Kamu minta sahaja mereka buat dan kemudian bincangkan. Masa 1 jam 30 minit sahaja. Tak lama," kata lembut kak Wani cuba menenangkan kegusaran di hati saya ini.

Sebelum datang ke pusat tuisyen ini, aku telah dahulu pergi ke kedai buku berdekatan pusat tuisyen ini untuk membelek buku rujukan Kimia SPM. Pada mulanya saya cadang untuk membeli satu buat rujukan mengajar nanti tapi apabila difikirkan, saya mengajar on call sahaja. Seperti membazir pula. Lalu saya hanya simpan niat membeli sahaja dahulu. Mungkin dengan duit mengajar yang akan saya dapat nanti, boleh saya jadikan modal membeli bahan pengajaran nanti.

Sebenarnya saya isi sahaja apa-apa subjek yang boleh diajar. Tidak kiralah apa-apa subjek sains mahupun matematik. Saya boleh ajar. Guru on call katakan.

Tepat 5.30 pm, saya masuk ke dalam kelas pengajaran. Hanya satu kerusi terisi daripada 20 kerusi yang ada.

"So, are you alone? Or there will others will come to this class?" cubaan saya berbahasa Inggeris bersama pelajar. Al-maklumlah pelajar sekarang belajar sains dan matematik dalam BI. Saya juga tidak mahu dikatakan ketinggalan dalam berkomunikasi berbahasa Inggeris bersama mereka.

"No sir. Actually they are other 6 students. They will come later, I guest." jawab pelajar berbonjol kain di hadapan kepalanya itu.

"Alright. You can call me Izham, or abang Izham. Basically, I'm a master student from UPM. I'm here to teach you guys temporarily while your real tuition teacher is out for what ever reason I don't know."

Saya pun mengedar satu set soalan kimia kertas 1 kepada pelajar tersebut.

"Answer it in 30 minutes. Then we can discuss it together."

20 minit kemudian masuk pula seorang pelajar lelaki.

Terus saya sapanya, "Assalamualaikum. Saya Izham. Panggil abang Izham sahaja. Ini kertas soalan kimia 1. Boleh jawab dahulu. 6.15 pm nanti kita bincang bersama," sambil memberi satu set kertas soalan sama seperti pelajar sebelum ini.

Selasa, 19 Februari 2013

Pengalaman mengajar Sains

Semalam saya mendapat panggilan telefon tentang tawaran kerja menjadi guru tuisyen. Bagi yang tak mengikuti perkembangan lama, boleh rujuk entri ini.

Sepatutnya diadakan pada Khamis lepas tetapi puan pengetua lupa. Jadi aku ingat tiadalah 'mock teaching' (maksudnya kira aku tak dapat kerja cikgu tuisyen).

"Assalamualaikum. Saya dari Pusat Tuisyen nak tanya adik hari ini boleh datang untuk 'mock teaching'?" kata  suara wanita yang menelefon saya.

"Maaf kak. Hari ini saya ada kelas tuisyen lain untuk diajar. Hari lain boleh?" Terpaksa menolak kerana malam nanti saya kena ajar budak lain pula (kemudian ditunda ke hari Jumaat ini).

"Hmmm. Kalau begitu tak apalah. Nanti saya telefon balik."

Beberapa jam panggilan saya mendapat panggilan telefon daripada nombor yang sama.

"Assalamualaikum. Saya dari Pusat Tuisyen."

"Ya saya Wong bercakap," jawab saya sambil membonceng motorsikal ingin pulang ke rumah.

"Macam ini lah dik. Setelah berbincang dengan puan pengetua, esok adik boleh datang mengajar?"

Mengajar? Eh? Terus saya berhentikan motorsikal di persimpangan jalan.

Bukankah kena 'mock teaching'? Aku rasa was-was tapi hanya mengiyakan sahaja.

"Nanti saya hantar SMS tajuk apa yang adik boleh mula ajar untuk subjek Sains dan Matematik tingkatan 3."

Beberapa minit kemudian satu SMS masuk ke dalam peti mesej telefon bimbit saya,

"Sains ajar 'Reproduction', manakala M3 ajar 'indices'".

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku capai 2 buah buku tingkatan 3 yang aku beli minggu lepas.

Matematik mudah sahaja. Indeks, kata Melayunya. Cuma keluarkan hukum-hukum yang ada, hafal dan buat latihan.

Saya membelek buku Sains PMR pula. Gulp. Saya menelan air liur. Reproduction ya. Kata orang Melayu 'Pembiakan'. Ia melibatkan perkara-perkara sulit antara lelaki dan wanita. Budaya Melayu jarang nak bercerita tentang ini (terasa seperti mengajar pendidikan seks pula. erk!?)

Aiseh. Awal pengajaran sudah ajar tajuk sukar. Macam mana ni, fikir aku. Kalau semua budak lelaki, mungkin mudah nak terangkan. Tapi pusat tuisyen mestilah ramai budak perempuan.

Tambahan yang mengajar ini adalah seorang lelaki... (kacak lagi tu. Hehe)

Tak apalah. Saya redha dengan pilihan itu....

(bersambung entri seterusnya, esok)


Ahad, 10 Mac 2013

Tiba masanya menjadi serius

Buku untuk dibaca.
Saya akhirnya membeli sebuah buku bertajuk "Buat Duit dengan Tuisyen". Saya mahu menimba ilmu lebih dalam pengajaran saya sebagai seorang cikgu tuisyen. Saya ingin membaca lebih dan tahu lebih tentang pandangan dan pengalaman orang lain yang menjadi cikgu tuisyen.

Saya memang minat penulisan Osman Affan. Tulisan beliau mudah dan ringkas. Ia senang difahami dengan kisah-kisah yang beliau paparkan.

Saya baru membelek tentang kisah seorang cikgu di Pusat Tuisyen beliau. Kisahnya dia juga dahulu seperti saya. Ditolak mengajar oleh pelajar Pusat Tuisyen kerana pengajaran yang hambar.

Cikgu itu kemudian menjadikan pengalaman ditolak itu sebagai teras untuk dia belajar bagaimana teknik mengajar yang betul. Akhirnya, dia berjaya. (sebab tu cerita dia masuk dalam buku ini).

Saya belum membaca habis lagi buku ini. Saya pasti ia mengandungi tips yang bagus dan menarik untuk saya praktikkan bagi pengajaran kelas saya.


Ahad, 28 Julai 2013

Bisnes Tuisyen lagi?

Saya rehat sebentar setelah penat berFB.

Tiba-tiba deringan telefon bimbit berbunyi. Nombor yang tak dikenali tertera. Pelik.

Kedengaran suara lelaki memberi salam. Saya menjawabnya dan ingin tahu siapakah gerangan ini?

"Saya En. Khatib. Awak masih berminat buka pusat tuisyen tak?"

Terus minda saya ligat berfikir. Di manakah saya kenal akan topik ini? Oh!

"Berminat. Tetapi bukankah sudah lama?"

"Oh tak mengapa. Esok pagi selepas solat Subuh kita berjumpa di hadapan surau untuk berbincang."

Kami tutup dengan salam.

Saya berfikir lagi. Saya tiada pengalaman. Dahulu pernah ditawarkan tetapi saya berfikir panjang. Bukan tidak mahu menerima rezeki tetapi bebanannya besar.

Setelah berfikir sejenak, saya teringat akan pengetua pusat tuisyen saya. Pengalaman dia lebih banyak. Mungkin saya boleh majukan kepadanya untuk tindakan lanjut.

"Kak, saya mendapat tawaran buka kelas tuisyen. Tempat disediakan. Hanya perlu uruskan sahaja."

Alhamdulillah Kak Zu setuju.

Selepas berbincang pada pagi tadi bersama En. Khatib, dia mengatakan perlu cepat kerana tempat yang telah ditempah sudah 3 tahun tidak beroperasi.

Insya-Allah jika menjadi, pertengahan Syawal akan bermula pusat tuisyen ini kecil-kecilan.

Satu pengalaman baharu buat saya. Satu pekerjaan baharu buat saya juga.

Selasa, 14 Mei 2013

Menjadi guru tutor sambilan

Saya berpeluang untuk mengajar menjadi tutor di pusat tuisyen berdekatan Desa Pinggiran Putra.

Entah kenapa hati saya sentiasa teruja menantikan ketibaan masa mengajar. Mungkin kerana suasana di pusat tuisyen itu sendiri yang lebih kepada konsep tutor. Pusat tuisyen ini tidak seperti pusat tuisyen yang saya pergi sebelum ini, yang mengajar lebih kepada konsep cikgu.

Saya gembira dapat menyampaikan ilmu kepada para pelajar yang datang. Jumlah mereka pun tidak ramai. Di antara 2-5 orang satu sesi pengajaran.

Saya juga tiada tekanan untuk mengajar mereka. Pusat tuisyen ini menggunakan konsep tutor yang membantu pelajar menjawab soalan-soalan yang mereka lemah.

Kami sebagai tutor bertindak menerangkan bagaimana dan kenapa sesuatu soalan itu mendapat jawapan sebegitu rupa.

Saya galakkan pelajar saya bertanya. Cuma, mereka amat jarang bertanya. Lalu, saya pulalah yang bertanya untuk menguji kefahaman mereka. Ada yang faham, dan ada yang sedang faham.

Saya masih baru lagi dalam dunia pengajaran ini. Apabila mula mengajar, barulah saya dapat kesan jenis-jenis pensyarah yang sudah bergelumang lama dengan dunia akademik dan pensyarah yang beberapa tahun baru sahaja masuk dengan dunia akademik.

Jelas pengajaran mereka berlainan.

Ada juga ya pengajaran saya dapat dengan terjun ke dunia pendidikan ini.

Sabtu, 7 Jun 2014

Kekoknya Cikgu Tuisyen

Pusat Tuisyen Putrajaya

Selasa lepas terdapat seorang pelajar baharu masuk menyertai kelas tuisyen di Putrajaya. Saya mengendalikan kemasukannya.

Bapanya datang membawa sekali dengan yuran pendaftaran. Saya kenal bapanya. Bapanya adalah bilal di surau tempat saya tinggal. Kami menyapa dan saya menguruskan apa yang patut untuk pendaftaran.

Kemudian saya perkenalkan Hariz kepada tujuh orang murid yang lain. Mereka gembira berkenalan dengannya.

Maaf ya. Saya tak mengajar pelajar sekolah rendah. Lalu saya serahkan kepada rakan kerja saya menguruskan mereka setelah saya selesai memperkenalkan Hariz.

Ketika kelas habis, rakan kerja saya membeli kek kepada anak-anak muridnya. Kelapan-lapan anak murid gembira. Saya turut gembira kerana dapat makan sepotong kek percuma hari itu. Alhamdulillah.

Beberapa hari kemudian ketika saya hendak ke surau saya lihat seorang anak kecil keluar dari pintu surau. Lalu dia menjerit mengangkat tangan kepada saya dengan berkata, "Cikgu!"

Saya membalas dengan mengangkat tangan dan senyum. Oh rupanya Hariz juga ada datang ke surau bersama bapanya. Selama ini saya tak pernah perasan pun kanak-kanak yang datang ke surau. Walaupun mereka comel, tetapi saya tidak begitu layan.

Kini seperti ada hubungan tak terkata antara saya dan Hariz.

Dia selalu solat di saf hadapan bersama orang dewasa. Tugas dia mencukupkan saf pertama.

Apabila selesai solat dia akan duduk kebelakang. Saya kadang terpandang dia lalu dia tersenyum sipu memandang saya. Saya senyum kembali.

Apa entah perasaan menyusup diri saya. Malu mungkin. Ya malu kerana seorang budak khusyuk solat berjemaah di samping saya. Seorang budak yang dahulu kami tidak pernah terhubung tetapi kini lain.

Bergelar cikgu rupanya ada sebuah kisah di sebaliknya. Tidak lagi boleh berkelakuan aneh. Risau jika terserempak dengan anak murid yang polos menghormati seorang lelaki selain daripada bapa mereka.

Ah. Saya terasa malu. Inilah rupanya apabila menjadi seorang guru.

Moga semua anak murid di pusat tuisyen itu menjadi orang berjaya kelak. Mengharumkan nama bangsa dan agama di bumi bertuah ini.

Selasa, 26 Februari 2013

Hujan Menanti Pelangi

Suasana di luar bilik sizwazah agak kelam. Di luar bangunan blok B ini hujan turun dengan lebatnya. Saya terperangkap di sini sambil menunggu hujan reda.

Pernah dua kali saya terperangkap di Fakulti Agrobio sehingga pukul 9 malam akibat menunggu hujan reda. Al-maklumlah saya ini hanya membonceng motorsikal untuk datang bekerja.

Kadang-kala kedengaran bunyi dentuman guruh di langit. Hujan ini seperti membasuh hati aku semalam.

Pada mulanya memanglah saya rasa tidak keruan kerana saya ditolak untuk menjadi cikgu tuisyen. Apabila difikirkan kembali, tak apalah. Sekurang-kurangnya saya dapat pengalaman mengajar budak tingkatan 3.

Seperti yang Kak Dell katakan, Pusat Tuisyen ini memilih. Kalau boleh mereka nak cikgu sahaja mengajar. Bila saya kenangkan kembali, saya lebih sesuai untuk mengajar tuisyen rumah (home tuition). Senang untuk fokus pengajaran saya pada individu berbanding kelompok.

Lagipun, saya mengajar untuk budak faham bukannya untuk budak hafal. Budaya pelajar kini hanya suka menghafal mematikan budaya ilmu di dalam diri pelajar itu sendiri.

Saya ini orangnya mudah stabil emosi jika kena tekniknya. Heh. Ubat terbaik untuk saya kembali tenang, mudah sahaja, lelapkan mata selama 8 jam. Lihatlah sekarang. Sudah hilang keruan saya tentang kisah semalam.

Saya juga mengajar bahasa Inggeris untuk tuisyen rumah. Ini semua atas jasa baik Kak Dell. Jazakallah atas pertolongan kak. Tak tahu saya nak balas bagaimana.

Apa yang penting, saya tidak mengaku kalah. Terus berjuang untuk menjadi seorang penulis berjaya. Yeah!

Isnin, 1 Oktober 2012

Kimia on call


Sungguh letih hari ini. Saya baru sahaja pulang dari kelas. Terdapat beberapa kerja yang perlu dilaksanakan kerana minggu hadapan sudah perlu menghantar tugasan ini.

Saya rehat sebentar di atas kerusi berhadapankan laptop. Facebook dan emel dilihat untuk mengetahui perkembangan terbaru di sekitar saya. Sungguh banyak notification yang keluar di facebook saya.

Tiba-tiba telefon bimbit saya berdering. Tertera nombor pejabat.

Ini membuatkan jantung saya berdegup. Adakah penantian saya akan terjawab?

Sabtu, 3 Mei 2014

Kepercayaan


Saya mengenali Zarif sejak saya tahun dua lagi di UPM. Ketika itu saya masih naif lagi dalam kehidupan bersosial. Terasa mesra apabila saya berbual dengannya.

Kemudian saya rasa tidak berapa seronok bergaul dengannya kerana sifatnya yang terlalu suka bermanja. Tambahan dengan kata-kata tidak enak saya dengar oleh rakan-rakan sekeliling saya tentangnya. Saya termakan kata-kata mereka. Kami jarang bertemu dan hanya bertegur sapa begitu sahaja apabila terserempak di tepi jalan.

Apabila berjumpa di tahun keempat dia mengajak saya menyertai sebuah kem perkhemahan. Saya tak berminat tetapi dia bersungguh-sungguh mengajak saya. Jadi saya ikut sahajalah.

Alhamdulillah bermula saya menyertai kem itu hidup saya mula berubah ke arah kebaikan. Saya berterima kasih kepada Zarif kerana sanggup mengajak saya ke kem itu.

Namun, jauh di sudut hati saya, saya berharap sangat dapat mengajak Zarif kembali mengingati saat kami pergi bersama ke kem itu. Dia mula menjauhi program-program bersifat keagamaan.

"Cukuplah aku solat seorang diri di bilik," katanya. Saya termengkelan. Saya ingin sangat melihat dia dan saya bersama ke syurga nanti. Namun, saya tahu hidayah itu milik Allah.

Baru-baru ini Zarif berhenti kerja di sebuah syarikat swasta. Saya terkejut dengan keputusan drastiknya itu. Alasannya dia sudah fedup dengan kerja di sana. Dibuli oleh bangsa lain. Dia mahukan kebebasan.

Dia memilih untuk menjadi cikgu tuisyen sepenuh masa setelah mendengar perkongsian saya tentang kerja sambilan saya sebagai cikgu tuisyen.

"Aku amat berterima kasih kepada kau Wong. Dengan kaulah aku dapat menikmati hidup bebas. Terima kasih sangat-sangat."

Saya bergembira dengan kerelaan hatinya itu. Untuk membantunya, saya juga bertanya kepada klien sedia ada saya sama ada ingin mengajar subjek yang Zarif boleh ajarkan.

"Tak apalah. Bayaran itu aku ikut kau sahajalah. Sudah kau tetapkan begitu. Tak baik jika aku letak lain pula," katanya apabila saya menerangkan bahawa bayaran dia tentukan.

Mendengar jawapannya itu saya gembira kerana Zarif tidak kisah sangat dengan harga. Moga dia dapat mengajar dengan tulus ikhlas demi memandaikan anak bangsa.

Setelah sebulan mengajar, Zarif telefon saya. "Wong, aku ada hal penting nak bagitau kau. Aku SMS Puan Laila. Dia kata mengapa aku caj lebih mahal daripada kau."

Dan bermulalah Zarif menceritakan hal sebenar. Saya terpempan mendengar apa yang dia katakan. Dalam hati saya begitu marah dengan sikap Zarif yang tidak menepati janji. 

"Tak apalah. Aku ikut harga kau sahajalah." Ayat itu terngiang-ngiang di telinga saya. Mengapa kerana duit dia mula lupa janjinya dengan saya? Dia menipu!

Dua hari kemudian bos tempat Zarif bekerja selepas berhenti di syarikat swasta mengadu kepada saya tentang perilaku Zarif yang selalu ponteng kerja. Saya bertambah terpempan. Apakah yang telah terjadi?

Selama ini saya ingatkan saya begitu mengenali Zarif. Saya ingatkan dia adalah seorang yang jujur. Seorang yang boleh saya jadikan contoh orang berjaya. Tetapi atas penipuan yang telah dia lakukan kepada saya membuatkan kepercayaan saya kepadanya mendadak berubah 360 darjah.

Ia ibarat cermin yang pecah yang cuba dicantumkan. Retakan masih kelihatan walaupun telah bercantum dengan baik. Segala memori saya bergaul dengannya seperti hilang di balik cerminan kepercayaan saya dan dia. Ia masuk ke dalam retakan-retakan yang ada di dalam cermin itu. Saya cuba cantumkan memperbaiki agar ia kekal cantik, namun kepercayan saya itu betul-betul retak. Hati saya betul terkilan dengan tindakannya itu.

Ingatan saya mula membawa kepada cara-cara dia menipu di hadapan saya. Ya saya sedar dia banyak bercakap berbelit depan saya tetapi saya abaikan sahaja. Mungkin dia sahaja ingin mencari perhatian saya. Tetapi akhirnya Allah tunjukkan juga keaiban dan keburukan menipu dan tidak berlaku jujur dalam kehidupan.

Pagi tadi saya bertanya kepada pelajar tuisyen saya tentang Cikgu Zarif. "Mak kata dia tak ajar dah," kata Syamil. Saya agak terkejut dengan tindakan Puan Laila itu tetapi saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang cikgu tuisyen. Kuasa di tangan klien.

Betullah apa yang saya fikir. Jika kawan itu boleh menipu kawan yang lain di hadapan kita hanya ingin menegakkan benang yang basah, masakan dia tidak akan menipu kita juga?

Saya doakan agar Zarif kembali kepada kejujuran. Dalam dunia perniagaan, jangan sesekali menipu. Jangan. Saya masih ingat pesan bos saya ketika praktikal dahulu, "Dua perkara ini kamu mesti ingat apabila kamu sudah bekerja nanti iaitu kejujuran dan kepercayaan. Hilang salah satu ini akan menyebabkan kamu gagal dalam apa-apa jua pekerjaan."

Rabu, 10 Oktober 2012

Program Skor A


Semalam, sedang saya membelek apa-apa berita terbaru di laman facebook, saya terlihat satu iklan menarik,

"Tutor diperlukan. Hubungi sekian no ...."

Saya dengan hati yang ingin tahu, menghantar SMS kepada no yang diberikan. Dibalas,

"Wasalam. Kosong lagi. Boleh jumpa petang ini untuk berbincang?"

Nak dijadikan cerita, petang itu hujan. Saya tidak sempat berjumpa dengan cik yang membuat iklan.

"Tak apa. Kita hanya merancang, Allah menentukan segalanya. Malam ni boleh? Terus kita pergi HQ di Damansara. Naik kereta bersama kami."

Saya gembira. Nampaknya saya akan dapat kerja sebagai tutor tetap. Sebelum ini hanyalah on call sahaja.

Pukul 8.15pm kami bertolak dari UPM ke Damansara. Pukul 9.15 sampai.

Jumaat, 2 November 2012

Tutor sambilan, impian akan datang


Setakat ini saya baru survey satu tempat tuisyen bagaimana mereka kendalikan tutor rumah (home tuition). Memang sukar kalau saya mengaku saya nak buat tutor rumah dan ingin minta tunjuk ajar mereka. Agak-agak juga lah kan?

Untuk itu saya mengaku saya sebagai abang yang penyayang datang ke pusat tuisyen mereka untuk buat tinjauan untuk tutor rumah adik saya (yang sememangnya sudah menjangkau usia 21 tahun!). Dan saya tak suka kalau mereka promosi Skor A pula.

"Assalamualaikum kak.Saya datang nak tanya tentang home tutor di sini."

"Waalaikumsalam. Boleh. Silakan duduk. Di sini kami bla bla bla..."

Aku mendengar dengan kusyuknya. Tujuan utama adalah untuk mencendok maklumat-maklumat seperti harga per jam yang dicaj, cara pengajaran, dan tip-tip untuk ajar budak-budak sekolah menengah.

"Kami tawar RM150/jam untuk satu subjek. 1 jam kami ajar satu topik. 1 jam lagi kami akan lakukan latihan. Selalunya kalau tak buat latihan lepas mengajar memang budak akan lupa minggu depan apabila kami datang nanti," jelas kakak bertudung hitam itu.

Jumaat, 10 Oktober 2014

Hutang

Saya mendapat mesej ringkas daripada nombor yang tidak saya simpan. Kata mesej itu dia mahu meminjam duit saya sebanyak RM300.

Saya berfikir siapalah yang tiba-tiba ingin meminjam duit ini. Firasat saya ini adalah nombor Zaki. Hal ini kerana sebelum ini dia telah meminjam duit saya sebanyak RM300 dan telah pun memulangkannya.

Saya pernah berbincang dengan Nasrul tentang hal ini. Nasrul dimahari abangnya kerana sanggup meminjam duit sebanyak itu tanpa menyoal siasat kenapa.

Ah. Saya berfikiran lain. Tiada sebab orang nak meminjam jika tiada keperluan.

Saya bertanya Nasrul tentang nombor tersebut. Ternyata benar firasat saya. Zaki seperti kesempitan lagi.

Saya balas mesej tersebut. Saya ingin berjumpa dengannya dahulu.

Kami berjumpa di Restoran Bismillah. Saya terus mengajaknya makan bersama.

"Usah risau. Aku belanja." Saya perlu katakan hal ini kerana pengalaman saya, jika tak kata 'belanja' nanti kawan yang kekurangan dana ini akan segan untuk memesan makanan.

Kami berbual. Dia terus kepada agenda utama. Saya menarik kepada sisi agenda. Dalam perbualan santai jangan terus kepada isi. Biar bertanya khabar dahulu. Biar masing-masing selesa.

Saya lihat mukanya gelisah sahaja. Risau jika saya tidak mahu beri pinjam. Saya senyum sahaja.

Tup tup. Saya mendapat panggilan daripada klien tuisyen bertanya tentang tuisyen. Aduh! Saya lupa saya ada tuisyen hari ini. Lantas saya pendekkan bualan dengan Zaki.

Hati saya kuat mengatakan biarlah saya tolong Zaki. Ya Nasrul ada mengatakan kita perlu mengajar orang memancing.

Tetapi bukan semua orang boleh memancing. Saya lihat muka Zaki berserabut. Tak baik jika saya serabutkan dengan mengajarnya memancing seperti saya.

Saya niatkan ikhlas untuk membantunya.

Dalam hati telah saya sematkan, jika dia tak mampu bayar sekalipun, saya halalkan. Kerana itu hutang dibolehkan di dalam Islam. Bagi membantu sesama kita. Bagi merapatkan ukhwah sesama kita.

Rabu, 20 Februari 2013

Pengalaman mengajar Sains #2

(sambungan kisah Pengalaman mengajar Sains)

Dari awal pagi sehinggalah lewat petang saya rujuk buku rujukan PMR yang saya beli minggu lepas. Saya cuba memahami tajuk 'Pembiakan' agar mudah untuk saya sampaikan ilmu yang ada kepada bakal pelajar saya nanti.

Yelah, saya tak nak nanti tersilap mengajar pada sesi pertama saya ini.

Buku matematik tidak saya rujuk sangat. Kerja mudah sahaja untuk ajar matematik ini.

Yang penting saya fokuskan kepada Sains nih.

Saya datang awal ke Pusat Tuisyen. Cadangnya nak merisik berapa orang pelajar saya dan siapakah mereka.

"Assalamualaikum kak," sapa saya. "Berapa orang pelajar perlu saya mengajar sebenarnya kak?"

"8 orang sahaja dik. Tak banyak. Ini kertas latihan yang kami sediakan. Adik akan ajar matematik dahulu kemudian diikuti Sains."

Alhamdulillah, syukur. Nasib baik matematik mula dahulu. Tak perlu pening kepala nak terang istilah-istilah pelik.

Khamis, 13 Disember 2012

Tampalan iklan karut cikgu tuisyen


"Nanti saya call en. Wong semula jika en. Wong layak. Buat masa sekarang saya masukkan nama en. Wong dalam senarai dahulu," kata suara di sebalik telefon itu.

Saya matikan panggilan dengan ucapan terima kasih. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena melalui perbualan yang telah berlangsung sekejap tadi. Satu perkara yang dapat saya kaitkan dengan pengalaman lepas saya.

Ini semua bermula apabila saya singgah sebentar di Masjid UPM untuk menunaikan solat Asar. Ketika meletakkan motorsikal saya di parkir motorsikal, saya terlihat akan satu kertas iklan melekat di papan tanda parkir.


Saya tertarik untuk mencuba. Perasaan ingin tahu ini membuak-buak di hati untuk membongkar kenapa dan siapakah si petualang di sebalik iklan ini? Sudah la tampal pada bukan tempatnya. Tiada adab sungguh! (saya benci SPAM) Sebelum orang lain terkena, lebih baik saya cari penjelasan daripada si petualang ini.

Saya mendial nombor yang tertera di kertas iklan itu.

Ahad, 21 Julai 2013

Kerjaya Cikgu Tuisyen Memang Mencabar!

Pagi tadi saya mengajar tuisyen di rumah klien. Alhamdulillah semua berjalan lancar.

Rezeki saya dimurahkan lagi apabila klien saya ingin saya mengajar anaknya juga subjek matematik. Katanya anaknya lemah konsep matematik.

Berdasarkan pemerhatian saya, ada betulnya juga. Syahmi boleh mengira dengan cepat. Tetapi mengapa mendapat markah matematik selalu sahaja C?

kredit foto : Ariff Shah
Saya akan ajarkannya teknik dan tips menjawab peperiksaan matematik. Sambil itu saya akan juga mengaitkan bagaimana matematik membantu dalam kehidupan seharian.

"Kalau ada mak cik datang ke rumah ini. Kemudian ingin membeli 1 meter kain. Kamu ada pembaris berukuran 15 cm sahaja. Bagaimana akan kamu lakukan?" tanya saya kepada Syahmi.

Dia diam seketika. Memikirkan jalannya. Bagi saya, saya tidak akan terus memberi jawapan. Saya akan tunggu sehingga pelajar dapat jawab sendiri. Jika lambat mendapat respon, saya akan memberi klu seperti, "1 sentimeter bersamaan dengan berapa meter?"

Terus dia boleh menjawab. "Maka jika ada pembaris 15 cm?"

Lalu saya tunjukkan cara pengiraannya dengan betul. "Oh," katanya.

Saya senyum sahaja memerhatikan gelagatnya.

"Saya tahu, saya tahu!" celah adiknya apabila saya bertanya soalan kepada Syahmi.

Saya tahu adiknya itu tidak tahu. Tetapi berpura-pura tahu bagi memikat hati saya. Saya senyum.

"Cikgu suka kalau kita bercakap jujur. Jika tahu, kita tunjukkan apa yang kita tahu. Jika tak tahu, kita mengaku kita tak tahu. Itu juga salah satu adab menuntut ilmu," jelas saya kepada 4 orang adik-beradik di situ.

Saya jelas bahawa menjadi seorang cikgu tuisyen, saya bukan setakat mengajar itu ini sahaja. Saya juga bertanggungjawab mendidik anak didik saya menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.


Isnin, 25 Februari 2013

Sinar Pelangi di sebalik Hujan

Saya meletak telefon bimbit di atas katil. Termenung mendengar berita yang baru saya dengar tadi. Serta-merta kepala saya sarat dengan pelbagai soalan.

"Assalamualaikum encik Wong, kami dari Pusat Tuisyen. Ada sedikit khabar nak beritahu," kata suara wanita dari telefon bimbit saya kejap tadi.

"Ada perubahan pada hari pengajaran encik Wong."

"Maksudnya?" Saya keliru mendengar kata itu.

Pemikiran saya sudah melayang. Bukankah hari itu kata telah ditetapkan saya mengajar setiap hari Selasa? Takkanlah kelas bertukar hari pula?

"Begini. Atas permintaan pelajar, mereka nak juga cikgu lama yang mengajar."

Betullah seperti apa yang saya sangka. Pengajaran saya ditolak.

"Kena reject lah ni?" Soal saya.

"Bukan. Kami tak dapat nak tolong sebab pelajar sendiri minta."

Hati aku terus merundum jatuh. Terasa seperti ada batu yang berat menghempap dada ini.

"Tak mengapalah," jawab saya perlahan.

"Kami betul betul minta maaf. Nanti jika ada kelas kosong, kami akan panggil encik."

Aku menutup bual bicara suara itu dengan menjawab salam yang diberikan.

Saya diam kaku masih memikirkan berita tadi. Betulkah aku boleh mengajar orang lain atau menjadi cikgu tuisyen bukan kerja aku? Bukankah ini buktinya kamu gagal untuk menjadi seorang pengajar bagus?

Minggu lepas cukup gembira saya mendengar berita bahawa saya akan menjadi seorang cikgu Sains dan Matematik. Hati ini berbunga memikirkan pengalaman yang bakal saya tempuh sepanjang saya mengajar nanti. Pasti ada sesuatu yang boleh saya berikan kepada 8 orang pelajar yang hadir di dalam kelas itu.

Sayup sayup bunyi cengkerik di luar kuarters ini. Mereka seperti memujuk hati saya yang lara ini.

ARhhhh! Pemikiran ini bercelaru memikirkannya. Bagaimana hendak aku menyara hidup belajar ini? Disangkakan cerah di petang hari, hujan yang turun pula.

Walaupun hujan itu turun dengan lebatnya, saya yakin, pasti ada sinar pelangi yang muncul di sebaliknya nanti.

Selasa, 14 Januari 2014

Marah Atau Diam?

Semalam saya berasa sangat marah kepada Syah. Entah mengapa hendak sahaja saya meninggi suara jika berjumpa dengannya. Apa yang dia buat kepada saya memang tidak dapat dimaafkan.

Pada Jumaat lepas saya menerima emel memberi informasi tentang jadual baharu kelas tuisyen yang bakal saya mengajar. Terdapat dua tempat perlu saya mengajar. Pertama di AlHafiz Motherhome dan satu lagi di Al-Fateh.

Pada Isnin, semalam, saya dijadualkan mengajar di AlHafiz. Lalu saya bersiap-siap untuk terus ke sana. Dalam perjalanan mendekati bangunan tempat pusat tuisyen itu, saya mendapati lampu gelap.

Adakah saya tersilap? Saya berhenti di hadapan bangunan dan menelefon Syah. Dia langsung tidak mengangkat. Saya menelefon kali kedua. Jawapannya sama.

Beberapa saat kemudian Puan Ju sms saya bertanya tentang keterlibatan saya dalam mengajar hari ini. Saya balas bahawa saya ikut jadual baru iaitu saya akan mengajar di AlHafiz.

Saya tersedar. Jadual baharu masih belum berkuatkuasa lagi! Aduh! Syah telah tersalah beri informasi kepada saya. Saya pula tidak bertanya kembali pada pagi itu adakah jadual itu berkuatkuasa minggu ini.

Terus semasa membonceng pergi ke Al-Fateh hati saya tak habis memarahi Syah. Pengurusan tidak cekap!

Saya lewat tiga puluh minit tiba ke Al-Fateh. Ammar seperti biasa sudah memulakan latihan pada buku latihan yang dia beli.

Saya kembali refleksi diri saya ini. Apakah ini salah Syah atau saya sendiri? Adakah harus saya menyalahkan Syah?

Sebenarnya perkara ini dapat dielakkan jika saya mengambil masa sekejap untuk sms bertanya kepada Syah tentang jadual itu. Entah mengapa hati ini kata tak apa. Kalau salah, kamu boleh salahkan Syah.

Astaghfirullahal'azim. Saya termakan bisikan syaitan.

Syah beberapa kali sms memohon maaf. Saya mengabaikan dahulu. Saya perlu habis pengajaran baru saya balas. Ia satu etika buruk saya tonjolkan pada pelajar jika saya membalas SMS semasa kelas sedang berlangsung. Lagipun itu bukanlah SMS penting.

Hal ini membuatkan saya mendapat pengajaran bahawa ambil masa walaupun sekejap untuk bertanya.