Sabtu, 7 Jun 2014

Kekoknya Cikgu Tuisyen

Pusat Tuisyen Putrajaya

Selasa lepas terdapat seorang pelajar baharu masuk menyertai kelas tuisyen di Putrajaya. Saya mengendalikan kemasukannya.

Bapanya datang membawa sekali dengan yuran pendaftaran. Saya kenal bapanya. Bapanya adalah bilal di surau tempat saya tinggal. Kami menyapa dan saya menguruskan apa yang patut untuk pendaftaran.

Kemudian saya perkenalkan Hariz kepada tujuh orang murid yang lain. Mereka gembira berkenalan dengannya.

Maaf ya. Saya tak mengajar pelajar sekolah rendah. Lalu saya serahkan kepada rakan kerja saya menguruskan mereka setelah saya selesai memperkenalkan Hariz.

Ketika kelas habis, rakan kerja saya membeli kek kepada anak-anak muridnya. Kelapan-lapan anak murid gembira. Saya turut gembira kerana dapat makan sepotong kek percuma hari itu. Alhamdulillah.

Beberapa hari kemudian ketika saya hendak ke surau saya lihat seorang anak kecil keluar dari pintu surau. Lalu dia menjerit mengangkat tangan kepada saya dengan berkata, "Cikgu!"

Saya membalas dengan mengangkat tangan dan senyum. Oh rupanya Hariz juga ada datang ke surau bersama bapanya. Selama ini saya tak pernah perasan pun kanak-kanak yang datang ke surau. Walaupun mereka comel, tetapi saya tidak begitu layan.

Kini seperti ada hubungan tak terkata antara saya dan Hariz.

Dia selalu solat di saf hadapan bersama orang dewasa. Tugas dia mencukupkan saf pertama.

Apabila selesai solat dia akan duduk kebelakang. Saya kadang terpandang dia lalu dia tersenyum sipu memandang saya. Saya senyum kembali.

Apa entah perasaan menyusup diri saya. Malu mungkin. Ya malu kerana seorang budak khusyuk solat berjemaah di samping saya. Seorang budak yang dahulu kami tidak pernah terhubung tetapi kini lain.

Bergelar cikgu rupanya ada sebuah kisah di sebaliknya. Tidak lagi boleh berkelakuan aneh. Risau jika terserempak dengan anak murid yang polos menghormati seorang lelaki selain daripada bapa mereka.

Ah. Saya terasa malu. Inilah rupanya apabila menjadi seorang guru.

Moga semua anak murid di pusat tuisyen itu menjadi orang berjaya kelak. Mengharumkan nama bangsa dan agama di bumi bertuah ini.

3 mengomel

Tuan buka pusat tuisyen di Putrajaya ke..

Saya hanya menguruskan sahaja.

owh.. saya berminat untuk jv jika tuan perlukan guru2 pakar untuk seminar UPSR.. boleh email saya kelascikgushah@gmail.com jika berminat..

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon