Sabtu, 3 Mei 2014

Kepercayaan


Saya mengenali Zarif sejak saya tahun dua lagi di UPM. Ketika itu saya masih naif lagi dalam kehidupan bersosial. Terasa mesra apabila saya berbual dengannya.

Kemudian saya rasa tidak berapa seronok bergaul dengannya kerana sifatnya yang terlalu suka bermanja. Tambahan dengan kata-kata tidak enak saya dengar oleh rakan-rakan sekeliling saya tentangnya. Saya termakan kata-kata mereka. Kami jarang bertemu dan hanya bertegur sapa begitu sahaja apabila terserempak di tepi jalan.

Apabila berjumpa di tahun keempat dia mengajak saya menyertai sebuah kem perkhemahan. Saya tak berminat tetapi dia bersungguh-sungguh mengajak saya. Jadi saya ikut sahajalah.

Alhamdulillah bermula saya menyertai kem itu hidup saya mula berubah ke arah kebaikan. Saya berterima kasih kepada Zarif kerana sanggup mengajak saya ke kem itu.

Namun, jauh di sudut hati saya, saya berharap sangat dapat mengajak Zarif kembali mengingati saat kami pergi bersama ke kem itu. Dia mula menjauhi program-program bersifat keagamaan.

"Cukuplah aku solat seorang diri di bilik," katanya. Saya termengkelan. Saya ingin sangat melihat dia dan saya bersama ke syurga nanti. Namun, saya tahu hidayah itu milik Allah.

Baru-baru ini Zarif berhenti kerja di sebuah syarikat swasta. Saya terkejut dengan keputusan drastiknya itu. Alasannya dia sudah fedup dengan kerja di sana. Dibuli oleh bangsa lain. Dia mahukan kebebasan.

Dia memilih untuk menjadi cikgu tuisyen sepenuh masa setelah mendengar perkongsian saya tentang kerja sambilan saya sebagai cikgu tuisyen.

"Aku amat berterima kasih kepada kau Wong. Dengan kaulah aku dapat menikmati hidup bebas. Terima kasih sangat-sangat."

Saya bergembira dengan kerelaan hatinya itu. Untuk membantunya, saya juga bertanya kepada klien sedia ada saya sama ada ingin mengajar subjek yang Zarif boleh ajarkan.

"Tak apalah. Bayaran itu aku ikut kau sahajalah. Sudah kau tetapkan begitu. Tak baik jika aku letak lain pula," katanya apabila saya menerangkan bahawa bayaran dia tentukan.

Mendengar jawapannya itu saya gembira kerana Zarif tidak kisah sangat dengan harga. Moga dia dapat mengajar dengan tulus ikhlas demi memandaikan anak bangsa.

Setelah sebulan mengajar, Zarif telefon saya. "Wong, aku ada hal penting nak bagitau kau. Aku SMS Puan Laila. Dia kata mengapa aku caj lebih mahal daripada kau."

Dan bermulalah Zarif menceritakan hal sebenar. Saya terpempan mendengar apa yang dia katakan. Dalam hati saya begitu marah dengan sikap Zarif yang tidak menepati janji. 

"Tak apalah. Aku ikut harga kau sahajalah." Ayat itu terngiang-ngiang di telinga saya. Mengapa kerana duit dia mula lupa janjinya dengan saya? Dia menipu!

Dua hari kemudian bos tempat Zarif bekerja selepas berhenti di syarikat swasta mengadu kepada saya tentang perilaku Zarif yang selalu ponteng kerja. Saya bertambah terpempan. Apakah yang telah terjadi?

Selama ini saya ingatkan saya begitu mengenali Zarif. Saya ingatkan dia adalah seorang yang jujur. Seorang yang boleh saya jadikan contoh orang berjaya. Tetapi atas penipuan yang telah dia lakukan kepada saya membuatkan kepercayaan saya kepadanya mendadak berubah 360 darjah.

Ia ibarat cermin yang pecah yang cuba dicantumkan. Retakan masih kelihatan walaupun telah bercantum dengan baik. Segala memori saya bergaul dengannya seperti hilang di balik cerminan kepercayaan saya dan dia. Ia masuk ke dalam retakan-retakan yang ada di dalam cermin itu. Saya cuba cantumkan memperbaiki agar ia kekal cantik, namun kepercayan saya itu betul-betul retak. Hati saya betul terkilan dengan tindakannya itu.

Ingatan saya mula membawa kepada cara-cara dia menipu di hadapan saya. Ya saya sedar dia banyak bercakap berbelit depan saya tetapi saya abaikan sahaja. Mungkin dia sahaja ingin mencari perhatian saya. Tetapi akhirnya Allah tunjukkan juga keaiban dan keburukan menipu dan tidak berlaku jujur dalam kehidupan.

Pagi tadi saya bertanya kepada pelajar tuisyen saya tentang Cikgu Zarif. "Mak kata dia tak ajar dah," kata Syamil. Saya agak terkejut dengan tindakan Puan Laila itu tetapi saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang cikgu tuisyen. Kuasa di tangan klien.

Betullah apa yang saya fikir. Jika kawan itu boleh menipu kawan yang lain di hadapan kita hanya ingin menegakkan benang yang basah, masakan dia tidak akan menipu kita juga?

Saya doakan agar Zarif kembali kepada kejujuran. Dalam dunia perniagaan, jangan sesekali menipu. Jangan. Saya masih ingat pesan bos saya ketika praktikal dahulu, "Dua perkara ini kamu mesti ingat apabila kamu sudah bekerja nanti iaitu kejujuran dan kepercayaan. Hilang salah satu ini akan menyebabkan kamu gagal dalam apa-apa jua pekerjaan."

1 mengomel so far

Moga bermanfaat. Motivasi perlu dicari jangan dinanti!

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon