Memaparkan catatan dengan label Putrajaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Putrajaya. Papar semua catatan

Isnin, 29 Julai 2013

PTD Kelas Atasan?

Ketika berbual dengan En. Khatib, saya tanya adakah pasaran tuisyen di Persint ini?

"Ada. Sini ramai pasangan baru kahwin dan yang sudah anak. Kalau sekolah rendah ramai."

Alamak. Saya lebih suka sekolah menengah. Melayan kerenah budak kecil bukanlah sesuatu yang mudah.

Kemudian saya bertanya, kebanyakannya pegawai gred apakah tinggal di sini?

"Kebanyakannya gred CC dan PTD. Tetapi itulah. PTD ini memang kurang mesra kejiranan."

Eh?

"Saya ada tanya kawan saya. Memang mereka dilatih begitu. Terdapat perbezaan kelas. Kasta atas dengan kasta bawah," kata En. Khatib sambil ketawa.

Saya turut ketawa.

Malam itu saya bersembang dengan seseorang tentang hal ini.

"Ah kamu. Mana boleh anggap begitu. Aku ni memang jenis tak bergaul dengan kejiranan sebelum masuk PTD. Takkanlah nak kata PTD macam tu."

Saya diam.

"Sebab itulah kamu terpilih," balas saya selamba.

Dia diam. Susasana cengkerik melingkari kami.

Hahah.

Satu perkara yang boleh difikirkan apabila ingin menjawat jawatan PTD.

Ahad, 28 Julai 2013

Bisnes Tuisyen lagi?

Saya rehat sebentar setelah penat berFB.

Tiba-tiba deringan telefon bimbit berbunyi. Nombor yang tak dikenali tertera. Pelik.

Kedengaran suara lelaki memberi salam. Saya menjawabnya dan ingin tahu siapakah gerangan ini?

"Saya En. Khatib. Awak masih berminat buka pusat tuisyen tak?"

Terus minda saya ligat berfikir. Di manakah saya kenal akan topik ini? Oh!

"Berminat. Tetapi bukankah sudah lama?"

"Oh tak mengapa. Esok pagi selepas solat Subuh kita berjumpa di hadapan surau untuk berbincang."

Kami tutup dengan salam.

Saya berfikir lagi. Saya tiada pengalaman. Dahulu pernah ditawarkan tetapi saya berfikir panjang. Bukan tidak mahu menerima rezeki tetapi bebanannya besar.

Setelah berfikir sejenak, saya teringat akan pengetua pusat tuisyen saya. Pengalaman dia lebih banyak. Mungkin saya boleh majukan kepadanya untuk tindakan lanjut.

"Kak, saya mendapat tawaran buka kelas tuisyen. Tempat disediakan. Hanya perlu uruskan sahaja."

Alhamdulillah Kak Zu setuju.

Selepas berbincang pada pagi tadi bersama En. Khatib, dia mengatakan perlu cepat kerana tempat yang telah ditempah sudah 3 tahun tidak beroperasi.

Insya-Allah jika menjadi, pertengahan Syawal akan bermula pusat tuisyen ini kecil-kecilan.

Satu pengalaman baharu buat saya. Satu pekerjaan baharu buat saya juga.

Ahad, 9 Jun 2013

Preskripsi pakar atau tukang komersial?

Kebelakangan ini mata saya asyik kabur sahaja (mungkin sebab sakit mata dahulu?). Lagi, badan saya terasa lemah. Asyik rasa mengantuk sahaja. Terutama selepas makan atau pun selepas membaca. Ada tanda badan saya lemah.

Kemudian naqib saya pesan mungkin saya perlukan suplemen.

Semalam saya singgah di sebuah kedai farmasi di Putrajaya. Saya ingat nak beli 2 jenis suplemen. Satu untuk mata dan satu lagi untuk badan.

Farmasi yang terkandung ubat-ubat mahal serta pekerja-pekerja cantik.
Oleh kerana ilmu farmasi saya ini sangat cetek, saya amat berharap kaunter diagnosis di kedai ini dapat membantu.

"Amoi, boleh cadang apa suplemen sesuai untuk saya? Mata saya kurang jelas dan badan asyik letih," kata saya kepada petugas di kaunter diagnosis.

"You boleh cuba ini," sambil menunjuk kepada kotak Natberry Plus tablets. Perkara pertama yang saya baca adalah harga. Termengkelan juga lah apabila melihatnya. RM125!!! Mak aih. Mahal sungguh.

"Tak apa. You boleh cuba satu strip dahulu. RM10 sahaja," sambil dia mengeluarkan sepapan yang mengandungi 10 biji Natberry Plus Tablets.

"Ini nenek saya makan sangat bagus. Mata dia pun sudah kurang letih."

Aik. Itu nenek kamu. Aku ini muda lagi le, getus saya dalam hati.

"Untuk badan pula?" soal saya.

Amoi itu membawa saya ke rak vitamin B+. Kali ini cepat sungguh saya mengatakan, "Harga pelajar ya amoi."

Dia seperti faham terus menunjukkan kotak-kotak ubat yang sudah terbuka. "Ini dalam strips. You boleh cuba dahulu. Kalau ok you boleh beli satu kotak," sambil tunjuk kotak Nervit B Forte Tablet.

Mak aih! RM118. Mahal bangat ni seh. Tak ditanggung teman membeli ni!

"Tak apa, you boleh cuba satu strips, RM5.50 sahaja," pujuk amoi itu.

Pada asalnya saya memang bercadang hendak membeli sekotak. Tetapi memandangkan harga kebanyakan barangan di sini semuanya mahal belaka, baik saya mencuba sepapan dahulu.

Terus, 2 papan Nervit B Forte tablet dam satu papan Natberry Plus tablets sedia untuk dimakan oleh saya.

Balik sahaja dari farmasi, saya gunakan teknologi pencarian maklumat dengan Atuk Google.

Rupanya harga Natberry Plus Tablets ini tidaklah mahal di laman web CCM. RM25 lagi murah dari farmasi tersebut. Ish. Nampaknya saya kena beli online lagi murah. Tetapi harus saya mencubanya dahulu untuk melihat kesan suplemen ini terhadap mata saya. Sama ada ia baik atau biasa sahaja.

Untuk badan letih, dia sarankan Nervit B Forte Tablet.

Saya google dan mak aih, tak kan lah. Mengikut maklumat Atuk Google, Nervit B Forte ini untuk orang sakit kronik. Erk. Tidak mungkin aku sakit kronik.

Preskripsi salah daripada amoi cantik. Aish. Saya sudah terbeli 2 papan. Terpaksa la telan untuk 20 hari ini.

Jadi, apa yang nak dipercaya? Atuk Google atau amoi di farmasi? Atau saya perlu pergi ke PKU UPM, minta nasihat Dr.?

Bagaimana dengan kalian? Ada makan suplemen tak? Jom kongsi pengalaman dengan saya yang kurang ilmu ini. Uhuks.

Jumaat, 24 Mei 2013

Dunia yang mengecewakan

Dunia. Sering ia diingatkan bahawa penjara buat yang beriman, syurga buat yang kafir.

Janganlah kita letakkan hati kita kepada dunia. Sesungguhnya dunia ini hanyalah tempat kita menanam amal ibadah. Akhirat kelak tuaian kita itu.

Sedang saya berehat di bilik saya terdengar bunyi hon kereta di bawah kuarters dan dum.. bunyi hentakan kecil kedengaran.

Saya lihat sepasang suami isteri keluar dari kereta honda putih. Saya lihat seorang remaja lelaki dari jauh berbaju merah di panggil oleh suami itu.

"Woi! Nak lari mana! Mari sini!" jerit lelaki berbaju hitam berbelang putih itu. Saya tak dapat lihat dia menaiki motorsikal ataupun kereta.

Remaja itu datang perlahan mendekati kereta putih itu.

Dibeleknya plat hadapan kereta tersebut.

"Sorry bang, saya tak perasan tadi."

Saya tak pasti apa yang langgar apa, tetapi yang saya tahu kereta honda putih itu patah plat hadapannya. Mungkin akibat terlanggar kereta remaja itu.

"Kau buta ke, ha? Bawa kereta pun tak reti ke? Pakai main brek je. Ingatlah orang belakang!" jerit si isteri sambil mendukung anak perempuannya. Terus dia membebel lagi sambil budak itu duduk diam membelek plat keretanya.

Pelik kan? Kemalangan yang tidak melibatkan nyawa. Hanya benda kecil sahaja tetapi manusia boleh bergaduh. Hilang adab sebagai seorang wanita. Gah bagaikan emak yang kehilangan anak. Terus menghamburkan kata cacian dan makian kerana nafsu amarah menguasainya.

Mereka melepaskan budak itu dengan bebelan. Saya lihat si isteri terus membebel di dalam kereta. Si suami hanya diam. Habis rosak hari pasangan suami isteri itu hanya kerana kerosakan plat kereta yang tak sampai puluhan ringgit, jika dibaiki. Dan mereka memilih untuk kekal mengingati peristiwa ini sebagai peristiwa memeritkan di pagi Jumaat mereka.

Dunia. Bagi yang masih alpa dengannya, terus ralit memikirkan apa yang terbaik untuk dirinya. Terus terasa walau sedikit barangan milik mereka di dunia rosak. Terus kecewa. Terus menangisinya.

Akhirat... siapakah yang tahu bahawa itu lebih kekal selamanya?

Selasa, 5 Mac 2013

Teh O Ais di Ekspo Buku Islam Putrajaya

(peringatan: kerana kemalasan, saya kemaskini berita yang sudah lama. Harap maaf.)

Beberapa hari lepas saya berkunjung ke Ekspo Buku Islam di Putrajaya. Saya telah mendapat baucer buku 1Malaysia, jadi terfikir untuk meluangkan masa di sana jika ada buku-buku yang menarik untuk saya beli.

Ekspo Buku Islam di Putrajaya.

Ternyata buku-buku di sana dijual dengan potongan harga istimewa. Kebanyakan 'booth' membuat tawaran penjualan buku sehingga 20% diskaun.

Apa yang mengejutkan saya pula, 'booth' Dewan Bahasa dan Pustaka membuat 50% diskaun! Saya terus membeli mana-mana buku yang berkenan di hati. Habis 2 baucer di tangan.

Lagi, saya lihat di 'booth' Institut Terjemahan Bahasa Malaysia (ITBM). Banyak juga buku-buku yang saya berkenan. Apa lagi, 2 baucer dihabiskan di situ juga.

Saya pusing pula di 'booth' Islamik. Wahhh! Terdapa pelbagai versi al-Quran terjemahan. Siap ada yang berwarna-warni. Hati tertaut dengan satu yang berharga RM70. Apa yang menariknya, ia juga disertakan diskaun. 1 lagi baucer diberikan.

Dengan ini habis 5 baucer buku 1Malaysia saya dibelanjakan di ekspo ini.

"Jom makan tengah hari," ajak kawan saya.

Nasib baik saya tahu kafe ada di sini kerana saya pernah bekerja di Jabatan RELA di Persint 3 ini.

"Harga teh O ais sini RM1.20," ujar kawan saya.

Kami memandang dia seakan faham apa yang dia maksudkan itu.

Di fakulti Agrobio, teh O ais sahaja sudah berharga RM1.50. Alasan peniaga adalah mereka guna air dan teh berkualiti. Walahal guna teh Bo jeh.

"Pernah kawan aku minta air suam," kata kawan saya Cik Yah. "Mak cik tu cas 20 sen. Angin dia. Takkan lah air suam pun nak cas? Mak cik tu kata berlaku penyulingan rumit dalam tanki air suam." Cik Yah mencebik muka tanda tidak puas hati.

Kami semua ketawa mendengar kisah itu.

Bagi saya, lebih baik saya bawa botol air dari rumah. Lagipun, rumah saya guna air tapisan BioAura (agak tidak malu di situ. Heh).

--

Nota:
1. Teh O ais di luar lebih murah berbanding di kafe Fakulti Agrobio.
2. Selalunya air suam diberi percuma.
3. Lebih baik bawa bekal air sendiri. Boleh jimat dan selamat.

Rabu, 20 Februari 2013

Pengalaman mengajar Sains #2

(sambungan kisah Pengalaman mengajar Sains)

Dari awal pagi sehinggalah lewat petang saya rujuk buku rujukan PMR yang saya beli minggu lepas. Saya cuba memahami tajuk 'Pembiakan' agar mudah untuk saya sampaikan ilmu yang ada kepada bakal pelajar saya nanti.

Yelah, saya tak nak nanti tersilap mengajar pada sesi pertama saya ini.

Buku matematik tidak saya rujuk sangat. Kerja mudah sahaja untuk ajar matematik ini.

Yang penting saya fokuskan kepada Sains nih.

Saya datang awal ke Pusat Tuisyen. Cadangnya nak merisik berapa orang pelajar saya dan siapakah mereka.

"Assalamualaikum kak," sapa saya. "Berapa orang pelajar perlu saya mengajar sebenarnya kak?"

"8 orang sahaja dik. Tak banyak. Ini kertas latihan yang kami sediakan. Adik akan ajar matematik dahulu kemudian diikuti Sains."

Alhamdulillah, syukur. Nasib baik matematik mula dahulu. Tak perlu pening kepala nak terang istilah-istilah pelik.

Sabtu, 2 Februari 2013

Ertinya bermula sambil bertanya


Takut. Cemas. Tak tahu. Allah. Terasa lemah sahaja bila tiada pengalaman nak ajar anak orang. Yelah. Saya ini bukanlah pelajar aliran pendidikan. Keliru mana nak mula dan teknik terbaik mengajar.

Awal matlamat nak dapatkan duit, namun kemudian setelah mendapat nasihat daripada rakan alam maya, niat perlulah ikhlas kerana Allah. Insya-Allah rezeki akan Allah cukupkan. Terima kasih saya ucapkan.

Termengkelan seketika. Kembali muhasabah diri. Jika tidak mula sekarang bila lagi saya akan mula? Mungkin bertanya boleh, tapi kalau asyik bertanya tetapi tidak melakukan sebarang tindakan, ia ibarat menunggu buah yang ada di atas pokok. Entah bila ia akan jatuh...

Ia samalah seperti awal saya mula berblog. Memang saya bermula dengan kosong. Ada jugalah saya membaca dua tiga buah buku tentang blog tapi sungguh saya tak faham apa saya baca. Saya buat blog untuk seketika. Kemudian tinggal entah sudah berapa ia berhabuk.

Kemudian ada pula rakan saya yang sudah mula berblog. "Eh, blog susah la." kata aku kepada dia.

"Tak lah. Tulis sahajalah. Nak sempurna bila lagi?" jawab dia.

Ya cabarannya banyak. Apabila mula aktif blog barulah saya belajar satu demi satu apa itu blog. Ia samalah seperti ketika saya ambil jurusan hortikultur. Saya tidak boleh terus faham apa itu hortikultur dan bagaimana hendak mempraktikkannya dalam kehidupan.

Saya melalui proses 4 tahun dibasuh dan diasah untuk mengenali keindahan hortikultur. Setiap subjek yang saya ambil mula mendatangkan makna kepada saya apabila saya mula mempraktikkannya.

Sama juga lah seperti saya mula mengajar ini. Ya saya mempunyai pengalaman yang amat sedikit. Tapi saya yakin dengan, usaha dan doa, insya-Allah akan ada pertolongan daripada Allah. Bukankah Allah itu Maha Pemurah dan Penyayang terhadap hamba-Nya?

Saya ini bukanlah orang jenis 'perfectionist' atau terlalu suka akan kesempurnaan. Saya jenis belajar sambil mengamalkannya.

Buktinya, blog ini. Seperti saya katakan, ia bermula hujung 2010 dan 2011 mencatat arahnya sehinggalah kini.

Dari situ juga saya belajar bahawa blog ini ada caranya. Ada yang peribadi ada yang komersial. Namun asasnya tetap sama, iaitu memudahkan pembaca membaca blog kita. Jika tidak, kenapa kita berblog? Hanya suka-suka? Jika begitu pergi beli sebuah diari di kedai buku dan catatkan luahan isi di situ sambil letakkan beberapa 'aksesori' merimaskan.

Dengan ini, saya memulakan lafaz bismillah, untuk mengajar anak orang tentang ertinya bahasa Inggeris.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ