Rabu, 2 Januari 2013

Di sebalik hari yang cerah


Suasana hari ini cerah. Mentari naik menyinari suasana pagi ini. Terasa dingin pagi kala aku bangun untuk melakukan ibadah wajib.

"Apakah perlu aku buat hari ini?" getus aku usai solat Subuh.

Seperti biasa aku capai kitab al-Quran buat bacaan rohani di pagi ini. Kemudian aku melakar beberapa gambar bagi latihan peta minda aku. Pemikiran kreatif tidak datang secara kebetulan. Ia datang dengan latihan kerana pemikiran kreatif termasuk dalam kategori kemahiran.

Aku memandang jam di skrin laptop. Sudah 8 pagi rupanya.


Aku bersiap sedia untuk pergi ke perpustakaan. Ada beberapa buku ingin aku pinjam dan baca. Artikel-artikel yang aku tulis perlu dikemaskini dengan maklumat betul. Jika tak, aku takut nanti aku menjadi penyebar fitnah pula.

Jam tangan aku menunjuk pukul 10 pagi. Aku mengambil keputusan untuk membaca surat khabar dahulu. Pentingnya aku yang ingin menjadi seorang penulis bebas mengetahui isu semasa. Ia menunjukkan bahawa aku kisah apa yang berlaku di sekeliling aku. Namun tak semestinya aku perlu baca apa yang tak perlu aku baca.

Ketika memasuki blok B, aku lihat tidak ramai orang bertandang di sini. Kelihatan surat khabar News Straits Times di rak surat khabar.

Aku capai dan belek-belek apa yang baru di bumi Malaysia.

Kemudian aku belek pula akhbar Utusan Melayu. Seperti biasa ia penuh dengan kata retorik kerajaan. Yang  baik dimeriahkan, yang buruk disembunyikan. Biasalah. Ia lidah kerajaan, fikir aku.

Akhbar-akhbar lain tidak aku sentuh. Cukuplah dua surat khabar berlainan bahasa untuk aku hadam hari ini. Nasib baik aku tak faham sangat bahasa Cina. Jika tak, akan ku baca juga Nyang Nyang Sian Paw dan Sin Chew Daily. Selalunya akhbar kauvinis ini selalu memaparkan berita lain daripada akhbar-akhbar yang aku faham.

"Encik, saya ingin bertanya, buku yang saya tempah telah ada dipulangkan atau belum?" tanya aku pada kaunter peminjaman buku. Terdapat buah buku yang ingin aku baca dan kuasai. Aku target 3 bulan untuk menguasai buku itu. Ia lama kerana aku bukanlah pelajar di dalam bidang sains komputer.

Buku cara penghasilan laman web bukanlah mudah untuk dikuasai jika seseorang itu bukan alirannya. Namun, ia tidak menjadi masalah jika minat dan azam ada.

"Maaf. Ia belum ada lagi. Nanti bila ada, kami akan hantar emel pemberitahuan," jawab ringkas pegawai yang bertugas.

"Terima kasih."

Dua buku yang pernah aku pinjam ingin aku cari semula. Aku ingin mengkaji isinya semula. Memang buku-buku itu juga tidak berkaitan langsung dengan bidang sarjana yang sedang aku ambil ini, ia tidak bermakna ia tidak berguna untuk penulisan aku nanti.

Alhamdulillah. Sekali lagi Google membantu aku. Carian di katalog sistem buku perpustakaan U aku tidak begitu baik sebagaimana Google berfungsi. Walaupun beberapa kata kunci aku letakkan tetap tak membawa aku sedikitpun ke arah apa yang aku cari.

Teringat aku akan pesan petugas di kaunter pertanyaan, "Adik Google je. Kemudian salin maklumat ISBN dan tampal pada carian WEBOPAC." Dan itulah yang aku lakukan sekarang.

Aku makan tengah hari bersama rakan aku hari ini di Padang. Nampaknya cuaca mula mendung, petanda akan hujan petang ini.

Tekaan aku tepat. Bermula sekitar jam 4 petang, hujan mula turun di kawasan kuarters aku tinggal. Lebat. Sangat lebat dengan bunyi guruh bergema.

Itulah hari... seperti kata pepatah Melayu, disangkakan hari cerah sepanjang hari, tapi hujan pula pada petangnya.

4 mengomel

Ia di bawah kategori Cerpen. =)

yup. Jalan ceritanya seakan cerpen, namun ia juga travelog. Tidak bermakna ia tidak berlaku.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon