Di bawah naungan Illahi

Berbual
Pin It

Maafkan aku kawan. Aku tak dapat nak menegur kau seperti yang engkau mahukan. Aku takut. Ya takut walaupun sudah lama kita berkawan.

Engkau lebih hebat daripada aku. Kau mampu berbicara bersama orang lebih tua daripada kita. Engkau mampu menjayakan program-program hebat. Engkau mampu mengendalikan orang ramai.

Aku pula... siapalah aku. Bak kata orang, bagaikan melukut di tepi gantang.

Aku masih ingat kala kita berkenal. Sewaktu itu aku sedang berjalan-jalan berseorangan di taman universiti. Kala aku hendak melintas jalan engkau secara tiba-tiba muncul di hadapan aku dengan basikal. Aku terjatuh dan meradang kesakitan.

Engkau cepat-cepat bangun dari basikal dan terus menerpa aku. Bertanyakan kesihatan aku, walhal basikal engkau telah tercampak ke dalam longkang.

Kau bawa aku ke tepi. Puas aku katakan aku tiada apa-apa namun engkau tetap berkeras ingin membawa aku ke pusat kesihatan. "Tak mengapa. Kolej saya dekat sahaja. Saya boleh balik ke bilik untuk berehat." Aku bangun. Kau turut bangun.

Tetap dengan kedegilan itu kau menuruti aku ke bilik.

"Nama saya Luqman. Luqman Al-Hakim." Duduk kau di katil bilik aku.

Aku diam. Tak pernah terfikir akan ada sampai ke bilik kau datang membawaku. Cedera ringan sahaja.

"Nama saya Ahmad Musalmah," balas aku.

Tidak berapa lama kemudian engkau pulang selepas mengambil nombor telefon bimbitku. Kita bertukar nombor telefon.

"Nanti ada masa, insya-Allah saya datang melawat Ahmad. Saya betul-betul minta maaf atas kejadian tadi."

Aku hanya menangguk. Sudah tidak larat untuk membalas. Tak mengapa. Cedera sedikit sahaja. Bukan kena langgar kereta. Namun kau masih dengan sifat minta maaf.

Sedang aku ralit membaca novel 'Harry Potter dan bilik rahsia', telefon bimbitku bergetar. Tertera "Luqman" di skrinnya. Hairan. Selama aku tinggal di sini tidak pernah ada kawan yang menelefon aku jika tiada tugasan yang ingin dikhabarkan. Malah Azmi, kawan sejurusan dengan aku pun jarang menelefon aku. Hairan, walhal kita baru sahaja berkenalan.

Engkau bertanyakan khabar. Entah berapa lama kita berbual.

"Malam ini saya datang ziarah kamu. Insya-Allah lepas Isyak."

Aku mematikan perbualan dengan membalas salam.

Pelik. Entah mengapa hati ini terasa gembira. Aku angkat kain baju yang di lantai. Aku susun buku di meja. Aku sapu pasir yang ada di bilik.

Ada tetamu yang hendak hadir.

Sebenarnya aku tidak berharap kau datang pada malam itu. Bilik aku ini hujung sekali di tingkat atas blok. Selalunya yang datang menyapa hanyalah Amir di bilik sebelah kala kami berselisih sama ada ingin ke bilik air ataupun ke kelas.

Ramai juga yang berjanji untuk datang ke bilik aku. Namun penantian selalu menghampakan. "Maaflah ada hal." Aku diamkan sahaja.

Tepat jarum jam di dinding bilik menghala 9, aku terdengar bunyi ketukan bersertakan salam. Aku mempersilakan kau masuk.

Kita bersembang sambil memakan buah epal. Sedap. Pandai kau memilih buah.

Entah mengapa sejak dari itu, hidup aku seperti berubah sedikit demi sedikit. Jika dahulu aku suka berjogging seorang diri di taman. Aku lihat ramai manusia berdua-duaan. Tidak kira mereka itu sudah berkahwin atau belum. Walhal tidakkan mereka sedar ada makhluk yang ketiga di antara mereka?

Aku lihat orang menendang bola. Riang mereka bermain dan bersorak. Itu bukanlah permainan aku. Menghabiskan masa di tengah malam hanya untuk bersorak di kedai mamak. Itu bukanlah permainan aku.

Kini engkau selalu pula datang mengajak aku berjogging bersama. Aku endahkan sahaja. Selama ini aku sudah ajak Amir untuk turut serta. Dia menolak. Katanya ingin bermain bola. Biarlah sekali sahaja aku mengajak.

Sepanjang berjogging, engkau diam tidak bersuara. Sekali sekala aku terpandang muka kau, aku terlihat raut wajah senyuman. Aku pelik. Namun aku endahkan sahaja.

(bersambung)

Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 mengomel:

Catat Ulasan

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia