Bicara Rakan tentang Impian

3 bualan
Pin It

Saya mempunyai seorang sahabat yang saya senang bersembang. Kami telah berkawan sejak saya mula pindah ke sebuah kolej tradisional di UPM. Dia baik orangnya. Selalu berada di sisi saya ketika saya bersembang tidak kiralah bergosip sehinggalah bercerita tentang keluarga. Terlalu baik bagi saya.

Saya seronok bersembang dengan dia. Dia mempunyai ilmu yang banyak dan tidak terhad kepada bidang yang dia belajar sahaja. Orangnya tinggi berbadan besar dan kulitnya putih mulus. Kacak juga orangnya. Hatinya lembut dan berjiwa...

Setakat itu sahaja saya dapatkan gambarkan perilaku dia. Semalam saya berjumpa dengan dia untuk bersembang tentang peristiwa bulan sabit saya. Entah kenapa sejak dua menjak ini saya akan ada perasaan tidak begitu selesa bersembang dengannya. Walhal dahulu elok sahaja kami meluahkan apa yang terbuku di minda untuk perkongsian bersama.

Saya berfikir panjang untuk mengetahui perasaan itu sehingga saya terlelap dan terjaga di awal pagi ini. Usai solat Subuh, saya seperti mendapat jawapannya.

Matahari mula terbit menyinari tetingkap kuarters yang saya tinggal. Burung mula berkicauan tanda mencari rezeki di hari bakal indah ini. Embun pagi mula tersejat dek pancaran matahari.


Orang yang tiada pegangan ibarat
kapal yang terumbang-ambing
di tengah lautan luas.
Saya termenung memikirkan jawapan yang saya takulkan itu. Mungkin ia salah mungkin ia benar. Tapi saya perlu letakkan pegangan pada jawapan saya itu agar saya tidak seperti kapal yang hilang layar di tengah lautan bergelora ini.

Ya, hidup memang bagai mengembara di lautan. Ada hari ia tenang, ada hari ia mengganas bagai ingin menenggelamkan kapal yang kecil ini. Jika kita tidak meletakkan layar yang kukuh pada kapal kita, pasti kita hanya akan terumbang-ambing di tengah lautan luas. Tidak tahu ke mana arah tuju.

Mungkin dahulu bagi saya dia sahajalah sahabat yang terbaik. Sahabat yang selalu berkongsi kisah gembira dan duka. Namun, Allah itu Maha Mengetahui. Allah membuka mata saya dengan memperkenalkan saya lebih banyak sahabat.

Dan betullah kata nabi,  bermaksud:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari)

Saya tidak katakan dia tidak soleh. Apa yang saya maksudkan ialah impian. Setiap kali kami bercerita tentang impian, suasana menjadi hambar. Saya tidak terasa terinspirasi untuk menggapai impian. Tiada keinginan yang membara antara kami kala berbicara tentang masa hadapan. Ia mendatar sahaja. Tapi tidak pula apabila mengata tentang orang. Hurm...

Ini berlainan sungguh apabila saya berbicara dengan adik saya. Mahupun sahabat yang mempunyai impian yang tinggi.

Saya tak salahkan dia untuk tidak ingin menggapai impian yang tinggi. Saya salahkan diri saya yang tidak mampu mengajak dia untuk mencipta impian tinggi. Dan dengan impian itu kita menetapkan matlamat yang besar.

Saya percaya hidup ini bukanlah untuk hidup biasa-biasa. Jika tidak masakan kita dituntut untuk menetapkan matlamat untuk berada di Syurga? Dan syurga itu bukanlah syurga peringkat biasa tetapi syurga di peringkat yang kita akan berjumpa dengan Rasullullah SAW setiap hari.

Dia mempunyai banyak idea. Terlalu banyak bagi saya. Cerita yang dia kisahkan begitu memberi saya inspirasi untuk menulis sama ada melalui percakapan mahupun blog. Namun, dia sendiri tidak yakin dengan diri sendiri untuk menggapai bintang di langit.

Alasannya ringkas, "Aku malas."

Budak kecil yang mencengkam
hati...
Saya tidak percaya dia malas. Saya tahu jauh di sudut hatinya itu ada satu budak kecil yang selalu menghasutnya. Budak kecil itu sangat jahat sehingga mengakibatkan sahabat saya itu selalu rasa rendah diri untuk mencapai impiannya.

Tidak. Budak kecil itu namanya bukan malas. Ia lebih teruk daripada itu. Ia satu yang mencengkam jiwa setiap orang yang mempunyai impian tetapi impian yang setakat mencapai tinggi setinggi KLCC sahaja.

Namanya takut. Takut untuk mencapai kejayaan. Takut dengan kejayaan yang bakal dicapainya bakal merubah hidupnya sepenuhnya dari A sehingga Z.

Untuk itu, dia memilih untuk kekal biasa. Menjadi budak kecil itu sebagai teman akrabnya.

Saya tidak mampu untuk mengusir budak kecil itu kerana ia sudah berada jauh di sudut hati rakan saya. Saya hanya mampu berdoa agar rakan saya sedar akan budak kecil itu. Hanya kepada Allah sahaja lah saya memohon.

Saya yakin bahawa saya tidak mampu mempengaruhinya selagi Allah tidak membenarkan hatinya untuk berubah berpaling daripada kekangan budak kecil itu.

Saya hanya boleh berkata "Suatu hari nanti, aku yakin kamu akan kembali ke jalan yang diredhai Allah, sahabatku."

Ameen.
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

3 ulasan:

  1. kadang-kadang dalam kehdupan ini kita rasa kita dah cukup kenal seseorang tu.. tp yang sebenarnya lagi banyak kita tahu tentang dia lagi banyak sebenarnya yang kita tak tahu..

    BalasPadam
  2. takut... iye... ramai orang yang biasanya takut dengan bayang-bayang sendiri... menyebabkan mereka hanya berada di takuk yang lama :(

    BalasPadam
  3. @Puan LiYa dan bro Baguznet
    Begitulah kehidupan bersahabat. Sukar menjangka apa yang tertanam dalam hati dan minda mereka. Yang penting, kita lakukan terbaik menasihati mereka apabila perlu.

    BalasPadam

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia