Selasa, 23 Julai 2013

Mendapat Tukul Thor daripada SV

Kelmarin saya mendapat SMS daripada SV saya. Hati saya berdegup kencang. Selalunya jika beliau SMS alamatnya ada la perkara yang ingin dibincangkan. Dan bukan semuanya khabar baik.

"Salam. Wong, di mana kamu? RVSP saya esok."

Aiseh. Dr. dapat kesan saya tidak hadir ke bilik siswazah selama seminggu. Minggu lepas saya balik kampung untuk merawat sakit mata saya. Saya sudah tawar hati dengan beberapa khidmat Dr. di PKU. Yelah mereka bukan pakar mata.

Ibu mencadangkan saya balik ke kampung dan merawat di sana.

Tepat 9 pagi saya masuk ke bilik siswazah meletakkan barangan saya. Saya lihat bilik SV saya berkunci. Lebih elok saya tunggu sehingga beliau ada sebelum berjumpa dengannya.

Sedang saya membuka laptop, kedengaran suaranya. Ahah. Beliau sudah hadir.

Bergegas saya pergi berjumpa dengannya.

"Ha! Mi, apa cerita?" soal beliau.

Entah kenapa, beliau selalu menggelar saya Mi. Serius nama saya langsung tiada gabungan M dan I secara bersebelahan!

"Errr. Begitu la Dr." jawab saya pula.

"Ada update terbaru? Sudah pecah batu bata simen? Berapa kg?"

"Tak sempat Dr. Saya balik kampung merawat..."

"No no no. I don't want to hear excuses."

Alamak. Saya tahu saya sudah tersilap langkah berbicara. Yelah. Sebagai seorang ketua saya juga mahu mendengar "siap" daripada anak buah saya. Alasan hanya buat si pemalas.

"Itu lah kamu ni. Bila nak maju?"

"Ok Dr. Saya akan update nanti." Cepat saya mengatakan ya bagi menamatkan perbualan ini. Berdasarkan pengalaman, beliau pasti akan berleter panjang. Menasihati. Uhuks. Kalau orang muda jarang nak dengar ni!

"What I want to hear is 'done'."

"Ok Dr. Saya faham." Sambil saya mengundur diri ke belakang. Perbicaraan perlu cepat tamat!

"Kamu pecah bata guna apa?"

Saya berhenti seketika. Berfikir jawapan apa nak diberikan. Saya tak mula apapun!

"Tukul kecil diambil dari rumah saya."

"Tak apa. Kamu guna tukul kita. Lagi besar." Beliau bangun dan menyuruh saya mengikutinya mengambil peralatan dari makmal.

Yeah! Kini saya ada kuasa memecahkan bata simen!

"Nah tukul 2 kg. Cukup? Atau kamu nak lebih besar lagi?"

2 kg? Oh ini sudah memadai. Tak perlu besar sangat. Lainlah kalau saya ingin memecahkan dinding fakulti ini!

Saya hanya mengangguk tanda 'ini sudah ok'. Tak mahu bicara banyak. Takut nanti banyak lagi disoalnya.

Petang itu saya menukul. Dengan tukul 2 kg ini sahaja sudah boleh memecahkan batu bata yang saya kumpul (baru 2-3 ketul).

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon