Khamis, 1 November 2012

Sampai bilakah keghairahan Facebook akan reda?


Ia satu persoalan menarik untuk diutarakan kini. Dalam masa 8 tahun sahaja kita boleh lihat Facebook meningkat penggunaan. Dikatakan facebook telah mencapai 1 billion pengguna pada bulan September lalu. Ia satu angka yang cukup mengangumkan!

Facebook kini diguna hampir semua orang yang bercapaian Internet dari umur 8-70 tahun mengikut statistik yang dikeluarkan Facebook. Bayangkan orang tua pun tahu guna Facebook.

Bagi saya, Facebook ini sebagai pelengkap kepada emel yang bosan. Menambah baik fungsi emel kepada fungsi sosial secara tidak langsung. Cuma kita akan dapat kelemahan apabila dunia berada pada zaman maklumat ini.

Zaman maklumat bererti zaman gangguan. Kita akan kurang fokus dalam melakukan kerja. Sekali buka laptop atau komputer, akan ada web browser, yahoo messenger, Facebook, emel, muzik, TV dan pelbagai lagi. Huh!?


Saya buka Facebook pun sudah makan masa 10 minit untuk mengelek tetikus melihat berita-berita terbaru di Facebook. Dahulu makan masa 30 minit, tapi telah turun ke 10 minit dengan teknik sekilas pantas. Baca 'notification' dahulu, gelek, dan komen kemudiannya.

Jarang saya hendak letakkan status online di Facebook chat. Saya tidak mahu gangguan dan tidak mahu dicopkan 24 jam berwajah buku sahaja. Itu sangat bahaya!

Antara kelebihan Facebook adalah ia dapat membuatkan kita terasa bersama membesar bersama orang yang jauh dari kita. Saya dapat lihat status-status rakan-rakan saya walaupun kami sudah berjauhan. Kami masih terhubung hanya dengan Facebook. Ia satu yang melegakan.

Kerana saya hanya menghadkan kawan Facebook saya kepada orang yang saya kenali sahaja. Agak sukar untuk saya lepaskan status saya kepada orang yang saya tidak bersemuka di alam realiti. Apatah lagi tidak pernah bersembang mesra melebihi 30 minit.

Saya menjaga profesionalisme saya sebagai seorang pelajar. Saya tidak mahu status saya yang bermaksud untuk berjenaka disalah tafsir orang yang tak dikenali. Biarlah orang yang mengenali saya mengadili saya seadanya (ini perkara sungguh!)

Persoalannya, apakah Facebook akan kekal ghairah di hati pengguna Malaysia? Untuk tahun ini, ya. Saya masih tidak nampak pesaing yang mampu menarik satu blok domino Facebook.

Mungkin di kalangan orang tua atau anak muda yang berfikiran ortodoks mengatakan Facebook ini satu bencana. Bagi saya tidak. Ia sama seperti telefon bimbit. Dahulu punyalah orang berkata telefon bimbit ini satu bencana dengan anak gadis bersembang dengan anak teruna sampai 2-3 pagi. SMS sampai tak ingat dunia. Tapi kini lain pula jadinya. Disokong sampai hendak berikan anak murid bawa telefon bimbit ke sekolah.

Jadi apakah kita umat Islam ini hanya tahu menolak pembaharuan dengan menggunakan dalil pembaharuan ini satu agenda tersembunyi orang Yahudi? Jadi mengapa kita tidak berusaha menukarkan ia sebaliknya?

Bagi saya apa yang penting adalah kita mendidik diri kita sendiri untuk mengetahui bagaimana mengendalikan sesuatu perkara dengan baik. Kita kena menerima bahawa perubahan pasti akan datang. Ia sama ada kita bersedia ataupun tidak. Jika tak, kita dilabelkan ketinggalan zaman.

Orang sudah sampai ke tingkat 10. Kita pula masih merangkak menaiki tangga tingkat 3. Berlari menjadi satu kemestian nanti apabila kita sudah ketinggalan. Cuma persoalannya adakah kita cukup kuat untuk berlari mengejar tingkat 10? Atau kita hanya akan tercungap-cungap apabila tiba di tingkat 5?

Sementara Facebook masih lagi ghairah diguna pakai oleh kebanyakan penduduk dunia, lebih baik saya mengambil kesempatan ini untuk belajar bersama. Saya tutupkan dengan satu kata hikmah yang saa baca dari komik-M, "Orang lain sudah mencipta kapal terbang. Tetapi saya masih bermain kapal terbang kertas."


bacaan lanjut:

  1. http://productivemuslim.com/did-muhammad-peace-be-upon-him-multi-task/
  2. http://mashable.com/2012/06/13/facebook-decline/

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon