Rabu, 28 November 2012

Kesan Wikipedia kepada Dunia


Wikipedia mungkin tidak boleh dipercayai, tetapi ia membantu saya dalam memahami subjek susah. Ia telah memudahkan apa yang susah dan membuka ruang baru untuk saya memahami lagi sesuatu perkara bukan berdasarkan kamus sahaja.

Wikipedia juga terbahagi kepada banyak bahasa. Ia tidak fokus kepada bahasa utama di dunia ini sahaja, malahan bahasa Jawa pun ada! Dan yang pasti bahasa Melayu juga berkembang.

Pernah saya lihat satu proposal untuk mencipta Wikipedia tulisan Jawi, namun ia tidak menjadi. Antara sebabnya ialah kekurangan perisian taipan jawi. Mungkin tulisan Arab ada tetapi jawi setakat ini saya lihat hanyalah secara online. Tambahan pula, penyumbang penciptaan dan pembaikan rencana di Wikipedia Bahasa Melayu adalah sangat kurang. Boleh kira dengan jari untuk penyumbang bagi kategori-kategori tertentu.

Saya fikir, masalah ini mungkin boleh diatasi jika rakyat Malaysia sendiri tidak berfikir terlalu kepada wang untuk mendapat keuntungan dalam berkongsi ilmu. Sebagai salah seorang editor WBM, saya lihat ada segelintir rakyat Malaysia yang cuba mempromosikan laman mereka di WBM. Ini jelas menunjukkan mereka terlalu mengejar kewangan sampai lupa akan erti keseronokan berkongsi ilmu sesama insan, terutamanya insan yang tidak pernah kita temui seumur hidup kita.

Antara alasan yang saya jumpa adalah "Saya ada perkara yang lebih baik untuk dilakukan daripada membuang masa di sini." Selalunya ia dilafazkan oleh orang yang menyumbang hanya sedikit di WBM dan sumbangannya tertumpu kepada rencana berkaitan mereka. Ini termasuklah artis-artis tempatan. Jangan terkejut jika anda terserempak rencana tercipta di WBM oleh artis itu sendiri.

Saya pula? Saya sumbang mana yang patut. Sungguh sukar untuk saya jumpa satu penulisan berilmiah dalam bahasa ibunda saya. Sungguh! Adapun rencana hortikultur menjadi titik permulaan saya mula menyuntin di WBM. Setelah itu saya teruskan niat baik saya untuk menyesuaikan kembali tahap keilmuan bahasa ibunda saya.

Saya tidak mahu ia luput ditelan zaman. Saya tak mahu ia disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab (perosak bahasa, penggemar bahasa rojak).

Untuk itu, saya tetap akan teruskan usaha saya menyumbang di WBM demi tanggungjawab saya sebagai seorang pencinta bahasa ibunda dan ilmu.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon