Rabu, 22 Ogos 2012

Mengaji al-Quran di masjid U


Daripada Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Berta'ahudlah kepada al-Quran (yakni peliharalah untuk selalu membaca al-Quran itu secara tetap waktunya), sebab demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, nescayalah al-Quran itu lebih sangat mudah terlepasnya daripada seekor unta yang ada di dalam ikatan talinya."
(Muttafaq 'alaih)

Kini, telah genap 2 tahun saya belajar mengaji al-Quran di masjid U. Sungguh saya tidak menyesali mengambil kelas bersama ustaz Hafiz.

Dalam hati saya ini selalu terdetik untuk mengaji bacaan al-Quran saya semula. Saya cemburu semasa di tahun pertama di UPM, teman sebilik saya selalu baca al-Quran sebaik sahaja dia usai solat Subuh. Saya pula ketika itu masih ragu-ragu dengan bacaan saya.

Saya teringin kalau teman sebilik saya itu mengajak saya baca bersama al-Quran. Sambil itu boleh lah dia memperbetulkan bacaan saya. Walaupun begitu, malu menguasai diri ini. Saya biarkan ia berlalu untuk sekian lama.

Saya tidak pernah pergi belajar ke sekolah agama rakyat. Saya hanya mengaji di rumah jiran sahaja ketika darjah 1-4. Ilmu tajwid memang susah melekat di minda saya ini. Yang saya tahu, kalau jumpa huruf ini dengan huruf itu bersama tanda sedemikian, perlulah begini dan begitu bacaannya.

Cuma apabila meningkat dewasa, bacaan saya bukanlah sebaik qari. Hanya bacaan orang biasa. Malahan lagi teruk. Tunggang langgang sebutan huruf Arab dan semestinya ada salah.

Saya tidak percaya mempelajari al-Quran secara digital mampu membuatkan saya baca dengan betul. Saya percaya berguru itulah cara terbaik mempelajari bacaan al-Quran dengan betul dan baik.

Saya masih teringin meningkatkan bacaan al-Quran saya. Saya mencari kelas-kelas pengajian al-Quran percuma di U. Namun, pencarian itu malap sehinggalah suatu ketika saya berada di semester ke-6. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terkandung dalam hati hambanya. Suatu hari selepas saya solat di masjid U, saya terlihat satu notis di tampal di papan kenyataan masjid.

Sungguh beruntung bagi sesiapa yang tinggal berdekatan masji U. Penuh dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat.

"Kelas mengaji al-Quran (dewasa) di Masjid U"

"Percuma"

Perkataan percuma itu sendiri telah menarik saya untuk mendaftarkan diri dalam kelas tersebut.

Esoknya saya pergi ke Pusat Islam Universiti, terletak bersebelahan dengan masjid U.

"Assalamualaikum kak. Saya pelajar tempatan ingin mendaftar kelas mengaji di masjid. Masih ada kekosongan tak?"

"Waalaikumsalam. Masih ada. Adik isi borang ini dahulu. Kalau ada apa-apa soalan boleh tanya akak."

Saya lihat borang tersebut. Ada tiga tahap. Saya daftar tahap 1. Saya mahu mula dari awal. Mahu membetulkan sebutan huruf. Saya yakin sebutan huruf saya masih di tahap rendah.

Di situ juga ada pilihan hari. Isnin dan Rabu. Selasa dan Khamis. Saya pilih yang pertama.

"Baik lah dik. Esok boleh datang kelas. Tempat di perpustakaan masjid U."

Esoknya saya datang. Terdapat 2-3 orang tua di situ. Alhamdulillah. Nampaknya saya bernasib baik tidak dikatakan terlewat belajar kerana yang tua itu menyejukkan hati saya ini.

Ustaz masuk. Dia memperkenalkan dirinya sebagai ustaz Hafiz.

"Ini adalah kelas pertama saya untuk kelas dewasa. Harap kalau ada soalan atau masalah semasa sesi kelas berlangsung, jangan segan bertanya yea." Seterusnya,  ustaz pun mula mengajar kami.

Kami bermula dengan surah al-Fatihah dan diikuti surah al-Baqarah ayat 1-10.

Ustaz akan baca dahulu dengan kami mendengar. Kemudian setiap seorang daripada kami akan membaca dengan ustaz mendengar pula. Masa ini lah ustaz akan membetulkan bacaan kami. Sambil itu, yang lain boleh memperbaiki bacaan mereka dengan mendengar kesalahan yang disebut oleh rakan lain.

Biasanya yang lelaki bacaannya kurang lancar. Kalau wanita, lancar dan enak didengari. Kurang ustaz menegur mereka.

"Cukup setakat ini sahaja. Kita sambung minggu depan pula nanti untuk sambungan ayat dalam surah al-Baqarah," ustaz menutup kelas dengan doa khatam al-Quran.

Begitulah aktiviti saya untuk hari Isnin dan Rabu seterusnya hinggalah kini. Ada masa-masa tertentu kelas akan cuti. Sama seperti cuti semester universiti. Cuma, ia mengikut jadual waktu yang telah disediakan oleh masjid U.

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya dapat memperbaiki bacaan saya. Saya berusaha untuk membaca al-Quran setiap hari.

Terasa sayu melihat golongan tua baru hendak mula belajar al-Quran. Ada yang masih merangkak-rangkak bacaannya. Mata mereka kurang jelas melihat huruf-huruf yang tercetak atas helaian al-Quran tersebut.

Apapun, usaha mereka itu sungguh murni. Masih ada saki-baki kesedaran dalam jiwa mereka walaupun usia menjangkau senja.

Semoga bacaan saya terus meningkat. Mungkin suatu hari nanti bacaan saya akan sama seperti qari dan qariah yang ada. Niat perlu pasang tinggi, baru lah ia mendarat tinggi juga. Dan yang pasti, semuanya hanya kerana Allah taala. Inginku mendapat reda-Nya, di dunia dan akhirat.

6 mengomel

Assalam,

Saya student upm juga dan skarang mencari2 kelas mengaji quran dan tajweed. Boleh bagitau ada lagi tak kelas mengaji quran kat masjid upm tu? lagi satu, memang campur laki pompuan ye ngaji?

boleh email saya utk info di delinn1612@yahoo.com. terima kasih

Waalaikumsalam.

Kelas sentiasa ada. Boleh tanya di Pusat Islam Universiti untuk maklumat lanjut.

Terima kasih.

Salam,
Saya bukan student upm tetapi duduk berdekatan upm. Boleh ke kalau saya nak masuk kelas mengaji ini?
Boleh email butir2 pada saya di isafinaz@yahoo.com ?
Saya ingin memulakan kelas secepat mungkin.

@Intan
Saudari boleh pergi Pusat Islam UPM untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Assalamu'alaikum...tahniah kerana mendapat taufik Allah untuk menyertai 'taman syurga' di pic upm. 13 tahun dulu (1999) saya seperti saudara juga, tercari-cari tempat untuk memperbaiki bacaan al-quran. Alhamdulillah..Allah mendengar doa saya dan ditakdirkan saya 'berjodoh' untuk berguru dengan Ustaz Haji Azhari Ahmad (imam 1 masjid upm ketika itu) dan khatam 30 juzuk selepas 5 tahun. Dari 35 orang peserta yang mendaftar pada awal kelas, yang berjaya khatam hanya 6 orang. Yang lain-lain 'syahid di medan perjuangan'! Ironinya saya kini berpeluang pula menyumbang bakti di pic sebagai pengajar sambilan kelas alquran selepas 9 tahun meninggalkannya....alhamdulillah. Kalau ilmu itu berkat dan kita ikhlas serta istiqamah mendapatkannya tentu Allah beri pula kita peluang untuk memanfaatnya.

Waalaikumussalam kak. Terima kasih atas perkongsian ini. Saya amat mengharganya.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon