Isnin, 27 Ogos 2012

Cinta Monyet yang sementara


Ya, setiap budak lelaki mesti ada kisah cinta monyet mereka tersendiri...

Siapa kata saya tiada pengalaman cinta pertama? Hmm. Saya pun tidak pasti jika ia digelar cinta pandang pertama, cinta ataupun hanya monyet di situ. Saya tidak pernah pun cintakan sang pencinta itu. Heh.

Sewaktu masuk tingkatan 1, saya berada di kelas separa-pandai. Ketika itu kelas-kelas di sekolah menengah saya terbahagi kepada 5 kelas. Semua kelas dinamakan bersempena nama bunga. Matahari, kelas bahasa Arab, dan untuk budak yang dapat UPSR 4A ke atas. Menyusul pula Alamanda, Kenanga, Siantan, dan Kekwa. Ia tersusun berdasarkan kepandaian murid-murid yang menghuni kelas masing-masing.

Saya terpilih di tengah. Kenanga. Ketika itu saya dan rakan-rakan riang belajar dan bermain. Sekolah hanya tempat pertemuan kami menjalankan agenda bualan kisah kami selepas sekolah.

Pada suatu hari, ketika asyik saya bersembang, seorang kawan yang saya kurang rapat, juga merangkap pengawas, memberi satu risikan kepada saya.


"Wong, kau ada peminat rahsia. Dia dari kelas Matahari. Amacam?"

Saya diam. Gugup untuk berkata. Betul kah atau dia hanya main-main?

"Aku pastikan dahulu. Katanya nak hantar surat cinta kepada kau."

Ah sudah. Malu aku dibuatnya.

Esok petang, sekeping surat risikan sampai ke tangan saya.

Saya buka dan baca. Entah mengapa minda saya langsung tidak dapat kembali mengingati isinya.

"Hei, jangan lupa balas," berlalu pergi si pengantar surat itu.

Tunggu! Siapa gerangan gadis ini?

"Usah risau. Aku akan tunjukkan nanti semasa balik sekolah."

Masa berlalu perlahan. Oh bilakah nak habis waktu sekolah ini? Ketika itu tingkatan 1-2 bersekolah sesi petang. 1pm -6.45pm.

"Hah! Itu dia. Yang parking dengan gadis pengawas merah itu. Berbasikal warna biru muda. Cun tak?"

Entah. Lalu, apa aku perlu buat dengan surat ini?

"Balas la. Apa dahhh..."

Ahh kau... kami berlalu mengucapkan selamat tinggal.

Aku diamkan diri selama sebulan. Keliru. Betulkah ini cinta? Atau hanya pengaruh rakan sebaya? Atau hanya mainan seorang gadis meminati budak lelaki persis Apek?

Di masa ini, tiada cikgu. Mereka sedang bermesyuarat di hari Rabu. Kami membentuk kumpulan sembang. Bergosip apa yang terbaru dalam kehidupan kami.

Ketika itu datang rakan aku, si pengawas, menyelinap masuk kumpulan kami.

"Aduh Wong! Kau ni kan. Lambat la."

Eh? Kenapa pula?

"Dia sudah minta putus cinta dengan kau."

Aku tergamam. Putus? Cinta monyet pun belum bergayut di pokok sudah minta putus? Aneh.

Oh kesiannya aku. Tak apalah. Jodoh di tangan Tuhan. Cuma entah kenapa, dalam hati ini ada semacam perasaan lega. Perasaan seperti baru sahaja melepaskan satu beban yang berat di belakang tengkuk. Seperti terlepas daripada hukuman tidak siap kerja rumah.

"Tak apa. Nanti kalau ada yang lain, aku roger kau."

Ish biarlah. Aku ini malu orangnya.

Semua ahli kumpulan memandang aku... Aku tersenyum sipu sahaja melihat mereka.

Hilai tawa memenuhi ruang kelas kami.

5 mengomel

haha. kelakar lah.:D btw u kacukan or peluk islam?

Haha menarik XD
Mengingatkan kembali zaman muda2 dulu.

@Fida
Itu satu soalan yang bagus. =)

@mayu
Setiap orang ada kisah budak2 mereka. =)

tapi tak jawab pun soalan yg bagus tu. :)

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon