Kekeliruan Tajuk Projek Tahun Akhirku

1 bualan
Pin It

Semasa hujung semester 5 (2010), kami, budak hort, semua risau siapa yang akan menjadi penyelia projek tahun akhir kami. Penyelia projek tahun akhir terdiri daripada kalangan pensyarah-pensyarah Fakulti Pertanian juga. Pensyarah yang giat mengajar kami sepanjang semester 1 hinggalah 7 ini.

Ketika itu minda kami masih di awangan apakah projek yang hendak kami lakukan nanti. Apa lah projek yang akan kami buat nanti?

Fakulti Pertanian akhirnya mengeluarkan senarai tajuk-tajuk projek tahun akhir untuk pelajar sarjana muda.

Nasib baik kata saya. Tidak perlu susah susah untuk sumbang saran mencari tajuk projek.

Berita seperti ini tersebar dengan cepat sekali. Ia bagaikan tiupan angin yang meniupkan spora cendawan pergi. Sungguh cepat. Tetapi sayang...

Sebuah fakulti yang telah mendidik saya dengan cemerlangnya.

Saya ingat lagi ketika itu hari Jumaat. Kelas keusahawanan ada mengadakan lawatan ke Cameron Highland. Saya mengambil inisiatif untuk tidak hadir ke kelas pada pagi itu. Mahu berkemas dan bersiap untuk lawatan itu. Seorang ketua lawatan perlu bersedia.

Semasa kami sedang berkumpul menunggu bas pada pukul 5 petang, seorang kawan saya datang ke arah saya.

"Wong, fakulti sudah keluar senarai tajuk projek. Kau sudah isi borang pilih tajuk tahun akhir?"

"Eh, kenapa baru aku tahu?"

"Kau kan pagi tadi ponteng kelas. Nah, ini senarai tajuk. Aku dan yang lain sudah pilih. Sudah hantar pun." Serah dia beberapa helai kertas kepada aku.

Aduh! Otak ini terasa seperti ada beberapa ketulan ais melekat. Sejuk dan hati ini entah kenapa terasa sakit.

Dalam hati ini Tuhan sahajalah yang tahu betapa geramnya dengan sikap mereka ini. Sampai hati mereka pinggirkan aku. Walhal kita rapat dari sejak semester 3. Kenapa tidak SMS sahaja aku? Bukankah berita ini penting?

Hidup ini memang sentiasa begitu. Kadang-kala manusia lupa seketika rakan mereka. Ini perkara biasa. Aku mungkin juga begitu jika tamak atau pentingkan diri. Namun, aku tidak mahu emosi yang picisan itu menguasai minda. Aku tidak mahu kerana hal kecil ini aku sudah berkecil hati. Aku bukan begitu.

"Oh. Aku pinjam ya kejap. Nak belek-belek tajuk sesuai," mata aku melirik laju ayat-ayat yang dicetak atas helaian tersebut.

"Ambil sahajalah. Itu khas untuk kau. Aku tahu kau tak dapat lagi salinan ini."

Sejuk hati saya mendengarnya. Ingat lagi rupanya mereka pada saya.

"Terima kasih." Aku simpan helaian-helaian kertas itu di dalam beg setelah berpuas hati dengan senarai tajuk yang disediakan.

Nanti selesai lawatan 2 hari 2 malam ini, aku belek lagi. Lagipun sekarang sudah tidak sempat untuk aku berburu hantar borang. Isnin masih ada.

Saya lihat berbagai-bagai jenis tajuk ada. Oh keliru minda ini untuk memilihnya.

Antara yang saya minat:

1. Tajuk Tauge
2. Tajuk berkenaan Apis dorsata
3. Tajuk Nitrat dalam sayur

dan itulah 3 tajuk saya isikan dalam borang. Mereka kata, pilihlah tajuk yang kena dengan penyelia kami nanti. Senang cerita, jumpa dan tanya sendiri pensyarah agar kami yakin tajuk yang kita pilih itu adalah tajuk pensyarah yang hendak kami lakukan projek. Lalu, tauge menjadi tajuk pertama saya. Seterusnya lebah tualang dan sayur. Mana tahulah 2 mengena dengan pensyarah itu.

Keputusan pemilihan akhirnya keluar 2-3 minggu sebelum semester 6 bermula. Hanya senarai nama penyelia dan pelajarnya sahaja. Tajuk yang dipilih kami kelihatan sama sahaja.

Saya bernasib baik untuk tahu awal. Ini kerana semasa cuti semester 5, saya dan rakan-rakan melakukan kerja gila. Berniaga sayur. Lalu, saya melepak di U sepanjang tempoh cuti itu. Saya ada peluang untuk pergi ke fakulti melihat senarai tersebut.

Saya terkejut melihat keputusan itu. Saya terpilih di bawah seorang Dr. yang asing namanya bagi saya. Aduh! Nampaknya saya terpaksala menerima dengan hati yang reda.

Pensyarah tersebut saya selidik ialah pensyarah yang mengajar subjek getah dan kelapa sawit. Beliau pakar pokok getah. Rasanya saya akan buat projek getah. Namun saya terasa berat hati untuk itu. Selama ini mana ada budak hortikultur buat projek getah.

Sangkaan saya betul. Ketika saya berjumpa dia untuk memaklumkan bahawa saya ialah pelajar baharu beliau,

"Pelik. Selama ini saya hanya mendapat pelajar Sains Pertanian. Bagaimana pula boleh dapat pelajar Sains Hortikultur?"

Tidak tahulah bagaimana ingin saya terangkan Dr.

"Tidak mengapa. Saya sudah ada projek untuk awak buat. Awak pelajar hortikultur... Hmmm. Kalau begitu projek anak pokok getah di nurseri sangat sesuai untuk awak," ligat tangan Dr. mencari helaian kertas di atas mejanya.

Namun, saya tetap tidak mengaku kalah. Mungkin ada peluang untuk tukar penyelia projek.

"Jikalau begitu awak ingin tukar penyelia?"

Ya. Saya sudah ada pensyarah lain dalam ingatan saya ini.

"Baiklah. Kita tidak boleh paksa untuk buat projek tahun akhir. Nanti pelajar terasa berat nak buat, susah saya, susah awak juga.

Beginilah, awak tulis surat rasmi. Tulis ringkas sahaja. Kata awak tukar pensyarah lain sebagai penyelia. Nanti saya copkan. Awak minta juga cop daripada pensyarah yang awak hendak tukar itu."

Terima kasih Dr.! Nampaknya perjalanan pertukaran penyelia mudah sahaja, fikir saya.

Bermulalah satu episod menarik dalam hidup saya sepanjang semester 6 dan 7.

Alhamdulillah.
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

1 ulasan:

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia