Saya mempunyai seorang kakak. Dia bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Saya tinggal sementara dengan kakak sebelum saya menamatkan pengajian master.
Baru-baru ini ibu dan abah datang melawat rumah kakak. Terdapat rungutan daripada kakak mengatakan saya ini seorang yang pemalas. Bilik bersepah dan tidak berkemas. Saya endah tak endah sahaja mendengar rungutan itu. Lagipun itu bilik saya mengapa kakak harus bising.
Abah hanya mendengar. Saya tutup pintu bilik kerana malas melayan rungutan kakak pada ibu dan abah.
Di rumah kakak ada tiga bilik. Saya tinggal di bilik kedua terbesar selepas bilik kakak. Terdapat satu bilik sedikit kecil daripada bilik saya terletak bertentangan dengan bilik saya. Di antara bilik saya dan bilik itu terdapat sebuah bilik air kecil.
Abah melalui bilik itu dan bilik saya sebelum sampai ke bilik air. Kakak masuk sekejap ke bilik kecil itu yang dahulu ingin dijadikan bilik ruang perpustakaan. Tempat dia menjahit baju, membaca buku dan sebagai satu pejabat kecil di rumah.
Namun dek alasan sibuk, kakak tidak sempat mengemas bilik itu. Saya tak mahu masuk campur kerana nanti kakak tak suka. Itu bilik dia.
Kemudian abah keluar dari bilik air. Dia melalui hadapan bilik itu yang kakak terlupa menutup pintu bilik. Kakak perasan abah berhenti di hadapan bilik itu lalu menjerit, "jangan tengok!"
Namun tak sempat kerana abah sudah berada di hadapan bilik itu.
"Hmmm." Abah menggosok dagunya. "Katanya bilik Wong bersepah."
Kakak seperti dapat mengagak apa yang abah maksudkan. "Ah biarlah. Ini bilik akak."
Abah memandang kakak dan berkata dengan nada sinis, "Kamu tu pun dua kali lima sahaja."
Kakak memandang ke atas dengan mengumam bibir.
Saya di dalam bilik ini terkekek ketawa mendengar telatah mereka. Itulah perangai kakak saya. Suka berceloteh.