Saya diuji dengan pemberian ikhlas. Ia tidak semudah yang kita selalu dengar. Hanya apabila kita mengalaminya barulah kita merasainya.
Kisahnya begini. Saya menghadiri satu syarahan inaugral oleh pensyarah di fakulti Pertanian. Sesiapa yang menghadiri syarahan ini akan mendapat sebuah buku inaugral berkenaan tajuk kajian itu secara percuma.
Saya postkan di facebook melalui instagram tentang apa yang saya dapat ketika menghadiri ceramah ini. Ia berkisar tentang industri lebah madu dan peningkatan industri lebah kelulut di Malaysia.
Ada kawan facebook saya yang terlihat hal ini lalu meminta jika boleh diberikan buku itu. Saya berfikir apa salahnya. Lebih baik saya menyebarkan ilmu ini berbanding kekal di fakulti pertanian sahaja. Terus saya meminta alamat daripada tiga orang rakan facebook saya.
Seorang adalah adalah pengusaha lebah kelulut. Seorang lagi bekas pengkaji MARDI. Seorang lagi adalah pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu.
Dua daripada mereka memberi respon yang begitu baik. Orang dari MARDI menawarkan saya buku yang beliau ada sebagai tukaran. Saya berterima kasih kepadanya atas buku yang berharga itu walaupun saya langsung tidak meminta apa-apa daripadanya.
Pengusaha lebah kelulut pula ingin membayar saya. Saya menolak kerana saya buat ikhlas dan berharap agar ilmu ini terus tersebar luas berdasarkan pekerjaannya itu.
Ketika inilah datang bisikan syaitan yang membisikkan saya perasaan marah kepada orang yang ketiga saya berikan buku. Hanya satu sebutan 'TQ' dibalasnya di facebook.
Terus, saya berfikir semula niat saya memberi buku inaugral ini. Saya beristighfar panjang. Jelas ini adalah ujian ikhlas yang Allah berikan kepada saya.
Saya juga belajar bagaimana hendak memberi respon apabila ada orang ingin memberikan kita sesuatu. Hargainya dengan ucapan terima kasih. Beritahu kepadanya betapa kita menghargai pemberiannya itu. Jangan setakat 'TQ' sahaja!
Kala inilah saya mula memahami apakah itu ertinya ikhlas dalam memberi. Selama ini saya hanya membaca dan mendengar sahaja. Rupanya ia tidak semudah itu sehinggalah saya diuji. Moga Allah menerima keikhlasan saya ini dalam memberi dan menyebar ilmu hanya kerana-Nya.
Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon