Perkara ini telah lama saya fikirkan. Adakah saya telah futur dalam dunia penulisan blog? Saya semakin kurang menulis di blog. Entah tidak tahu apa yang hendak dituliskan. Saya banyak meluangkan masa di ruang muka buku sahaja.
Mungkin itu kesilapan saya. Yelah. Sepatutnya saya menulis di blog kerana nanti senang saya hendak menyampaikan maklumat kepada umum. Ini tidak. Saya gedik juga hendak menulis di facebook.
Saya sedar kesilapan saya. Akibat kesilapan itu saya tidak berani lagi menulis di blog. Perkongsian lebih kepada cerita apa entah.
Futur adalah satu perkataan yang saya baru belajar apabila menyertai geng tarbiah ini. Setelah saya menyelidik, ia bermaksud harfiahnya berhenti setelah berjalan. Kata lain pula jemu setelah berjalan. Moga moga saya tidak futur dalam dunia penulisan ini.
Baiklah. Mari saya ceritakan satu kisah yang saya dapat ketika saya membaca buku 'Jangan Hidup Jika Tak Memberi Manfaat' oleh Muhamad Yasir.
Dikisahkan di sebuah negeri, terdapat seorang raja yang bijaksana lagi adil ingin menguji kepedulian rakyatnya.
Pada suatu hari raja itu meletakkan sebongkah batu betul-betul di tengah jalan tempat rakyatnya selalu lalui. Pasti hal ini akan menyusahkan orang yang lalu-lalang di jalan itu. Sengaja raja itu ingin melihat reaksi rakyat dengan eksperimennya itu.
Datangnya seorang petani membawa gerobak barang yang penuh. Dia terlihat bongkah batu itu lalu berkata, "Dasar orang di sini yang malas! Batu di tengah jalan dibiarkan sahaja!"
Petani itu membelok ke tepi, tidak mengendahkan langsung batu itu dan meneruskan perjalanannya.
Beberapa lama kemudian lalu seorang perajurit yang sedang bersenandung mengenang keberaniannya di medan perang. Kerana kealpaanya itu, dia tersandung dek batu itu dan hampir-hampir tersungkur. Lalu dia berteriak, "Sialan! Mengapa orang yang lalu-lalang di sini tidak mahu membuang batu keparat ini?"
Sekalipun mengeluh dan marah-marah, perajurit itu tidak mengambil tindakan langsung. Dia melangkah batu itu dan pergi sambil mulut masih menyumpah seranah.
Cahaya matahari makin menurun. Seorang pemuda miskin yang baru sahaja menghabiskan tugasnya berlalu di atas jalan yang terdapat batu itu. Dia terlihat batu itu. Dia berkata dalam hati, "Hari sudah ingin gelap. Jika ada yang melalui jalan ini pasti mereka sukar melihat batu ini. Batu ini akan memberi kesusahan kepada orang yang datang selepas aku."
Si miskin itu berusaha susah payah mengalihkan batu itu walaupun badannya sudah letih dek kerana telah bekerja seharian.
Apabila dia selesai mengubah bongkah batu itu dia terkejut melihat sesuatu benda di bawah batu itu. Terdapat satu peti berisi surat di dalamnya di bawah tempat bongkah batu itu tadi.
"Wahai rakyatku. Engkau adalah seorang yang prihatin yang telah memudahkan orang lain. Dengan ini aku memberikan kau 5 keping emas sebagai tanda penghargaan dari rajamu."
Terus pemuda miskin itu sujud syukur kerana merasa gembira. Dia pun memuji kedermawanan rajanya.
Dan berita ini tersebar luas ke seluruh pelusuk negeri. Raja telah berjaya mengajar erti pentingnya nilai ketekunan dan keprihatinan terhadap sesama insan, serta keberanian dalam menghadapi rintangan.
Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon