Ahad, 2 Jun 2013

Mengapa bahasa Alien mudah menguasai diri?



Mungkin video ini boleh menerangkan sedikit tentang perilaku sesetengah penulis (baca: blogger) yang suka guna bahasa Alien. Manusia boleh membaca dan menangkap tatabahasa untuk kefahaman mereka. Namun ini bermula dengan pembelajaran bahasa yang betul.

Kemudian apabila sikap malas itu ada, lalu muncullah keadaan di mana adanya bahasa SMS?(erk1?)

Tiada kompromi untuk bahasa tidak senonoh



Nampaknya tiada kompromi bahasa Alien oleh Puan Nisah Haron. Dan ketahuilah, saya amat menyokong kenyataan beliau ini.

Sedih juga apabila pengunjung di blog ini kerap kali menggunakan bahasa Alien sebagai wadah menyampai pemikiran mereka. Tetapi nak buat bagaimana? Mereka sudah sebati dengan itu.

Apa yang saya boleh buat hanyalah amar makruf, iaitu menyeru kepada kebaikan (kira menyeru untuk menulis dengan betul juga sebagai kebaikan?). Nahi mungkar tak mampu kerana mereka sendiri ada tangan untuk mencegahnya.

Sengsara iPad kepada keluarga


Apabila teknologi terlalu asyik digunakan sehingga yang lain diabaikan. Kisah ini ada diceritakan oleh Puan AleaSara di blognya.

Nampaknya perkara ini patut didedahkan agar kita tidak jadi masyarakat yang individualistik. Terlalu asyik dengan sikap aku aku, kau kau. Amat bahaya. Nanti membentuk pula materialistik.

Dan ini jelas kelihatan melalui status rakan FB saya itu.

Kepada ibu bapa, rakan dan taulan, jom belajar teknik bersembang dengan betul.

Mengapa aku perlu menuntut ilmu?


Pernahkah kita terfikir kenapa kita, umat Islam khususnya, disuruh menuntut ilmu hatta sehingga ke liang lahad?

Video ini memberi kesedaran kepada saya bahawa sebagai umat Islam kewajiban kita besar dalam menyebarkan risalah Islam kepada manusia.

Ilmu tidak terhad kepada ilmu akhirat sahaja. Sesungguhnya ilmu Allah itu luas. Seluas yang tidak dapat kita bayangkan. Ilmu di dunia ini hanyalah bagaikan setitis air di lautan.

Marilah kita menuntut ilmu blog dengan betul. Elakkanlah plagiat. Elakkanlah bahasa Alien. Elakkanlah membuka aib saudara kita.

Mari. Mari. Mari wahai sahabat pengunjung blogku ini. Tuntutlah ilmu kerana Allah.

Sabtu, 1 Jun 2013

Ketakutan blogger diciplak hasil karya mereka

Kadang-kadang saya mahu juga ambil beberapa isi di dalam blog orang lain. Bukan niat untuk plagiat tetapi untuk berkongsi. Apa salahnya, bukan?

Contohnya dari blog Seindah Ciptaan Tuhan, yang tidak membenarkan pembacanya highlight mahupun klik kanan di blognya. Oh, sungguh kedekut, fikir saya sebaik sahaja masuk ke blog itu.

Tetapi tidak mengapa. Ada caranya untuk tetap salin dan tempel maklumat dari blog tersebut.

Gunakan sahaja kekunci CTRL+S. Simpan webpage tersebut. Kemudian buka secara offline. Seterusnya salin dan tempel apa-apa maklumat yang kita hendak tadi.

Bagi saya, jika isi blog kita cukup bagus, tentunya ada orang akan plagiat. Contohnya post saya tentang FBMK UPM. Ramai sahaja plagiat. Namun saya tidak kisah kerana itu bermaksud penulisan saya bagus sehinggakan ada yang sanggup plagiat hasil karya saya. Tetapi mereka tidak akan dapat plagiat 'suara' tulisan saya itu. Pembaca setia saya akan tahu.

Kerana itu blog peribadi dengan BMT memang digemari oleh saya.

Apa pandangan anda pula? Biarkan orang plagiat atau bersikap defensif menjaga karya di blog anda?

Menunggu ilham dari langit, baru mula menulis?


Saya suka membaca buku 'How to Write a Lot'. Bukunya nipis sahaja, tetapi padat dengan pengisian berguna. Saya terjumpa buku ini kala membelek-belek buku-buku yang berkaitan di rak buku perpustakaan.

Di sini saya dapat simpulkan bahawa:

Terdapat 4 penghalang abstrak seorang penulis akademik universiti (atau penulis mapan).

1. Tiada masa menulis.
2. Bahan bacaan untuk menulis tak cukup.
3. Laptop tak canggih. Tiada tempat nak menulis.
4. Menunggu inspirasi atau ilham dari langit.

--

Penyelesaian:

1. Ia bukan soal cukup atau tak masa untuk kita menulis tetapi ada atau tak kita letakkan menulis itu dalam jadual seharian kita.
2. Masa untuk membaca dan mencari maklumat juga boleh dimasukkan sebagai masa menulis.
3. Peralatan hanyalah alat untuk menulis. Bak kata Stephen King, "saya boleh menulis memadai dengan ada pen dan kertas sahaja."
4. Orang yang menulis secara konsisten lebih banyak idea penulisannya berbanding orang yang menunggu ilham menulis.


Beli buku online dari Dawama DBP

Saya pernah membeli buku online dari pihak Dawama, pihak swasta penjualan buku-buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Servis mereka tidak sebaik ITNM.

Buku itu bertajuk 'Penulisan Rencana Berkesan' tulisan Mus Chairil Samani.

Saya beli pada 29 Januari 2013. Mengikut polisi mereka, ia akan dihantar dalam 7 hari atau seminggu selepas tempoh pembelian dibuat.



Saya tahu saya membeli buku lama. Cetakan buku ini adalah pada 1997. Dan saya membeli 16 tahun kemudian. Mesti lama untuk mencari. Tetapi tidak mungkin sampai sebulan mencari?

Jika polisi mengatakan seminggu, tetapi sebulan lebih kemudiannya barulah sampai ke tangan saya. Itupun setelah saya membuat aduan.

Berdasarkan pengalaman saya beli online, saya tidak ingin bersangka buruk, lalu saya menelefon pihak Dawama sendiri untuk penjelasan. Hampir 3 kali saya telefon barulah diangkat. Nampaknya servis panggilan tidak begitu diambil perhatian oleh Dawama sendiri.

Layanan panggilan pula tidak semesra aduan saya di ITNM. Mereka hanya mengatakan akan cuba mencari maklumat saya dan akan emelkan saya nombor track pos laju bungkusann saya. Rupanya mereka tidak menghantar langsung buku saya itu. Hanya selepas saya mengadu barulah mereka mengambil tindakan.



Bungkusan tiba seminggu selepas itu juga. Mengikut resit yang dikeluarkan, pembelian saya telah dibuat pada 30 Januari 2013, sehari selepas transaksi online dilakukan.
Resit menunjukkan ia telah dibeli pada 30 Januari.

Nampaknya perkhidmatan penghantaran pihak mereka tidak cekap sehinggakan saya perlu membuat aduan untuk mendapat buku yang saya beli.

Bagi sesiapa yang ingin membeli online dari Dawama, saya nasihatkan untuk terus menelefon mereka jika selepas seminggu buku yang dibeli masih belum sampai.