Isnin, 6 Mei 2013

Ulang baca buku

Sudah selesai untuk berbicara tentang politik. Kini kembali membaca buku-buku yang ada di rak. Banyak juga buku yang masih tidak saya capai untuk dibaca. Perlu dihabiskan agar diri ini bertambah lagi ilmu di dada.

Saya mempunyai tabiat tidak suka membaca buku yang telah dibaca. Saya rasa saya sudah cukup mendapat maklumat apa yang ada di dalam buku tersebut. Buang masa saya membacanya kembali, fikir saya.

Namun, sebenarnya tabiat ini tidaklah berapa elok. Ia membuatkan saya belajar hanya sekali lalu. Mana tahu saya ada terlepas dua tiga maklumat penting nanti.

Saya sekarang cuba memaksa diri saya ini untuk membaca buku yang sama dua tiga kali ulang, walaupun hati ini betul rasa jemu. Peliknya, setiap kali saya ulang baca, setiap kali itu saya dapat pemahaman yang baru.

Alhamdulillah.

Ada hikmah agaknya ulang baca buku.

PRU-13 - Dimanakah Hagemoni Melayu?

Alhamdulillah selesai juga PRU ke-13 kali ini. Banyak perkara terkejut yang berlaku. Ada yang menang dan ada yang kalah.

Jumaat, 3 Mei 2013

Bab 1: Mengenal Sifat Diri

Manusia sememangnya makhluk ciptaan Allah yang unik. Tiada satu pun yang sama hatta daripada rupa sehinggalah pemikiran. Tiap-tiapnya berbeza. Perangai kalau ada yang kata serupa, itu hanyalah misalan sahaja. Katanya sama dengan Sultan, elok santun bahasanya, tidak pula pekertinya.

Minat manusia juga berbeza. Lihatlah dunia ini. Ada yang suka berpolitik, bersukan, belajar, menari, menyanyi, menulis dan macam-macam lagi.

Itulah manusia yang unik.

Perkara ini tidak juga terkecuali dalam Wikipedia Bahasa Melayu. Di sini saya buka bicara saya berbezanya manusia itu sendiri di alam maya. Setiap orang ada minatnya. Tiada yang sama. Mungkin ada yang hampir sama tetapi gaya penulisan mereka berbeza walaupun ia hanyalah terjemahan biasa-biasa dari Wikipedia Bahasa Inggeris.

Sudah setahun lebih saya memantau dan menyumbang di WBM. Umum mengetahui bahawa Wikipedia adalah tempat sukarelawan menyimbahkan ilmu yang mereka ada. Tak kiralah ilmu itu bermanfaat ataupun sebaliknya.

Saya pernah lihat editor yang suka menyumbang rencana K-Pop, J-Pop, Muzik, dan macam-macam lagi yang buat saya ia memang tiada faedah langsung untuk kesejahteraan umat Melayu.

Pastinya yang bisa berbahasa Melayu majoritinya orang Melayu.

Orang Indonesia? Mereka sudah ada bahasa mereka sendiri dengan wikipedia dalam bahasa mereka juga.

Umat Melayu masih jauh lagi untuk menjadi jargon dalam perkongsian ilmu percuma ini. Terutama di rantau siberjaya ini.

Untuk itu lihatlah, begitu lambat perkembangan ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.Sungguh lambat. Yang saya dapat lihat, para ilmuan bahasa Melayu cukup tegar menyalahkan satu sama lain tanpa ada satu usaha termaju menaikkan bahasa Melayu.

Kerana itu, tidak hairanlah anak-anak Melayu begitu menyanjung tinggi bahasa Inggeris sebagai bahasa bakal ibunda mereka. Ini terjadi khas buat penduduk bandar.

Tidak boleh saya ngomelkan di sini kerana ini hanyalah novel biasa terbit daripada pemerhatian saya sahaja. Tidaklah ia benar, tidaklah ia palsu. Berada di tengah-tengah. Bak kata orang sekarang, wasatiyah atau sederhana sahaja.

Al-mahfumnya saya ingin bercerita editor di WBM berbeza sungguh minat mereka dari satu bidang ke bidang yang lain.

Ada yang suka menambah artikel geografi tunas, pasal anjing, album K-Pop dan J-Pop. Minat pada lagu-lagu retro Melayu dan artis-artisnya. Ada juga hanya memantau kerana sudah lesu untuk menambah rencana dalam. Biar orang muda pula berkerja, kata mereka.

Nasihat senior memang perlu dipatuhi jika tak mahu rencana ciptaan sendiri dihapuskan tanpa belas kasihan.

Ditenung ilmu-ilmu Inggeris dari Wikipedia induk. Dasar-dasar WBM boleh dipadam apabila ia berkait dengan induk. Sama sahaja seperti undang-undang di Malaysia ini. Jika salahnya BM, baliknya kepada BI untuk yang pasti. Tipikal minda tanah bekas jajahan ratu Inggeris.

Apa yang penting, editor WBM mula dan terus mengenal diri sendiri dengan hanya menulis di WBM. Biar penulisan rencana itu tunas sahaja asalkan dia pemulanya. Jika betul amalannya berniat kerana Allah, pasti terus berjalan pahalanya kala orang membaca tunasnya itu.

Mudah sahajakan hendak mendapat pahala? Namun awas! Jika fitnah yang dimasukkan, juga berterusanlah dosanya sehingga ada yang sanggup mengubah kepada kebenaran apabila pekung sudah tidak dapat ditutup lagi.

Tuntasnya, WBM terdiri daripada editor-editor amatur yang konsisten dalam memberi sumbangan sedikit mereka dalam bahasa Melayu. Tidak kurang juga orang bukan Melayu turut sama mereka. Hebat.

Ini akan saya ceritakan pada bab yang lain. Buat masa ini biarlah kita tahu bahawa manusia itu pelbagai sifatnya.

Bagaimana Sosej dibuat?



Tertarik untuk saya tonton video 'How It's Made - Hot Dogs'.

4 penulis tempatan di Seminar Pesta Buku Antarabangsa

Saya sempat pergi ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC.

Dapatlah menangkap gambar-gambar penulis tempatan kita untuk dimuatkan dalam artikel di Wikipedia Bahasa Melayu.

Memang antara tujuan saya datang ke seminar-seminar penulisan adalah untuk menangkap gambar penulis tempatan. Saya lihat tiada langsung rakyat Malaysia yang bermurah hati menderma gambar tangkapan mereka secara percuma. Jadi inilah peluang saya memulakan dahulu.

Alang-alang dapat peluang ni, lebih baik saya berbakti sedikit amalan saya ini.






p/s: Klik kanan dan 'open new tab' pada gambar mereka untuk ke artikel biografi mereka di WBM.

Lain Kali Lah!

Petani menanam buah,
Petani menjaga buah,
Petani menuai buah,

Tuaian hanya selepas tiada,
Bila berpisahnya badan dan jiwa,

Tidakkah ingat pada peringatan
yang kian menerpa
Pabilamu membaca kitab-Nya?

p/s: Tajuk sensitif digunakan bagi menarik orang membaca. =P

Khamis, 2 Mei 2013

Ayat-ayat magis

Di rantau ini tidak banyak ingin diperkatakan. Ramai kata ia rantau ilusi. Dipenuhi dengan kata-kata ilusi. Tiada yang benar. Tiada yang pasti. Semuanya imaginasi sang pengukir.

Tidak bagi Adi. Dia seorang yang suka cabaran. Suka mencari masalah bak kata ibunya. "Kau ni kan sudah Mak pesan jangan pergi ke Hutan Kayangan itu. Bahaya!" jerkah ibu Adi tatkala melihat badannya berlumpur.

Hanya di Hutan Kayangan sahaja ada paya. Tidak di tempat lain. Tidak di muara sungai Hilir juga tidak di muara sungai Hulu.

Aduh, Adi kepingin bermain lumpur. Tetapi hanya satu tempat sahaja yang ada lumpur - paya di pinggiran Hutan Kayangan.

Entah kenapa cerita Si Kunang-kunang melayar di hutan paya melekat di mindanya. Pandai cikgu biologinya menutup keindahayan paya sebagai ekosistem terhebat kala mengawal Melaka daripada anasir luar.

Suatu rahsia baru dipelajarinya sebaik sahaja masuk ke kota larangan. Orang kampung memang tidak berani ke Hutan Kayangan walaupun tahu rezeki melimpah ruah di sana.

Hanya beberapa orang tua sahaja berani ke sana. Itupun kerana mereka katanya mempunyai ilmu yang tinggi. Pasti ilmunya itu bukanlah calang-calang orang ada. Ilmu bomoh menjadi andaian khabar angin yang meniup sekian lama di Kampung Khayalan.

Tok Bujang sungguh Adi kenal. Selalu dia lihat orang tua itu berehat seorang diri di hujung pokok mangga nan sebatang di hadapan rumahnya. Kala Adi lalu mengaji di petang hari, pasti dia memberi salam kepada si tua itu, tanda dia hormat. Prinsip yang tua dihormati, yang muda disayangi utuh sekali di kampung ini.

Kerana itu, sungguh mudah Adi mendapat petua untuk masuk ke Hutan Kayangan daripada Tok Bujang.

"Kau hafal ayat-ayat magis yang akanku semburkan ini," kata Tok Bujang.

Wah hebat. Perkataan magis nampaknya melekat sungguh di mulut si tua ini. Walhal ayat itu sepatutnya sihir. Mungkin kerana terbiasa dengan buku-buku cerita kanak-kanak membuatkan si tua ini rajin menggunakan bahasa moden.

Ke hulu sana adanya bujang,
Ke hilir sini adanya dara;
Anak cu ini bukanlah senang,
Ingin masuk dengan bicara.

Rangkap magis pertama dihafal Adi. Bunyinya seperti pantun sahaja, fikir Adi.

"Hush! Pantun itu amalan tradisi terhebat orang Melayu. Takkan lah si Tuah itu menyumpah takkannya Melayu hilang di dunia!"

(bersambung)