Saya bersembang dengan seorang pensyarah. Katanya universiti senior tak semestinya bagus.
Saya mengerut. Apa maksud beliau?
"Contohnya saya ambil satu universiti di Pantai Timur. Pensyarah di sini pergi mengajar di sana. Terdapat perbezaan ketara dalam sifat pelajar di sana. Di sini, pelajar kurang mesra dan menghormati orang lebih tua. Terutamanya pensyarah. Di sana berbeza."
Saya cuba menelan maksud ini. Ada betulnya juga. Jadi apakah rahsia mereka mendidik mahasiswa menjadi insan bergelar manusia di sana?
"Program Bakti Siswa mereka memang membumi bersama masyarakat."
Saya ada setuju dengan kenyataan itu. Program Bakti Siswa bukanlah sekadar buatan untuk melepasi kredit berkokorikulum. Tetapi harus lebih daripada itu.
Kami kemudian berbincang tentang penglibatan mahasiswa dalam aktiviti fakulti. Pelajar terlalu asyik dengan aktiviti kolej yang bersifat lokal. Mereka membina kemahiran insaniah hanya di kalangan pelajar. Mereka kurang berinteraksi dengan masyarakat.
"Ini berbeza dengan satu universiti yang saya lawati di Indonesia. Pelajar mereka memang aktif dalam kelab-kelab fakulti. Malahan mereka sendiri menganjurkan pertandingan lembu sihat. Mereka menjemput pakar luar negara untuk mengajar mereka mengadili kriteria lembu sihat dan berkualiti."
Saya melihat pelajar di UPM kurang bersemangat dalam aktiviti fakulti. Mereka lebih pentingkan aktiviti kolej. Apatah lagi bagi yang tinggal di kolej kediaman tradisional.
Alasannya untuk mendapatkan merit. Tetapi kesannya jelas. Pelajar bersifat duduk di bawah tempurung.
Tiada integrasi antara aktiviti fakulti dan kolej.
Junior saya pernah merungut aktiviti kolej telah mengekang dia untuk aktif di fakulti. Walhal dia melihat aktiviti fakulti lebih memberi sumbangan berimpak tinggi kepada dirinya. Dengan melibatkan aktiviti fakluti, dia lebih mengenali pensyarah-pensyarahnya dan mendalami ilmu tentang jurusan yang dia ambil.
Nampaknya, jauh lagi universiti yang saya duduk mendidik pelajar mereka dengan baik.
Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon