Ahad, 1 Julai 2012

Perjalanan yang jauh bermula dengan satu langkah


Assalamulaikum semua!

Setelah sekian lama menyepi kini blog saya kembali dengan wajah baru! Ia bagaikan dilahir semula dengan pelbagai isi-isi menarik yang akan saya masukkan nanti.

Kenapa bertukar wajah baru? Kerana saya rasa perlunya perubahan di blog saya ini. Saya telah menjumpai fokus utama blog saya - hortikultur semestinya!

Bagaimana pula dengan entri-entri sebelum ini? Usah khuatir. Entri-entri sebelum ini akan saya timbulkan kembali tetapi dengan suntingan semula bersesuaian dengan perubahan blog saya ini.

Jadi untuk itu, bagi entri awal rasmi aya ini, tidak banyak ingin saya katakan. Hanya log ringkas hortikultur saya.


Pada awalnya istilah hortikultur sungguh asing untuk saya fahami. Saya temuinya dalam satu keratan surat khabar ketika saya tingkatan 5. Kakak saya yang berikan artikel tersebut. Dia tahu saya meminati tumbuhan dan mencadangkan bidang ini untuk saya ceburi ketika di universiti nanti. Al-maklumlah artikel tersebut dalam bahasa Inggeris, jadi saya masih kabur dengan maksud istilah hortikultur. Namun, ia menjadi titik tolak  untuk saya.

Hari berganti hari, saya memasuki pula alam matrikulasi. Cabaran lebih sengit di sini. Semua pelajar yang hadir mempunyai cita-cita yang tinggi terutamanya ingin menjadi ahli farmasi, doktor ataupun jurutera. Ini tersingkap rapi apabila ada sesi menyatakan impian bersama pensyarah biologi kelas H5P4 semasa awal semester 2 berlangsung. Ramai di antara rakan saya yang menyatakan keinginan mereka menjadi doktor ataupun saintis. Walaupun begitu, giliran saya lain daripada yang lain.

"Kerjaya yang saya ingin ceburi ialah menjadi seorang ahli hortikultur." Suasana menjadi senyap seketika.

"Bagus. Bidang yang berpotensi untuk dikembangkan." Sahut pensyarah saya memecah sunyi sekejap itu.

Arakian jiwa ini masih ragu-ragu dengan pilihan sendiri. Saya mula merubah pilihan saya ke arah industri bioteknologi pula. Ketika pameran Jom Masuk U! anjuran matrikulasi, saya lihat banyak booth berkaitan perubatan dan kejuteraan sahaja difokuskan oleh IPT-IPT tempatan mahupun swasta. Dimanakah hortikultur? Entah. Mungkin tenggelam dengan timbunan maklumat perubatan....

Hendak dijadikan cerita, sains hortikultur masih menjadi pilihan saya untuk masuk ke universiti. Cuma ia tidaklah mendapat tempat pertama dalam 8 senarai pilihan jurusan masuk IPTA. Ia terletak pada senarai ke-4 belakang daripada sains bioteknologi di UPM, UM, dan UKM.

Bila tiba masanya keputusan keluar, saya didapati tidak layak untuk ke IPTA dengan pilihan 1 hingga 3. Bacelor Sains Hortikultur tercetak rapi di atas surat kemasukan ke Universiti Putra Malaysia (UPM). Walaupun begitu, hati ini tetap mengucapkan alhamdulillah, rasa syukur pada Illahi. Kesempatan untuk saya meneruskan perjalanan sebagai seorang pelajar masih ada di situ.

10 Julai 2008 menjadi titik permulaan saya mengaji di UPM. Pelbagai kisah gembira dan duka saya hadapi. Semestinya pemahaman saya terhadap istilah hortikultur tidak kuat lagi ketika itu. Hanyalah faham, ia satu jurusan yang biasa-biasa sahaja.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, akhirnya pada tarikh 10 Jun 2012 menjadi hari keramat secara tidak rasmi tamatnya saya belajar di UPM sebagai graduan Bachelor Sains Hortikultur.

Berlakunya anjakan paradigma dalam pemikiran saya sepanjang tempoh 4 tahun saya belajar ini. Saya tidak pandang lagi jurusan hortikultur sebagai satu jurusan yang enteng. Bagi saya, besar tanggungjawabnya untuk saya memperkenalkan kepada rakyat Malaysia bahawa hortikultur itu satu isitlah yang wajib digunakan selain daripada pertanian.

Memang hortikultur ada kaitan rapat dengan ilmu perkebunan. Istilahnya pun diambil berdasarkan kata Latin hortus dan cultura masing-masing bermaksud kebun atau taman dan penanaman. Tapi adakah ilmu perkebunan itu lekeh? Entahlah. Saya tidak dapat meyakin pembaca sekalian melalui percakapan sahaja. Bak kata pepatah orang puteh, tindakan lebih lantang berbanding perkataan atau action is louder than words. Atau, dalam konteks ini sebaliknya?

Jadi, saya bawakan pembaca sekalian ke dalam blog 'baru' nukilan saya.

'Travelog Hortikultur' - Sayur, Buah, dan Bunga. Yang manakah jauh perjalanannya?

2 mengomel

Ganti section komen boleh tak, sebelum komen bertambah lepas nini. suka kalau gunakan plugin facebook. Iaitu komen menggunakan akun facebook, so itu jadi lebih universal.

Baiklah. Saya cuba dulu untuk sementara waktu. Lihat reaksi pembaca sekalian.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon